Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Kekalkan Jengka sebagai bandar Melayu


ANDAR JENGKA 30 Mac – Majlis Daerah Maran (MDM) diminta bertindak proaktif dengan menghalang pihak luar yang membina bangunan tanpa kebenaran di Bandar Jengka di sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said berkata, tindakan itu jika tidak dibendung, boleh mengikis imej Bandar Jengka sebagai bandar bumiputera di Pahang.

Tegasnya, semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan jika mahu membina bangunan atau rumah di bandar ini.

‘‘Ada pihak terutama peniaga bukan bumiputera dengan sewenang-wenangnya membina bangunan kedai untuk sewaan menyebabkan berlakunya pencabulan terhadap usaha mengekalkan status bandar bumiputera ini.

‘‘Saya selaku Ahli Parlimen di kawasan itu telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perkara ini dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Majlis Kesyukuran Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka dan Parlimen Kuala Krau di Balora Mastika di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 warga Jengka termasuk pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, pegawai Felda dan kakitangan kerajaan berarak sejauh 10 kilometer dari Stadium Mini Nadi Kota ke Balora Mastika.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail; Timbalan Pengarah UiTM Pahang, Mohd. Nasir Ibrahim; Pegawai Penerangan Felda Wilayah Jengka, Basri Ramli dan penceramah undangan dari UiTM Pahang, Faridzul Amri.

Ismail menegaskan, status Bandar Jengka perlu dikekalkan kerana ia merupakan maruah orang Melayu dan UMNO yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan ‘bandar bumiputera’ di negara ini.

‘‘Oleh itu, pihak di luar UMNO atau yang berorientasikan keuntungan tidak harus memandang sebelah mata aspirasi kerajaan itu demi menjaga imej orang Melayu,‘‘ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail mengingatkan rakyat supaya mengelak daripada membesar-besarkan isu yang remeh-temeh yang boleh membawa perpecahan sekali gus merugikan bangsa, agama dan negara.