Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Melayu Perak takut hilang keistimewaan


Oleh Angelina Sinyang

TAIPING 30 Mac – Orang Melayu di negeri ini bimbang hak keistimewaan kaum itu akan terabai berikutan barisan Exco kerajaan campuran itu dimonopoli oleh parti DAP.

Anggota Exco itu terdiri enam daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (3) dan seorang daripada Pas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata orang Melayu yang ditemui menyatakan perasaan bimbang dengan pelantikan Exco baru tersebut kerana ia dilihat tidak seimbang.

Kebimbangan ini ditambah lagi apabila perangkaan bancian 2001 menunjukkan 56 peratus atau 1,130,900 daripada 2,157,700 penduduk Perak adalah berketurunan Melayu.

Meskipun kerajaan campuran tersebut diketuai Menteri Besar daripada Pas iaitu Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, tetapi penduduk melihatnya bidang kuasa mungkin terhad memandangkan hanya tiga Exco yang dilantik adalah kaum Melayu iaitu dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Pas.

Seorang peniaga, Ismail Khamis, 58, berkata, jumlah Exco mewakili kaum Melayu yang amat sedikit itu cukup membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan mereka hilang suara dan sokongan dalam pemerintahan.

“Hakikatnya, DAP mempunyai kelebihan untuk bersuara selepas ini kerana mereka diwakili Exco yang ramai berbanding Exco yang mewakili kaum Melayu dan terpaksa beralah kepada mereka jika mahu membuat keputusan.

“Apa yang dibimbangkan oleh orang Melayu terutama golongan peniaga seperti saya ialah kemungkinan ditarik balik hak keistimewaan yang dinikmati sebagai peniaga bumiputera selepas ini,” katanya yang berasal dari Kamunting.

Afzarina Adull Manan, 32, berkata, barisan Exco kerajaan campuran yang dilantik semalam memang tidak adil dan tidak seimbang apabila majoriti dikuasai DAP sedangkan Exco mewakili kaum Melayu hanya tiga orang, manakala India seorang.

Katanya, apabila hanya satu kaum menguasai kerajaan, ia secara tidak langsung akan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada rakyat kerana bimbang wujud sistem pemerintahan yang tidak adil.

“Jika perkara ini berlaku, kita bimbang akan wujud perpecahan kaum di negeri ini yang mana sekarang ini pun kita boleh melihat pergolakan dalam masyarakat Melayu apabila ada di kalangan mereka menyertai demonstrasi membantah kerajaan yang baru dilantik ini,” ujarnya.

Pelajar kejururawatan di Bukit Merah Lake Town Institute of Allied Health Sciences, Diyana Abu Kassim, 22, berkata, dia yang mewakili golongan muda berasa sedih apabila perjuangan mendapatkan kemerdekaan yang diketuai kaum Melayu suatu ketika dahulu seolah-olah dilupakan apabila kerajaan negeri Perak sekarang ini dikuasai DAP.

Beliau berkata, ini kerana sudah 50 tahun Perak berada dalam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan seterusnya berjaya memberi pembangunan yang adil serta seimbang kepada semua kaum khususnya bumiputera.

“Apabila kerajaan campuran dikuasai DAP mengambil alih pemerintahan di Perak, kami generasi muda dari kalangan kaum bumiputera berasa was-was sama ada mereka mampu memerintah adil di negeri ini.

“Justeru, kami harap kerajaan baru ini akan menunaikan janji mereka untuk memberi keadilan kepada rakyat seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya dahulu. Sekiranya gagal, jadilah nasib Melayu Perak seperti Melayu Singapura,” katanya.

Tukang masak, Mohd. Nazri Rosli, 20, berkata, pelantikan Exco baru semalam dilihat mempunyai kelemahan dan kelebihan jika dinilai daripada sudut tertentu.

“Barisan Exco baru ini dianggap lemah kerana hanya dikuasai DAP, tetapi kehadiran mereka diharapkan mampu merangsangkan pertumbuhan ekonomi dan pastinya boleh menarik ramai pelabur ke Perak,” katanya.