KUALA LUMPUR 30 Mac – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahu Kesatuan Eropah (EU) dan kerajaan Belanda memainkan peranan dalam memastikan tiada lagi penghasilan karya yang memburukkan agama lain seperti filem Fitna pada masa akan datang.
Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, penerbitan filem seperti Fitna adalah sesuatu yang menyedihkan dan boleh mencetuskan kemarahan umat Islam sehingga menimbulkan keadaan yang berbahaya.
‘‘Ini adalah satu lagi contoh bagaimana tindakan dangkal mampu merosakkan cita dan aspirasi hubungan baik di peringkat antara bangsa.
‘‘Saat dan ketika semasa dunia sedang berusaha untuk mengecilkan jurang persefahaman antara agama,’’ katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Wilders yang telah memulakan penayangan filem Fitna yang menghina Islam dengan memetik beberapa ayat al- Quran dengan imej latar belakang serangan pengganas.
Reezal Meerican memberitahu, media perdana dunia perlu menolak tindakan tidak wajar Wilders yang sengaja mengaitkan Islam dengan segala macam imej keganasan.
Sambil menyamakan tindakan Wilders sama dengan kartunis Kurt Westergaard yang menyiarkan hasil lukisannya di akhbar Jyllands-Posten di Denmark, katanya, tindakan Wilders itu mampu menyemarakkan lagi kemarahan di kalangan masyarakat Islam.
‘‘Apa yang dilakukan Wilders tiada kena mengena dengan kebebasan berucap dan menyatakan pandangan sebaliknya satu usaha yang berniat jahat dan gemar bermain dengan kemarahan umat Islam,’’ katanya.
Beliau juga mengharapkan agar generasi muda yang cukup dekat dengan media agar tidak sama sekali mencari dan mengakses untuk menonton Fitna sebagai lambang kebencian terhadap terhadap hasil kerja Wilders.