Maju Melayu Perkasa!

20 Mac 2008

Ketirisan ketuanan Melayu

Oleh AZMAN ANUAR

Hampir sebahagian Semenanjung Malaysia beralih kepada parti pembangkang. Jangan hairan senario politik kini menjadi penentu ketuanan Melayu pada masa akan datang.

Ketewasan parti-parti politik yang mendukung kepentingan bumiputera dan Melayu sudah tergugat disebabkan demokrasi.

Awas jika Melayu tidak berwaspada, amalan demokrasi ini juga akan menghakis kepentingan ketuanan Melayu.

Ini kerana melalui politik pilihan raya pun boleh menghilangkan hak-hak istimewa orang Melayu.

Berdasarkan kekuatan Kerajaan Persekutuan masa kini, daripada 140 kerusi yang dimenangi, UMNO berjaya mendapat 79 kerusi berbanding 15 (MCA), 3 (MIC) dan 2 dari Gerakan serta kelebihan 41 kerusi Parlimen yang disumbangkan komponen selain UMNO di Sabah dan Sarawak.

Tanpa sokongan kuat para pengundi Sabah dan Sarawak terhadap BN, pastinya daripada jumlah kerusi yang dimenangi di Semenanjung sahaja, BN akan berhadapan dengan masalah besar untuk tidak lagi mampu menjadi pemerintah di negara ini.

Menurut Md. Shukri Shuib, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia; ini kerana di Semenanjung, BN hanya mampu mendapat 86 kerusi daripada keseluruhan 166. Selebihnya, iaitu 79 kerusi adalah di bawah pengaruh DAP, PKR dan Pas. UMNO di Semenanjung sahaja menyumbangkan 66 daripada 86 kerusi yang dimenangi BN.

“Ini bermakna hanya 20 kerusi yang berjaya disumbangkan oleh MCA, MIC dan Gerakan. Peralihan undi kali ini adalah terbesar dalam sejarah pilihan raya negara, di mana ia ibarat ‘tsunami’ yang jauh lebih teruk berbanding impak pergolakan politik 1999 yang turut dibadai oleh kesan ekonomi serantau.

“Kini dampak 2008, memaparkan sejarah tersendiri, apabila negeri-negeri Melayu seperti Perak dan Selangor memperlihatkan calon daripada bukan Melayu menerusi DAP dan PKR mula menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri dengan jumlah yang besar,” komen Md. Shukri.

Di Perak sahaja, kebuntuan melantik Menteri Besar memperlihatkan akan aspek ketuanan Melayu yang semakin merunsingkan keadaan. Dengan gabungan pembangkang menerusi sejumlah 31 kerusi, iaitu DAP mendahului kemenangan pembangkang dengan 18 kerusi diikuti PKR (7) dan Pas (6), ADUN Melayu di dalam PKR hanyalah 2, dan Pas (6).

Dengan itu, jumlah ahli DUN menerusi campuran kerajaan pembangkang di Perak hanya berjumlah 8 orang ADUN Melayu, berbanding ADUN DAP dari keturunan Cina dan India berjumlah 18.

Ini mewujudkan satu situasi bertentangan, di mana Kesultanan Perak mahukan Menteri Besar adalah daripada kalangan ADUN berketurunan Melayu.

Ini pastinya memberikan tekanan kepada situasi politik yang boleh merebakkan sentimen perkauman yang merunsingkan.

Orang Melayu seharusnya sedar bahawa, ancaman kepupusan kuasa Melayu telah pun menjadi realiti, di mana di Pulau Pinang sahaja, dengan dominasi DAP.

Menurut Md. Shukri, DAP semestinya lebih ekstrem berbanding Gerakan, dengan penguasaan 19 kerusi DUN, bersama 6 anggota bukan Melayu dalam PKR, menunjukkan penguasaan bukan Melayu di dalam DUN Pulau Pinang sahaja berjumlah 25 orang ahli Yang Berhormat, berbanding kedudukan BN yang hanya dimenangi oleh calon UMNO, yang juga Melayu sebanyak 11 kerusi dan diikuti Pas (1) serta Melayu di dalam PKR (3).

Melayu Islam hanya mempunyai 15 kerusi di dalam DUN yang didominasi DAP.

“Pemimpin UMNO yang selama ini leka dengan projek, tender, kemewahan, serta isu rasuah, nepotisme, kronisme, serta kelemahan kepimpinan, kemunduran idea, pelaksanaan projek yang tidak memberikan dampak positif kepada rakyat semestinya memikirkan akan tanggungjawab terhadap bangsa melebihi diri dan keluarga serta sahabat handai,” komen Md. Shukri.

Pemerhati politik, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Rashid pula melihat politik sekarang memang boleh menggugat ketuanan Melayu, sistem pemerintahan Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

Jika langkah-langkah serius tidak diambil oleh pemimpin Melayu sekarang, masa depan bumiputera akan tergugat.

Realiti sekarang sudah terhidang apabila kerajaan DAP di Pulau Pinang akan menghapuskan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DAP yang diberi mandat oleh rakyat Pulau Pinang tidak akan mempertahankan perjuangan orang Melayu.

“Apa yang kita bimbang, apabila kuasa politik Melayu Pulau Pinang lemah dan mudah dijatuhkan, perkara yang sama mungkin boleh berlaku di kawasan majoriti Cina di negeri lain,” kata Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik dan Inovasi, Kota Damansara, Selangor itu lagi.

Abdul Rahim memberitahu Utusan Malaysia, ketuanan Melayu kian lemah kerana perpecahan orang Melayu yang masing-masing menyokong parti yang berlainan ideologi – UMNO, Pas dan PKR.

Cauvanis

Kita dapat lihat trend pengundi Cina kini kembali lebih cauvanis dengan mengutamakan kaumnya sahaja kerana berpegang pada asas demokrasi politik ikut kaum.

“Memang sudah lama pengundi Cina tidak puas hati dengan layanan pada bukan Melayu dan mereka mahu hak-hak sama rata lalu mereka mengundi pembangkang. Malangnya generasi muda Melayu yang marahkan kerajaan juga memilih pembangkang,” jelas Abdul Rahim.

Ini juga adalah kesan daripada perpecahan orang Melayu ditambah kefahaman mengenai institusi kenegaraan yang lemah, jadi hasrat untuk melindungi hak-hak orang Melayu pun boleh ditolak begitu mudah. Adalah malang jika bukan Melayu dapat merealisasikan matlamat mereka dengan sokongan Pas dan PKR.

Jika tiada penyatuan Melayu propembangkang dan Melayu prokerajaan, ini memudahkan kuasa ketuanan Melayu dicarah dan dihakis oleh bukan Melayu.

Sekarang, menurut Abdul Rahim, wujud satu trend baru untuk merombak ketuanan Melayu dengan terancang melalui gerakan politik pilihan raya.

Trend sikap pengundi bukan Melayu kepada BN sudah beralih kepada pembangkang. Orang Melayu harus sedar kepimpinan Melayu boleh ditukar pada masa akan datang.

“Kalau perkara ini tidak disedari oleh Melayu, kita akan lihat orang Melayu akan hilang kuasa dan ketuanan akan hancur apabila politik negara dikuasai pembangkang yang ideologi perjuangannya jauh daripada agenda bangsa, agama dan negara,” kata bekas pensyarah Universiti Malaya itu lagi.

Abdul Rahim bimbang orang Melayu akan terpinggir di kawasan yang dikuasai oleh pembangkang yang melaksanakan bentuk diskriminasi baru. Walaupun sedar Melayu miskin namun hak peribumi ini mungkin dinafikan kerana dasar sama rata.

“Walau apa pun Melayu paling rugi. Melayu perlu nilai semula perjuangan politik, jika tidak politik pilihan raya boleh menghakis kuasa Melayu,” kata Abdul Rahim merumuskan cabaran yang mendepani Melayu sekarang.

Kini bukan pelik apabila Melayu mengundi DAP. Apabila pengundi Melayu tersedar daripada lamunan, Pulau Pinang dan Perak sudah dikuasai oleh parti bukan Melayu/Islam.

Pada hakikatnya menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, pengundi Melayu telah mengambil risiko besar dengan memangkah pembangkang.

Bukan suatu yang mustahil jika suatu hari nanti isu-isu hak orang Melayu akan disentuh oleh pemimpin DAP di Pulau Pinang dan Perak kerana jumlah mereka ramai.

Oleh itu, tegas Mohd. Zainul Fithri, untuk menjamin ketuanan Melayu dipertahankan, maka UMNO kena menjadi parti Melayu tulen.

“Kalau tidak, ada parti politik lain yang akan ambil tanggungjawab itu. Sentimen sekarang pengundi tidak memikirkan bab ketuanan Melayu. Apa yang terpendam di dalam hati ialah perasaan kecewa mereka terhadap pemerintahan BN.

“Mereka mengubah sokongan daripada BN kepada pembangkang sebagai tanda protes dan bukan disebabkan PKR hebat.

“BN dan UMNO menerima musibah ini kerana terlalu ramai pemimpin yang lapar dan tamakkan kuasa serta melupakan perkhidmatan kepada rakyat,” jelas Naib Presiden Management & Science University (MSU) itu.