Oleh HARIS FADILAH AHMAD
|
|
KUALA LIPIS – Usaha mengindahkan Bandar Kuala Lipis sebagai destinasi pelancongan utama di Pahang terus dijalankan dengan memberi tumpuan memulihara bangunan bersejarah tinggalan penjajah British di sini.
Antara monumen bersejarah yang terdapat di bandar ini termasuk Rumah Rehat Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907) dan Rumah Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang dibina pada tahun 1920.
Bangunan kolonial lain yang masih kukuh di daerah ini ialah kediaman rasmi Pegawai Daerah yang dibina pada 1929, Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos (1910), Asrama Jururawat (1926), Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919) dan batu bertanda yang menjadi pusat menyukat perbatuan negara.
Menyingkap semula sejarah bandar ini, Kuala Lipis pernah menjadi ibu negeri Pahang pada 1898 dan pusat pemerintahan British sejak bermula Sistem Residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada kurun ke-19.
Menurut Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman, status Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah tetap dipertahankan menerusi projek pemuliharaan dan pengindahan dilakukan oleh Majlis Daerah Lipis (MDL) dan agensi kerajaan di sini tahun ini.
‘‘Kuala Lipis memang sesuai sebagai destinasi pelancongan kerana di sini terdapat monumen dan artifak bersejarah dan menjadi transit pelawat yang berkereta api ke Kelantan, Thailand dan Taman Negara Kuala Tahan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohamed Shahrom meminta syarikat-syarikat pelancongan tempatan memilih Bandar Kuala Lipis untuk program ‘lawatan sehari’ bagi memberi peluang pelancong melihat monumen peninggalan British di sini.
Monumen bersejarah itu, menurutnya, masih kukuh binaannya dan ada yang digunakan untuk kediaman rasmi pegawai kerajaan, pusat sukan, rumah persinggahan, sekolah dan pejabat pentadbiran.
‘‘Binaan itu menjadi nostalgia bagi mereka yang pernah berkhidmat di bawah kerajaan British sebelum dan selepas merdeka kerana Kuala Lipis pernah menjadi pusat pentadbiran utama sebelum dipindahkan ke Kuantan,’’ katanya.
Selain tempat bersejarah, Mohamed Shahrom berkata, pelawat juga berpeluang singgah di Taman Rimba Kenong, Hutan Simpan Kemahang, Kuala Medang, Merapoh, Empangan Jaleh dan Hutan Lipur Terenggun yang kaya dengan flora dan fauna di samping menikmati keindahan alam semulajadinya.
Keindahan
Katanya, keindahan hutan dara, sungai, perkampungan Orang Asli di Betau, Temetong, Bencah Kelubi, Lanai dan binaan peninggalan British berjaya menarik seramai 50,000 ke Lipis pada tahun lalu.
‘‘Oleh itu, usaha memulihara bangunan sejarah dan mengindahkan kawasan bandar dijalankan berterusan oleh MDL agar tetap unggul sebagai bandar bersejarah di Pahang,’’ katanya.
‘‘Pembukaan jalan baru Bandar Lipis ke Kuantan melalui Jerantut dan menaik taraf jalan dari Bentong ke Lipis dan Relong ke Merapoh mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan dan pertanian di daerah ini,’’ ujarnya.
Beliau berkata, pelawat tempatan dan pelancong asing juga boleh menginap di beberapa hotel dan Rumah Rehat Bukit Residen serta Rumah Rehat Tanjong Lipis yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hidangan makanan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar.
Justeru, katanya, MDL dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan sedang giat mempromosi daerah ini malah menobatkan Kuala Lipis sebagai bandar bersejarah di Pahang.
Sumbangan MDL dan agensi lain kepada pembangunan pelancongan, menurutnya, juga diteruskan dengan projek menceriakan bandar Kuala Lipis dengan tanaman sebanyak 80,000 batang pokok bunga raya dan bunga kertas secara berperingkat sejajar dengan kempen yang dilaksanakan Jabatan Landskap Negara dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, usaha memperkenalkan warisan sejarah kepada pelawat terutama pelajar ke sini dilakukan menerusi brosur pelancongan yang disediakan kerajaan negeri, MDL dan agensi berkaitan.
Mohamed Shahrom yakin Kuala Lipis akan terus menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2008 jika semua pihak memberi kerjasama mengekalkan kebersihan dan keceriaan bandar ini.