KeKKWakomited kekal kesinambungan bangsa untuk tatapan generasi muda
PEPATAH Melayu menyebut 'Adat itu jika tidur menjadi tilam, jika berjalan menjadi payung, jika di laut menjadi perahu, jika di tanah menjadi pusaka'. Itu menunjukkan adat adalah satu institusi yang penting. Tanda pentingnya sehingga ada yang mengatakan: ‘Biar mati anak daripada mati adat’ dan ‘mati anak gempar sekampung, mati adat gempar sebangsa’.
Pada zaman globalisasi ini, adat semakin terabai dan diketepikan. Ia disebabkan tiada usaha untuk menjaga dan menghargainya, terutama mendedahkan adat kepada golongan muda.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) menyedari pentingnya adat. Akhirnya dengan cetusan idea Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Muzium Adat tersergam indah di Kuala Klawang, Jelebu, kira-kira 36 kilometer dari Seremban.
Muzium Adat yang diletak di bawah kelolaan Jabatan Muzium Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini memberi tumpuan terhadap aspek kehidupan masyarakat Malaysia atau dikenali sebagai adat.
Dr Rais merasmikan Muzium Adat itu, hari ini. Muzium itu mula dibina pada 2005 dan menjadi tempat menghimpunkan adat daripada pelbagai etnik di Malaysia. Muzium itu dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Haji. Masuk adalah percuma.
Sesuai dengan lokasinya di Negeri Sembilan sebagai ‘Tanah Beradat’, muzium itu menyediakan satu segmen khusus mengenai Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih.
Sebenarnya, adat bukanlah peraturan yang bertulis, tidak juga terjadi atas perundingan dan muafakat, tetapi seperti yang dikatakan Dr Nordin Selat: ‘Adat itu adalah peraturan hidup di dunia. Yang menjadi tujuan adat ialah untuk kebaikan’.
Adat ini diterjemahkan kepada umum menerusi artifak yang mempamerkan adat, teknik persembahan, termasuk audio visual dan jalan cerita mengenainya. Selain itu, koleksi buku mengenai adat pelbagai etnik di negara ini juga disediakan untuk bacaan pengunjung.
Dengan mengambil alih bangunan Umno Bahagian Jelebu, Muzium Adat mempunyai empat galeri pameran, iaitu;
l Galeri Pertama: Memberi tumpuan kepada pengenalan dan konsep adat di Malaysia. Ia meliputi sejarah awal tercetusnya adat terbesar di Alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggong menerusi replika Batu Batikam dan Batu Baling. Pada galeri itu juga disertakan peralatan upacara adat serta pakaian adat daripada pelbagai kaum di Malaysia.
l Galeri Kedua: Mempamerkan adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan seperti bobohizan, adat turun perahu, perubatan tradisional dan menifastasi adat menerusi peralatan muzik.
l Galeri Ketiga: Orang ramai yang mengunjungi muzium akan dapat melihat kegiatan intelektual di istana dan rakyat dengan mempamerkan artifak seperti manuskrip daripada Sejarah Melayu, Batu Bersurat Terengganu serta cerita rakyat.
Selain itu, pada aras berkenaan turut mempamerkan adat yang dikaitkan dengan kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu menerusi artifak seperti keris kuasa, tengkolok, singgahsana Yang di-Pertuan Agong Pertama serta amalan undang-undang adat di Sarawak yang diamalkan suku kaum Iban.
l Galeri Keempat: Mempamerkan segmen khusus mengenai Adat Perpatih secara historikal yang bermula dari Sumatera (Alam Minangkabau) sehingga bertapak di Negeri Sembilan yang disokong dengan artifak.
Selain itu, pada segmen ini turut memperlihatkan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial seperti Datuk Berlapan, peranan Ibo Soko yang dimanifestasikan menerusi diorama dan artifak. Segmen Adat Perpatih turut menonjolkan sistem tanah adat serta simbol ritual menerusi replika Batu Megalith, Pengkalan Kempas.
Muzium ini juga memiliki pusat sumber yang antara lain mengandungi koleksi buku mengenai adat pelbagai etnik di Malaysia. Pada masa sama, muzium ini akan menyokong penyelidikan berterusan akan dilakukan oleh kurator muzium dengan pihak berminat.
Jadi, pastikan Muzium Adat dimasukkan dalam kalendar yang harus dikunjungi, terutama rombongan pelajar sekolah dan seisi keluarga ketika bertandang ke Negeri Sembilan.
Rencana disediakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa)