Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN:Bagaimanakah cara yang betul bagi pasangan muda-mudi masa kini mengaplikasikan konsep dating untuk mengenali hati budi masing-masing mengikut cara yang berlandaskan syariat dan peraturan Islam?
JAWAPAN:
Dating dalam erti kata berdua-duaan pasangan lelaki perempuan yang bukan mahram adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada mudarat. Iaitu mendedahkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan sesuatu yang ditegah dalam agama Islam.
Mula-mula dating dalam telefon, kemudian ajak keluar makan. Mula-mula naik kenderaan berasingan. Lama kelamaan naik satu kenderaan bukan sekadar makan tetapi pegang tangan, tidur atas bahu kekasih. Sehingga kadang-kadang sampai melakukan perzinaan.
Walaupun pada mulanya rasa bersalah terhadap perbuatan yang terkutuk itu, lama kelamaan menjadi alah bisa tegal biasa. Sebab itulah Islam menegah sama sekali pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Allah s.w.t berfirman, Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Isra’: 32)
Peringatan dalam ayat ini ialah tegahan keras Allah supaya jangan sekali-kali cuba menghampiri zina. Kaedah fikah menjelaskan ‘Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram’. Dan mencegah adalah lebih baik dari mengubat.
Sekiranya usaha menghampirinya jelas ditegah apatah lagi sengaja terlibat. Islam mengajak penganutnya menjauhkan diri dari terdedah kepada maksiat. Menyesal dahulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.
Terjebak
Allah s.w.t menegah umatnya mendedahkan diri terjebak dalam kebinasaan. Firman Allah s.w.t, …dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…. (al-Baqarah: 195). Dalam ayat ini Allah sebut mencampakkan, maksudnya sengaja melibatkan dan mendedahkan diri dalam sesuatu perbuatan yang boleh membawa kebinasaan.
Allah s.w.t menyuruh setiap lelaki dan perempuan menundukkan pandangan. Ini kerana dengan menundukkan pandangan seseorang itu dapat memelihara kehormatannya. (al-Nur: 30-31). Ketika mentafsirkan ayat ini sebahagian ulama menyatakan bahawa; pandangan adalah panah beracun bagi hati, sebab itulah Allah s.w.t menghimpunkan dua perkara dalam ayat ini, iaitu merendahkan pandangan dan memelihara kehormatan (kemaluan). Disebut juga bahawa mata adalah punca kepada zina. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, jld:18, hlm:214 ).
Dating diharuskan bagi mereka yang sudah bertunang. Itupun dengan izin wali perempuan dan bersama mahram ahli keluarga perempuan. Bertunang adalah lesen awal untuk seorang lelaki mengenali tunangnya. Mungkin juga langkah awal untuk seorang lelaki dan seorang perempuan mengenal bakal pasangan hidupnya dengan lebih dekat lagi.
Namun Islam tidak membenarkan seorang pasangan yang bergelar tunang untuk berdating. Kalau nak dating mesti dengan memelihara hak Allah. Ulama haruskan pertemuan lelaki dan perempuan selepas pertunangan semata-mata untuk melihat sifat zahirnya, seperti melihat kepada rupanya untuk mengenal pasti kesempurnaan fizikalnya.
Namun percintaan dan dating yang halal ialah selepas diijab kabul, sementara itu pasangan kekasih hendaklah tunduk kepada perintah Allah. Adalah tidak wajar mencari kebahagiaan hidup dengan melanggar perintah Allah. Mungkin juga ada yang bertanya: kalau begini susahlah bagi pasangan kekasih mengenali antara satu sama lain.
Tidak ada pengenalan yang sempurna bagi lelaki terhadap pasangan kekasihnya melainkan selepas perkahwinan.