Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Kenapa perlu pinda AUKU?


Saya tertarik dengan cadangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin untuk mengkaji Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru- baru ini.

Sebelum kajian dan tindakan dilakukan, saya memohon pihak berkenaan mengkaji apakah rasional perlunya AUKU dikaji? Setakat saya berada di dua buah universiti sewaktu mengambil ijazah pertama dan kini sarjana, keperluan AUKU yang sedia ada bagi saya tidak langsung menyekat kebebasan pelajar.

Mengapa perlu AUKU dipinda bagi membolehkan pelajar lebih aktif dengan persatuan di luar? Sedangkan persatuan dalam universiti pun mereka tidak aktif atau terlibat secara ikhlas dan penuh tanggungjawab, apatah lagi pertubuhan luar yang pasti akan mengganggu urusan pengajian mereka.

Apakah kajian dan kelonggaran AUKU akan membebaskan kebanyakan pelajar Melayu yang jumud, malas dan gemar berfoya-foya untuk lebih cemerlang dalam pengajian mereka? Mampukah universiti kelak melahirkan lebih ramai cerdik pandai Melayu jika AUKU dihapuskan atau dipinda? Saya fikir langsung tidak?

Malah saya penuh yakin AUKU yang lebih terbuka ini kelak akan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang fanatik dan menyokong membabi buta kepada fahaman politik emosi yang dimainkan pembangkang. Negara kelak akan melahirkan lebih ramai ‘intelek Melayu beremosi marah’ bukannya ‘intelek Melayu rasional dan matang menilai’.

Kita sudah pun melihat hasilnya sekarang kerana di kebanyakan IPTA, lepasan universiti, golongan terpelajar, guru-guru, ahli agama lebih dikuasai oleh nafsu amarah dan tidak rasional.

Golongan yang mengaji agama pun bercakap mengikut nafsu marah terhadap kerajaan tanpa boleh merujuk firman Allah atau hadis nabi yang menyokong pandangan mereka. Sebaliknya sebarang doktrin songsang dijadikan asas menyokong hujah tidak rasional mereka.

Bukanlah pelik kerana tiada siapa yang boleh mengatakan mereka boleh bebas dari bisikan syaitan walaupun mereka tok guru atau ahli agama.

Justeru tidak hairan ramai Melayu Islam yang bercakap dan menilai dari segi emosi dan bukannya dari sudut rasional dan matang kerana jiwa yang kotor, menghina menjadi keseronokan dan marah yang tidak bertempat kerana hasutan syaitan.

Sudahlah gelodak jiwa remaja itu sendiri agresif, ditambah pula kelonggaran AUKU, entah apa pula kesannya, sama-samalah kita lihat.

Maka jika pelajar IPTA juga dibenarkan menerima AUKU yang kononnya lebih bebas, percayalah, mereka akan lupa peranan sebenar untuk menuntut ilmu yang besar ganjarannya di sisi agama Islam.

Ruang kelalaian mereka yang sedia ada akan dibantu pula oleh pindaan AUKU ini. Jika kita sebagai ibu bapa bersedia dan mahu anak-anak kita mengabaikan peranan mereka sebagai pelajar di IPTA dan lebih berminat dalam bidang yang tidak sepatutnya mereka ceburi (semasa di IPTA) maka silakan AUKU baru diperkenalkan.

Kita akan melihat kaum Cina dan India tersenyum girang kerana sudahlah peribumi Melayu lemah dalam semua bidang, anak-anak Melayu cerdik pandai diberikan kebebasan politik dan ruang mencari salah orang lain.

Hakikatnya peluang kaum bukan Melayu bertambah-tambah lagi untuk lebih berjaya. Tanpa kita sedar inilah senjata mudah melekakan anak-anak Melayu di IPTA yang sebenarnya selama ini pun tidak berpijak di bumi nyata.

Dengan jujur saya merayu kepada orang Melayu, lihatlah keupayaan kita berbanding mereka. Anak-anak mereka tidak diajar berpolitik dalam usia muda, anak- anak mereka dididik menghargai setiap manusia di keliling mereka.

Mereka juga tidak sibuk melayari Internet dan merosakkan minda bangsa mereka. Rata-rata laman web yang kotor, hasutan dan blogger adalah dicipta oleh anak-anak Melayu yang kerjanya memusnahkan pemikiran bangsa sendiri. Pendek kata banyak betul yang buruk dalam diri kita tetapi kita masih sibuk mencari salah orang lain.

Malang bagi saya untuk mengatakan Melayu masih tidak mahu sedar dan lupa kerana selagi dendam dan kebencian tidak bertukar kasih sayang maka kita harus bersedia melihat kemusnahan bangsa di depan mata.

Saya mungkin akan menangis tetapi saya juga akan bertepuk tangan melihat kebodohan Melayu yang tidak sayangkan bangsanya sendiri dan memperlecehkan pemimpin mereka hanya kerana merebut kuasa yang tinggi seinci cuma.

– BUKAN MELAYU, BERJIWA MELAYU

Universiti Malaya.