Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27 April 2008

Kembali mantapkan bahasa budaya Melayu


KUALA LUMPUR 25 April - UMNO perlu kembali kepada perjuangan memantapkan bahasa dan budaya Melayu di negara ini jika mahu kekal relevan dalam jiwa orang Melayu.

Pengerusi Institut Terjemahan Negara, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh berkata, UMNO pada masa ini dilihat sudah melupakan asas perjuangan itu dan perkara berkenaan melukakan masyarakat Melayu.

Katanya, kegagalan mempertahankan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda beberapa tahun lalu adalah bibit kegagalan UMNO yang terbesar dalam mempertahankan budaya dan bahasa Melayu.

Hakikatnya, kata beliau, kegagalan itu sebenarnya kekal dalam sanubari sebahagian besar masyarakat Melayu menyebabkan ramai yang berpindah sokongan kepada parti lain pada pilihan raya umum lalu.

Jelas beliau, pendirian UMNO dalam soal budaya dan bahasa bangsa adalah sangat lemah jika dibandingkan dengan parti MCA yang akan bermati-matian dalam mempertahankan budaya kaum Cina di negara ini.

''Orang Cina dan India memperjuangkan hak masing-masing secara menyeluruh, tetapi UMNO tidak dilihat berbuat demikian,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Forum Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Penghantar Sistem Pendidikan Negara: Ke Manakah Kita? anjuran Persatuan Linguistik Malaysia di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Ahli panel lain yang hadir ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Prof. Dr. Soejono Dardjowidjojo.

Tambah Dr. Wan Hashim, UMNO tidak sepatutnya hanya menumpukan kepada aspek ekonomi semata-mata dalam perjuangan untuk orang Melayu.

''Dasar Ekonomi Baru (DEB) memang betul perlu diperjuangkan, tetapi pada masa yang sama, bahasa dan budaya Melayu juga perlu diberikan penekanan yang sama kuat,'' katanya.

Sementara itu, Dr. Nik Safiah berkata, sistem pengajaran bahasa Inggeris perlu diperbaiki segera.

''Mengapa 11 tahun belajar bahasa Inggeris dari sekolah rendah hingga menengah tetapi masih gagal menguasainya,'' soal beliau.

Katanya, sepatutnya ada usaha memperbaiki kaedah pengajaran bahasa Inggeris dan bukannya mengubah pengajaran Sains dan Matematik ke dalam kaedah tersebut.

---

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab ahli UMNO untuk memperbaiki keadaan itu atau berhadapan dengan risiko penolakan penuh daripada orang Melayu terhadap parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang.