KUALA LUMPUR 31 Mac - UMNO tidak boleh menyalahkan rakyat yang menolak parti itu pada pilihan raya lalu sehingga menyebabkan kuasa orang Melayu terhakis dalam politik negara.
Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ini kerana sistem politik berasaskan demokrasi berparlimen memberi hak memilih kepada rakyat dan ia menjadi sistem yang diamalkan di negara ini.
Sehubungan itu, kata beliau, dalam soal tersebut, UMNO perlu bermuhasabah untuk mencari sebab kepada kehilangan kuasa dan sokongan itu.
‘‘Kita perlu mengkaji dan membuat analisis untuk menentukan kedudukan kita sebagai parti tonggak dalam Barisan Nasional (BN) dapat dipertahankan.
‘‘Soalnya sekarang, kita amat pandai bercakap apabila nasi menjadi bubur. Marilah kita pastikan bahawa nasi tidak menjadi bubur. Itu lebih penting,’’ katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa UMNO perlu menerima hakikat orang Melayu sudah hilang kuasa dan mengharapkan bantuan dari Sabah serta Sarawak untuk terus kekal memimpin negara.
Menurut Tengku Razaleigh, parti itu perlu melakukan sesuatu kerana rakyat khususnya di Semenanjung sudah mula hilang kepercayaan terhadapnya.
Syed Hamid berkata, dalam sistem politik yang diamalkan di negara ini, sesiapa pun boleh terhakis kuasanya kalau tidak mendapat penerimaan daripada rakyat.
‘‘Kita kalah di beberapa negeri, tetapi tidak semua. Di negeri yang kita tewas seperti Perak, Kedah, majoriti diperoleh parti pemerintah sekarang bukannya kuat atau besar.
‘‘Di peringkat nasional, kita cuma tidak berjaya mendapat dua pertiga tetapi majoriti kita bagus tapi suasana macam ini kita tak pernah lalui, maka banyak kekhuatiran dan cakap-cakap,’’ ujarnya.
Syed Hamid berkata, tidak kira apa saja yang diperkatakan oleh ahli UMNO atau parti Melayu lain, pada akhirnya, mereka perlu melihat ke dalam diri sendiri untuk mencari penyelesaian.
‘‘Pada saya, apa juga UMNO dan parti Melayu nak cakap, akhirnya kita kena muhasabah untuk melihat bagaimana kita mahu tentukan kekuatan politik kita tidak terhakis,’’ katanya.