Maju Melayu Perkasa!

18 Mac 2008

Raja Melayu stabilkan politik negara

SEBAGAI seorang pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) saya amat tertarik dengan peranan penting yang dimainkan oleh raja-raja Melayu demi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam melantik pemimpin negeri.

Sistem kerajaan raja berperlembagaan kadang-kadang kurang difahami oleh warganegara lain. Tahun lepas seorang pelancong Barat telah mengeluarkan cacian peribadi terhadap raja negara jiran terdekat kita.

Tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa dan pihak media Barat telah menyebarkan pandangan ketidakpuasan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan.

Orang luar perlu faham bahawa di negara jiran kita institusi rajanya yang telah mengekalkan kestabilan negara kerana parti politik yang menang sering berubah dan ada rampasan kuasa pihak tentera.

Di negara kita Alhamdulillah pergolakan politik tidaklah begitu ketara. Namun setelah PRU12 kita telah nampak bagaimana institusi ini memainkan peranan penting dalam proses pemilihan Menteri Besar dibuat secara teliti supaya dapat memenuhi kehendak Perlembagaan dan juga kepentingan rakyat.

Jelas tindakan raja-raja Melayu tidak dipengaruhi oleh kehendak politik semata-mata, di peringkat negeri mahupun di kalangan kelompok tertentu.

Ini dijangkakan kerana rata-rata sultan yang memegang kuasa pada masa ini merupakan tokoh dalam pelbagai bidang termasuk bidang profesional.

Kita berdoa sultan dan wakil rakyat dapat terus bekerjasama dalam memberi khidmat dan mewakili masyarakat. Dengan rekod yang baik, insya-Allah sistem raja berperlembagaan akan terus relevan di era globalisasi.