MELAKA 17 Mac - Sektor pelancongan di negeri ini terutamanya yang berkaitan dengan sejarah akan terus dipertingkat melalui usaha pemuliharaan serta pemugaran sejarah oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang diiktiraf sebagai Bandar Raya Bersejarah dan pelbagai usaha akan terus dilakukan agar pelbagai warisan sejarah dan budaya negeri ini tidak luput ditelan zaman.
"Muzium yang berperanan mengumpul koleksi bersejarah, kini perlu seiring dengan cabaran dunia tanpa sempadan dan dunia digital yang lengkap selari dengan teknologi moden yang ada.
"Pembaharuan di sektor ini dilihat sebagai satu komitmen kerajaan negeri ke arah memberikan idea dan pendekatan yang tersendiri serta mesra pengguna," katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Jelas Mohd. Ali, kelebihan Melaka yang telah dikenali sejak kurun ke-15 lagi dimanipulasi supaya kegemilangan Melaka suatu ketika dahulu tetap unggul di mata dunia.
"Bila sebut sahaja Melaka, pasti terbayang di fikiran, sebuah negeri bersejarah yang mempunyai keunikan tersendiri.
"Sebagaimana telah diketahui seluruh masyarakat dunia, sejarah negara juga sebenarnya berakar umbi dari bumi bertuah ini sejak 600 tahun lampau," katanya.
Katanya, kecemerlangan dan kemakmuran masa silamnya membuatkan Melaka terkemuka sejak zaman dahulu dan menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat.
"Kewujudan bangsa Melayu menjadi teras kepada komuniti lain termasuk Baba Nyonya, Ceti dan Portugis hasil pertembungan pelbagai pengaruh dan budaya masyarakat Portugis, Belanda dan Inggeris.
"Semua budaya inilah yang telah mewarnakan catatan sejarah di samping memperagakan ragam budaya yang menarik di bumi Melaka ini," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd. Ali berkata, tahun 2008 akan menjadi pemangkin kepada pelbagai perancangan dan projek pembangunan di Melaka terutamanya dalam usaha Melaka mencapai status negeri maju menjelang 2010.
Katanya, semua projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan itu akan mengambil kira setiap aspek keamanan dan kemakmuran rakyat.