Maju Melayu Perkasa!

20 Mac 2008

Tarik semua ahli politik Melayu bersatu

Oleh Zulkiflee Bakar

DALAM ajaran Islam terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri.”

Inilah sebabnya Baginda Rasulullah SAW menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan toleransi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh.

Begitu juga dengan usaha menyatukan orang Melayu dalam satu saf ini demi mempertahankan hak dan kuasa mereka.

Dalam perkembangan politik terutamanya selepas berlaku tsunami pada 8 Mac lalu, ia bukan sahaja membuktikan bahawa kuasa rakyat penentu segala-galanya dalam politik.

Malah ia juga menunjukkan betapa rapuh kuasa politik dan perpaduan di kalangan orang Melayu.

Tanpa berhasrat untuk mewujudkan sebarang sentimen perkauman, perubahan politik yang berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang menyaksikan banyak kerusi dikuasai bukan Melayu adalah jelas, kuasa politik orang Melayu semakin rapuh.

Justeru masanya sudah tiba untuk orang Melayu berfikir dengan matang, apakah mereka akan terus membiarkan keadaan ini berlanjutan atau kembali berada di saf yang sama.

Hakikatnya, tidak salah untuk UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas berbeza pandangan atau memperjuangkan ideologi politik masing-masing.

Tetapi dalam soal perpaduan Melayu mereka harus berdiri bersama dan berganding bahu demi memastikan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tidak atau cuba dicabuli oleh mana-mana pihak.

Pada April 2001, ketika berucap di Par- limen, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada masa itu memegang jawatan Perdana Menteri menegaskan;

“Perpaduan Melayu yang dimaksudkan oleh UMNO bukanlah perpaduan secara total sehingga mereka tidak boleh ada hubungan ataupun kerjasama dengan orang bukan Melayu sama sekali.

“Ia juga bukan untuk bermusuh dan menentang atau berperang dengan bukan Melayu. Perpaduan ini hanyalah untuk mempertahankan apa yang sudah pun diiktiraf sebagai hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara khususnya disebut dalam Perlembagaan Negara bahawa:

* Orang Melayu iaitu penduduk asal negeri-negeri Melayu mempunyai hak yang istimewa sebagai rakyat Malaysia;

* Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara;

* Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia;

* Raja-raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang men- jadi sebahagian daripada Malaysia.

“Perpaduan Melayu hanya diperlukan jika ada cabaran berkenaan empat perkara di atas. Cabaran ini mengancam hak semua orang Melayu sama ada daripada parti UMNO, Pas ataupun lain-lain.

“Justeru itu, mempertahankannya tidak menguntungkan UMNO daripada segi politik parti. Yang untung ialah semua orang Melayu dan semua mereka patut terlibat dengan pertahanan ini.”

Kenyataan Dr. Mahathir itu jelas membuktikan bahawa jika UMNO dan Pas atau PKR bersatu demi perpaduan Melayu, ideologi dan perjuangan politik mereka tidak akan berakhir.

Oleh itu, dalam soal untuk menarik kesemua parti yang dianggotai oleh orang Melayu ini, mereka harus kembali kepada ajaran Islam iaitu memupuk kasih sayang sesama umat.

Jika Islam dijadikan teras bagi mencapai perpaduan Melayu sudah pasti UMNO, PKR atau Pas tidak akan bertelagah sehingga akhirnya menyebabkan orang Melayu dan umat Islam berpecah belah seperti sekarang.

Untuk tujuan itu, kesemua parti politik yang dinyatakan harus menghapuskan sikap menanam sentimen kebencian sesama mereka.

Ini kerana dalam Islam, jika sifat buruk seperti suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya ia ternyata akan merugikan kita kelak.

Justeru masanya sudah tiba, bagi semua pemimpin-pemimpin Melayu memikirkan dengan tenang hikmah di sebalik tsunami politik pada 8 Mac lalu.

Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan sesuatu itu berlaku tanpa ada hikmahnya. Mungkin inilah hikmah iaitu semakin kurangnya kuasa politik orang Melayu.

Mungkin ada antara pemimpin politik atau juak-juak mereka yang masih menganggap sudah tersepit baru hendak bercakap soal perpaduan Melayu.

Tetapi bukankah kita juga sebagai seorang Islam diseru untuk memikirkan setiap hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu.

Berdasarkan kepada hakikat tersebut, adalah perlu orang Melayu tanpa mengira fahaman politik memikirkan dengan serius bagi menyatukan semula golongan itu yang kini terus berpecah belah.

Tidak kisah jika mereka hendak bertarung secara sihat dalam pilihan raya kerana itulah amalan demokrasi tetapi janganlah sampai mewujudkan perpecahan sehingga ke akhir hayat.

Mahu tidak mahu orang Melayu dan Islam menghadap kiblat yang sama dan diikat dengan kukuh melalui ukhuwah Islamiah.

Adalah diharapkan tsunami politik berkenaan akan menjadi titik tolak kepada perpaduan Melayu kerana ia bukanlah sesuatu yang mustahil, selagi kita mampu mengawal nafsu ingin berkuasa semata-mata.

Percayalah, kalau orang Melayu terus bertelagah sesama sendiri tanpa secebis pun hasrat untuk bersatu sudah pasti suatu hari kelak kita bukan sahaja kehilangan semua hak dalam perlembagaan malah tidak mustahil akan menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ketika itu anak cucu akan berada di sisi kuburan kita, bukan untuk berdoa tetapi menyumpah kita kerana kedegilan untuk bersatu demi makhluk bernama Melayu.