Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Mac 2008

Musa Unggu digeruni penjajah


Oleh Mohd Azrone Sarabatin




Pahlawan Sabah gunakan perniagaan satukan masyarakat lawan Jepun

DATUK Maharajalela Musa Unggu atau lebih dikenali Pak Musa diiktiraf seorang daripada pejuang kemerdekaan Sabah, tetapi tidak ramai yang tahu tokoh itu dibunuh kerana karismanya dalam bidang perniagaan pada awal abad ke-20.

Pak Musa atau nama asalnya sebelum memeluk Islam, Adui Unggu dibunuh secara kejam askar Jepun pada 1944 kerana ketokohannya memajukan ekonomi Orang Sungai, Kadazandusun, Brunei dan Bisaya di Membakut dan Beaufort.


Kaedah perniagaan digunakan mirip sistem koperasi iaitu pelbagai hasil tani, belantara dan haiwan buruan tokoh itu dan pengikutnya akan dikumpul, sebelum dipasarkan sehingga ke Brunei Darussalam dan Singapura.

Kebijaksanaan pahlawan Sabah itu menyatukan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang perniagaan menyebabkan Jepun menganggapnya ancaman kepada mereka.

Beliau dan pengikutnya diisytiharkan sebagai musuh kerana kononnya menjadi sekutu Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).

PEDANG milik Pak Musa yang digunakan menentang penjajah.

Jepun menganggap Pak Musa berselindung di sebalik perniagaan yang ditaja British untuk mempengaruhi rakyat Membakut dan Beaufort supaya menyertai perjuangan SBBUB untuk mengusir mereka dari bumi Borneo Utara (kini Sabah).

Ini menyebabkan askar Nippon memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi mereka enggan berundur, sebaliknya menyerang balas setiap kali masyarakat pribumi di Membakut dan Beaufort dibunuh, ditindas dan diugut penjajah.

Cucu saudaranya, Subohria Amat Tua, 83, berkata Pak Musa dilahirkan di Kampung Kusilad, Pitas di Utara Sabah pada 1867, tetapi menjadikan Paitan, Beluran dan Membakut sebagai pangkalan untuk menentang British dan Jepun.

Beliau berhijrah ke Paitan ketika usia remaja untuk menuntut ilmu persilatan dan kebatinan pada 1908.

CICIT Pak Musa, Syehriffah Tanjil mewarisi harta pusaka milik Pak Musa.

Ketika zaman penjajahan British, beliau bersama pengikutnya menyerang dan membakar Balai Polis Tanjung Nipis, Paitan untuk membela nasib masyarakat pribumi daerah itu yang menjadi mangsa kekejaman SBBUB.

Ini menyebabkan beliau menjadi buruan penjajah dan kemuncaknya dibuang daerah ke Membakut pada 1913 iaitu selepas beliau menerima tawaran British untuk berdamai dan hukuman bunuh ditukar kepada buang daerah.

Turut dibuang daerah adalah abang Pak Musa, Mondut dan adiknya Mualas Unggu serta dua sepupu mereka dikenali Kuloi dan Ulan yang diarahkan ke Membakut manakala dua lagi, Serail (Klias, Beaufort) dan Unggal (Kinarut, Papar). Mondut meninggal dunia dalam perjalanan dari Petagas ke Membakut.

Subohria berkata, mangsa kekejaman penjajah itu meninggalkan kampung halaman bersama keluarga masing-masing dan belayar ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) menggunakan kapal layar yang mereka sediakan sendiri. Pelayaran enam bulan itu tanpa pengawasan SBBUB.

Selain pernah menetap di rumah Pak Musa, Subohria mendapat maklumat kepahlawanan Pak Musa daripada ibunya, Dauyah Mondut yang terbabit dalam pelayaran merentasi samudera Pitas, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.

Katanya, selain berehat, mencari bekalan makanan dan membaiki kapal layar, Pak Musa turut menjalinkan hubungan persahabatan dan membangkitkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat sepanjang lokasi persinggahan.

Beliau berkata, sebaik tiba di Jesselton, wakil Residen British membawa mereka ke Petagas, dekat bandar itu dan menetap di sana selama tiga tahun sebelum diarahkan ke Membakut.

"Masyarakat tempatan di Membakut terutama Kadazandusun, Brunei dan Bisaya dapat menerima kehadiran Pak Musa dan mengangkatnya sebagai pemimpin mereka terutama dalam bidang perniagaan dan menuntut kemerdekaan," katanya.

Subohria berkata, Pak Musa sering bertapa di lubang batu di kenali `wasai' yang kini masih wujud di kawasan air terjun Pak Musa di pinggir Kampung Bambangan, kira-kira 13 kilometer dari Pekan Membakut.

"Selain mengukuh dan meningkatkan ilmu batin dan persilatan, tokoh itu turut mencari ilham untuk meningkatkan ekonomi masyarakat pribumi dan membebaskan anak watan daripada cengkaman penjajah," katanya.

Subohria masih ingat, lima perahu besar digunakan untuk mengangkut hasil dagangan Pak Musa dari Kampung Bambangan ke Pekan Membakut, sebelum diangkut menggunakan kereta api ke Kota Kinabalu atau Tenom.

Katanya, hasil dagangan dikumpul oleh pengikutnya yang diperoleh daripada sumber kebun dan belantara sekitar Membakut dan Beaufort serta rumah Pak Musa adalah pusat pengumpulan barangan berkenaan, sebelum dipasarkan.

Bagaimanapun, ketika itu `Kempetei' (perisik tentera Jepun) sering keluar masuk ke Kampung Bambangan untuk memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi sebagai seorang pejuang sejati beliau akan berjuang mempertahankan rakyat.

Jepun yang menyedari, sukar untuk mengalahkan Pak Musa, menukar strategi dengan mengugut akan menangkap dan membunuh keluarganya. Ini menyebabkan Pak Musa membuat keputusan untuk menyerah diri.

Jepun dikatakan menyedari Pak Musa mempunyai ilmu kebal dan berusaha untuk melemahkan pahlawan Sabah itu. Akhirnya askar Nippon menerima maklumat bahawa ilmu Pak Musa akan terhakis jika memasuki kawasan bernajis. Askar Nippon kemudian memasang jerangkap samar pada sebuah lubang najis di dalam penjara.

Subohria yang menyimpan lembing digunakan Pak Musa ketika menentang Jepun dan British berkata, Pak Musa kononnya terjatuh ke dalam lubang itu menyebabkan kekebalannya hilang yang sekali gus peluang itu digunakan oleh askar Nippon untuk memancung kepalanya.

Pak Musa adalah seorang pahlawan yang bukan saja sanggup menggadai nyawa untuk menuntut kemerdekaan, tetapi berjuang memajukan ekonomi etnik pribumi yang hidup dalam kemiskinan.

FAKTA: Musa Unggu

  • Pak Musa menerima gelaran Datuk Maharajalela daripada Pangeran Siti Fatimah iaitu kerabat Sultan Brunei yang ketika itu pemerintah wilayah Karambunai di Pantai Barat Sabah.

  • Penganugerahan gelaran Datuk Maharajalela adalah penghargaan terhadap perjuangan Pak Musa membela rakyat Borneo Utara (kini Sabah).

  • Isterinya dikenali sebagai Babu Sairah.

  • Mengikut Ketua Kampung Bambangan, Membakut, Jabah Amat, 41, antara rakan seperjuangan Pak Musa adalah pejuang berbangsa Bisaya dikenali Marupah, Mat Saman (Brunei) serta Undan dan Mandat (Kadazandusun).

  • Pak Musa diIslamkan oleh Imam Kampung Brunei, Membakut dikenali Imam Untung.

  • Kampung Kuala Sungai Angitan adalah nama asal Kampung Bambangan. Kampung Bambangan dikatakan sempena nama pokok buah-buahan tempatan iaitu pokok bambangan.

  • Sebelum berpindah ke Kampung Bambangan, Pak Musa menetap di pekan Membakut yang kini bekas tapak rumahnya menjadi tapak Balai Polis Membakut.

  • Pak Musa dikatakan dikebumikan di satu kawasan yang kini tapak bangunan Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu.

  • Nama Pak Musa tiada dalam senarai 324 rakyat Sabah yang dihukum bunuh secara kejam di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 yang kini diabadikan menerusi Taman Peringatan Petagas.

  • Nama Pak Musa diabadikan menerusi Dewan Masyarakat Pak Musa di Pekan Beaufort.
  •