Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID
MELAKA 16 Mac - Pelbagai persatuan sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini digesa menganjurkan lebih banyak pertandingan berasaskan sukan tradisi rakyat dalam usaha mempopularkan sukan tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, minat dan populariti sukan tradisi seperti sepak takraw, gasing dan congkak yang suatu ketika dahulu sangat popular di kalangan masyarakat Melayu jika bijak diketengahkan mampu menaikkan nama negara ke persada antarabangsa.
Misalnya, kata beliau, penganjuran pertandingan sukan sepak takraw perlu diteruskan dari semasa ke semasa agar minat dan bakat yang ada di kalangan masyarakat tempatan tidak lenyap begitu sahaja.
''Penganjuran kejohanan sepak takraw adalah salah satu usaha mengembangkan semula permainan tradisi masyarakat Melayu ini agar ia 'tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan'.
"Justeru, kerajaan negeri amat menggalakkan mana-mana persatuan sukan atau NGO yang berhasrat menganjurkan kejohanan sukan tradisi kerana usaha tersebut membantu kita mengetengahkan lagi sukan rakyat," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ali, pada masa sama, pihaknya berharap pihak swasta turut sama memainkan peranan termasuk menjadi penaja kepada kejohanan sukan tradisi rakyat agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Ini kerana, katanya, tanpa penyertaan pihak swasta, sukar bagi sesebuah penganjur untuk mempopularkan aktiviti sukan tradisi.
''Bagaimanapun, seperti yang kita lihat pada hari ini, permainan tradisi seperti gasing atau congkak hanya popular di kampung-kampung lama kerana ia semakin dilupakan oleh generasi muda.
''Bagi orang luar yang pertama kali menyaksikan pertandingan gasing, ia berbaloi untuk ditontoni kerana mereka dapat melihat sendiri aksi dan gaya seseorang pemain memangkah gasing lawan,'' kata Mohd. Ali.
Kata beliau, melalui usaha memperbanyakkan sukan tradisi ini diharap mengembalikan semula kegemilangan permainan gasing yang begitu popular sebelum tahun 1980-an.