Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27 April 2008

Di mana dana untuk penulis?


Bersama Azman IsmaIL

NAMANYA Chanakya dan sering dijuluki sebagai Niccolo Machiavelli dari India. Dia adalah profesor ilmu politik dan ekonomi, Universiti Takshashila pada era India kuno dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan Mauryan yang dipimpin oleh Chandragupta Maurya.

Karya agung Chanakya ialah Arthashastra (Ilmu Mendapatkan Harta), sebuah karya yang membicarakan secara khusus tentang harta, sistem tukar barang (barter) dan pengurusan perniagaan.

Tumpuan Arthashahstra ialah konsep pentadbiran perniagaan yang tersusun dan lengkap termasuk etika dalam bidang ekonomi yang relevan hingga ke hari ini.

Chanakya juga memberi tumpuan kepada isu-isu kesejahteraan seperti pengagihan kekayaan kepada golongan papa dan etika kolektif yang dapat mengikat rasa kebersamaan masyarakat.

Antara saranan penting Chanakya ialah mewujudkan satu tabung atau pusat pengumpulan harta (mungkin dapat di sebut dana khas pada hari ini) untuk membantu golongan miskin membina kehidupan yang lebih baik.

Pemahaman tentang sebuah dana untuk membiayai sesuatu kegiatan dan kebajikan kemanusiaan tersebut kemudiannya berkembang dan diadaptasi oleh masyarakat Barat. Ia malah menjadi satu asas ekonomi baru.

Kebijaksanaan ekonomi di Eropah pada akhir Zaman Pertengahan dan era Pencerahan antara lain mewajibkan para pedagang dan aktiviti ekonomi membayar cukai. Pembayaran itu dimasukkan dalam tabung khas yang diuruskan oleh gereja.

Dana khas tersebut oleh Niccolo Machiavelli dalam karyanya The Prince dianggap sebagai satu era baru dalam perekonomian Eropah yang bertujuan merapatkan jurang status golongan birokrat dan masyarakat pada waktu itu.

Pandangan-pandangan Machiavelli tersebut mendapat sokongan padu pemikir-pemikir ekonomi klasik Eropah selepasnya seperti Richard Cantillon, Jaques Turgot dan Etienne Bonnot de Condillac.

Richard Cantillon (1680-1734) oleh beberapa ahli sejarah ekonomi dianggap sebagai bapa ekonomi moden. Bukunya Essay on the Nature of Commerce in General (1755) misalnya menggariskan mekanisme pasar bebas serta peranan keuntungan bagi kesejahteraan masyarakat (termasuk saranan untuk mewujudkan dana kebajikan).

Bagaimanapun, pandangan Cantillon dan pemikir-pemikir ekonomi klasik selepasnya seperti Adam Smith, David Ricardo dan John Stuart Mill dalam konteks pasar bebas dibantah keras oleh Karl Marx. Beliau dalam Das Kapital melihatnya sebagai asas kewujudan kekuatan kapitalisme.

Biar apa pun pandangan oleh Chanakya hingga pemikir-pemikir ekonomi moden hingga Marx dan John Maynard Keynes (pengasas mikroeknomi) tentang kewujudan satu tabung (dana) untuk kesejahteraan, ia sangat menarik.

Dana adalah kumpulan wang untuk sesuatu tujuan atau kegunaan. Dalam konteks sekarang ia diwujudkan untuk pelbagai tujuan. Boleh sahaja untuk membantu mangsa-mangsa bencana, meningkatkan kesejahteraan dan lain.

Bagi Marx, dana merupakan simbol pengagihan sosial dan penghapusan kelas ekonomi dalam sesebuah masyarakat - menandakan sosialisme dan egalitarianisme (pandangan yang diambil daripada pemikiran logik Friedrich Hegel).

Dalam konteks Malaysia, ada pelbagai tabung dan dana untuk kesejahteraan. Sebut apa sahaja bidang, daripada sains dan penyelidikan teknologi hingga bidang seni yang sentiasa ada peruntukan tertentu sama ada oleh kerajaan mahupun swasta.

Bidang perfileman misalnya, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mewujudkan Dana Perfilemen RM50 juta setiap lima tahun untuk semua kegiatannya khususnya pembuatan filem.

Dana Perfileman yang disalurkan melalui agensi kementerian itu iaitu Finas itu memberi kesan positif. Hasilnya, jumlah penghasilan filem-filem Melayu telah meningkat sehingga hampir 40 buah setahun.

Namun, pernahkah kita bertanya, kenapa dana untuk para penulis diwujudkan sedangkan mereka juga adalah karyawan yang sama-sama membina ketamadunan dan intelektualisme bangsa?

Mungkinkah para penggiat sastera dan teater hanya karyawan kelas kedua yang tidak perlu diberi perhatian yang sewajarnya hingga ada karya penulis bergelar Sasterawan Negara tidak lagi diterbitkan.

Kenapa, tidak dibuat kebijaksanaan serupa untuk para penulis yang boleh disalurkan melalui Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) atau Persatuan Penulis Nasional (Pena)? Mereka (para penulis) tidak pernah meminta hingga RM50 juta.

Kos penerbitan sesebuah karya tidak sama dengan produksi sesebuah filem. Cukup RM100,000 atau mungkin kurang untuk sesebuah penerbitan sejumlah karya. Lagi pun masyarakat Malaysia tidak `terlalu’ suka membaca!

Jika meminjam pandangan Chanakya, pengagihan kekayaan kepada masyarakat tidak hanya dalam bentuk material tetapi juga peranan, bertanggungjawab dan nilai-nilai etika penguasa.