Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Dr. M ubah fikiran mengenai Najib


Oleh NIZAM YATIM
HERMAN HAMID

PETALING JAYA 1 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini menyatakan sokongan terbuka supaya Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui kepimpinan nombor satu negara, mengubah fikiran apabila menyatakan beliau tidak kisah siapa yang akan dipilih.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, peluang harus diberi kepada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk bertanding jawatan Presiden sama ada Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau pemimpin-pemimpin lain.

“Dulu Najib, entah kenapa (sekarang) saya tukar fikiran. Kita beri peluang kepada sesiapa bagi mempelawa diri dan kalau munasabah dia harus disokong,” katanya ketika sesi dialog pada Forum UMNO Pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 di sini.

Forum anjuran portal Internet Mykmu.net turut disertai ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo; Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Dr. Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang peserta mengenai sikap Najib yang dilihat banyak mendiamkan diri dalam keadaan ahli-ahli kini mendesak dilakukan pembaharuan terhadap parti.

Pada Januari lalu, Dr. Mahathir mendedahkan terdapat perjanjian lisan pada 2003 yang mengkehendaki Abdullah menjadi Perdana Menteri hanya untuk satu penggal sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Najib.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan dinafikan oleh Abdullah yang menegaskan tiada perjanjian seumpama itu dibuat antaranya dengan Dr. Mahathir.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama, beliau berkata, kritikan yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) berpunca daripada kelemahan pelaksanaan.

“Dasar ini sebenarnya baik dan masalah yang timbul berpunca daripada orang Melayu sendiri apabila diberikan projek menyerahkan kepada kaum lain,” ujarnya.

Mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin bahawa kritikan Dr. Mahathir telah menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah, beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana beliau tidak mahu menyokong pemimpin tidak baik.

“Saya salah (mengkritik kepimpinan Abdullah). Saya akui ia jadi satu sebab (menghakis keyakinan rakyat pada Abdullah) kerana tidak mahu sokong pemimpin seperti ini kerana ia tidak baik bagi parti dan negara.

“UMNO boleh dipulihkan jika semua ahli berani menyuarakan pendapat dan saya hairan kenapa semua ahli MT takut untuk menyatakan pendirian yang berbeza daripada Abdullah.

“Mereka juga seolah-olah takut dengan budak mentah (Khairy Jamaluddin) ini dan jika mereka masih tidak mahu menyuarakan apa yang benar, maka UMNO akan menghadapi jalan kehancuran,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, beliau tidak gentar disingkir daripada parti akibat kelantangan menyuarakan pendapat kerana pernah mengalaminya sebelum ini.

“Saya juga hairan kenapa Abdullah masih tidak berundur walaupun isyarat telah diberikan oleh rakyat.

“Mungkin ini juga berpunca daripada sikap media massa yang hanya melaporkan perkara yang suka didengar oleh Abdullah sahaja yang berbeza dengan perasaan sebenar rakyat,” ujarnya.

Tegas beliau, dalam sejarah negara, tidak pernah terdapat Perdana Menteri yang datang dari negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, perhimpunan agung khas atau mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti perlu diadakan bagi meminda perlembagaan UMNO bagi memansuhkan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Katanya, jika ada desakan ramai, MT akan setuju mengadakan perhimpunan ini yang seharusnya turut digunakan bagi mengkaji punca kekalahan besar UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

“Saya tertarik dengan cadangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) supaya UMNO mengadakan mesyuarat khas membincangkan kekalahan, tapi perlu juga bincang soal sistem kuota,” katanya.