Maju Melayu Perkasa!

23 Mac 2008

Tok Sheikh Jarum lahirkan ramai tokoh agama


Oleh Azmi Md Deros


KUBUR Tok Sheikh Jarum di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga.

Sheikh Wan Muhammad Idris buka lebih 200 sekolah pondok selain jadi guru agama di Istana Anak Bukit

SEJAK dari awal lagi, syiar Islam di Kedah terus berkembang subur walaupun melalui pelbagai perubahan di sepanjang 867 tahun di bawah pemerintahan 28 Sultan. Sepanjang tempoh itu, ulama di negeri ini bukan hanya sebagai pendakwah, malah mereka turut bertugas sebagai penasihat istana.

Sebagaimana negeri Melayu lain di Nusantara, pada peringkat awal kemasukan ulama Islam di Kedah kebanyakannya berasal dari luar, iaitu Yaman dan Hijaz di Arab Selatan yang datang berdagang di negeri ini.


Pada abad ke-19 pula ramai di antara mereka yang berasal dari negeri Melayu lain berhijrah dan tinggal menetap di Kedah.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, berkata antara yang terkenal, termasuk Sheikh Wan Muhammad Idris Wan Jamal atau lebih dikenali sebagai Tok Sheikh Jarum yang berasal dari Patani, Selatan Thailand. Tok Sheikh Jarum dilahirkan pada 1849 di Kampung Bendang, Daerah Jaha, Yala, Patani.

Gelaran ‘Jarum’ di hujung nama beliau dikatakan berpunca daripada peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah hukum rejam dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, beliau selaku ulama yang paling muda itu dapat memberikan pandangan yang bernas, pintar dan tepat.

Ketajaman fikirannya itu menyebabkan Raja Patani itu menggelarnya sebagai Tok Sheikh Jarum.

Beliau mula mendalami Islam melalui gurunya yang juga ayah angkatnya, Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang amat terkenal.

Selain mengajar agama, Tok Sheikh Minai turut membawa Tok Sheikh Jarum ke Makkah untuk menunaikan haji. Bagaimanapun, Tok Sheikh Jarum menetap di Makkah selama beberapa tahun kerana mendalami Bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

Cucu beliau, Abdul Hamid Abdul Rahman, 77, berkata sekembali dari Makkah dan tiba di Pengkalan Kapal, Pekan Cina, Alor Star, datuknya ditahan Kadi Besar Kedah, Sheikh Ahmad Daim dan diminta menghadap Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang kemudian menitahkan Tok Sheikh Jarum menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam.

"Tok Sheikh Jarum diberi kepercayaan oleh pihak istana selepas Sultan mengetahui kemasyhuran beliau ketika itu.

"Disebabkan minat yang tinggi mahu melihat agama Islam berkembang di Kedah, Tok Sheikh Jarum membuka pondok mengaji agama di Derga, selain menjadi guru di Istana Anak Bukit," katanya yang juga imam Masjid al-Irfan, Derga yang diasaskan datuknya itu.

Dalam tempoh beberapa tahun saja jumlah pelajarnya bertambah sehingga pondoknya meningkat kepada kira-kira 200 buah. Walaupun sibuk mengajar di pondok, Tok Sheikh Jarum yang mempunyai enam anak masih sempat mengajar agama untuk putera dan puteri Sultan.

Disebabkan ketokohannya, beliau turut dipilih menganggotai sekumpulan 12 ulama tersohor di Kedah yang berpusat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa.

Selain ketokohannya dalam bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati penyakit penduduk sekitar Derga.

Malah, beliau juga dikatakan mempunyai kelebihan dapat menentukan tuah ayam yang mana kebetulan ketika mendirikan pondok, Derga adalah pusat kegiatan menyabung ayam terkenal di Alor Star.

Sambil melihat tuah ayam, Tok Sheikh Jarum dikatakan bijak menarik penyabung ayam supaya lebih dekat dengan ajaran Islam dengan mengajak mereka makan tengah hari di rumah serta diberikan nasihat. Hasilnya ramai kaki sabung ayam yang meninggalkan perbuatan itu.

Selepas 10 tahun ditubuhkan, iaitu sekitar 1909, kawasan pondok beliau mengalami kebakaran besar yang menyebabkan ia musnah sama sekali, termasuk banyak kitab yang beliau tulis dan gunakan untuk mengajar ketika itu.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada api digunakan penghuni pondok untuk membakar ikan terubuk yang dikatakan mudah diperoleh di Alor Star selain harganya amat murah iaitu antara satu dan dua sen saja seekor.

Ketika hayatnya, beliau turut membina Masjid Derga di kawasan pondoknya itu. Bangunan asal masjid itu masih kukuh dan digunakan hingga sekarang dan dikenali sebagai Masjid al-Irfan.

Kerajaan kemudian membantu mendirikan rumah panjang bagi menggantikan pondok yang terbakar, tetapi ia mengalami zaman suram selepas Tok Sheikh Jarum meninggal dunia pada 6 April 1911 ketika berusia 63 tahun kerana cirit birit.

Ramai keturunan Tok Sheikh Jarum mengikut jejak langkahnya, termasuk cicitnya, bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, selain pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

INFO: Antara anak dan cucu yang mengikut jejak langkah beliau

  • Anaknya, Abdul Rahman AI-Jarumi menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

  • Cucunya, Idris Abdul Rahman mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.

  • Cucunya, Hussin Abdul Rahman pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.

  • Cucunya, Datuk Sheikh Tajuddin Abdul Rahman pernah menjadi ahli majlis fatwa negeri Kedah.

  • Cucunya, Abdul Ghani Mohd Noor seorang hafiz dan guru al-Quran.

  • Cucunya, Nawawi Ahmad, pernah bertugas sebagai nazir sekolah agama Kedah dan penggubah lagu nasyid.