Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Mac 2008

Muzium Adat lambang kekuatan tanah beradat


SEREMBAN 12 Mac - “Biar mati anak, jangan mati adat.” Itulah pepatah Melayu yang seringkali didengar terutamanya dalam membicarakan soal adat yang sudah sebati dengan masyarakat di Nusantara ini.

Dalam usaha memartabatkan adat yang kini mulai terhakis di kalangan generasi muda, pelbagai pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menerapkan kebudayaan dan juga adat dalam kehidupan.

Justeru, menyedari kepentingan memelihara adat, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) telah membangunkan sebuah muzium yang diberi nama, Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu di sini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Muzium Adat yang mempamerkan pelbagai artifak dan replika berkaitan adat setiap bangsa serta kumpulan etnik di Malaysia akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara sebagai produk mesti dilawati.

‘‘Ini merupakan langkah kerajaan bagi memastikan semua artifak dan replika yang berhubung kait dengan adat sesuatu bangsa dan etnik dapat dipamerkan dalam usaha mendekatkan adat dengan generasi muda.

‘‘Selain dari pameran bahan-bahan artifak di Muzium Adat ini, daya tarikan pengunjung juga akan tertumpu dengan teknik pencahayaan yang pertama diperkenalkan yang juga digunakan di Muzium Negara,” katanya di sini, baru-baru ini.

Muzium empat tingkat yang mula dibina pada tahun 2005 memberi penekanan terhadap kegiatan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai adat bersesuaian dan bertepatan dengan imej serta identiti Negeri Sembilan sebagai ‘Tanah Beradat’.

Muzium ini telah dirasmikan pada awal Februari lalu oleh Undang Jelebu, Datuk Musa Wahab bersama Rais dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zakiah Ahmad dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Ibrahim Ismail.

Muzium empat tingkat ini akan memaparkan segmen-segmen yang menyentuh secara dasar mengenai pengenalan, definisi dan konsep adat pelbagai kaum akan didefinisikan di galeri pertama.

Selain itu, paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia meliputi kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di negara ini apabila pengunjung beralih ke segmen kedua.

Galeri ketiga akan menyingkap dan mendekatkan lagi kepada pengunjung tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi kesultanan Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, pengunjung juga akan menyingkap adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak Adat Perpatih di Negeri Sembilan dari sudut struktur.