Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Si Bongkok, sinis politik Melayu



HILAL Razman Yin memegang watak Si Bongkok dalam pementasan tersebut.

KETUA lanun itu, menghunus kerisnya yang tajam berkilat, membuka langkah dan mata meliar melihat musuh dihadapannya dengan penuh dendam kesumat di dada.

Bagi Si Bongkok, siapa sahaja yang menghalang kehendak dirinya adalah musuh walaupun ia saudara sendiri. Kerakusannya melebihi segala-galanya - raja di mata, takhta di hati.

Sebagai ketua lanun yang berjaya menguasai wilayah Tanjung Puteri, Si Bongkok suka bertindak mengikut kehendak diri sendiri sehingga sanggup menderhaka terhadap bangsa, agama dan negeri demi memuaskan nafsunya.

Dia sanggup menentang saudaranya sendiri, iaitu Panglima Putih, seorang pahlawan yang gagah berani dan bijak bermain senjata serta sangat taat dan setia kepada Yang Maha Mulia Temenggung Ibrahim dan Datuk Timur, pembesar negeri pada ketika itu.

Datuk Timur sebagai wakil terhadap Baginda sultan berasa bimbang apabila Tanjung Puteri telah berjaya ditakluki oleh lanun-lanun yang melakukan penindasan dan bertindak zalim terhadap penduduk setempat.

Memandangkan keselamatan negeri Johor mula diancam keganasan lanun, Datuk Timur telah mengarahkan Panglima Putih untuk membunuh Si Bongkok setelah Daing Alek, orang suruhan Datuk Timur dan juga sahabat kepada Panglima Putih dibunuh oleh Si Bongkok.

Bagaimanapun sebagai ketua lanun, ia tidak menghalang Si Bongkok untuk tertarik hati akan Tanjung, anak perempuan tunggal Datuk Timur yang cantik jelita.

Tanjung digambarkan sebagai seorang yang gadis rupawan yang bersikap sombong dan memandang hina terhadap mereka yang kurang upaya dan akhirnya Tanjung telah dikahwinkan dengan Panglima Putih.

Akibat perasan cemburu dan suka berdendam, Si Bongkok cuba melarikan Tanjung ke Tanjung Puteri semasa ketiadaan Panglima Putih di rumah.

Semasa pergelutan berlaku antara Si Bongkok dan Panglima Putih, Si Bongkok mengambil kesempatan untuk menikam Tanjung sehingga mati.

Hutang darah di bayar darah, hutang nyawa di bayar nyawa. Akhirnya Si Bongkok turut terbunuh di hujung keris Panglima Putih dalam pertarungan menuntut bela di atas kematian Tanjung.

Kisah tersebut merupakan cerita daripada pementasan naskhah Si Bongkok Tanjung Puteri karya Shaharom Husain, sebuah kisah legenda negeri Johor.

Ia sebuah kisah yang mengingatkan khalayak tentang tragedi kemanusiaan yang timbul akibat rasa dendam, hasad dengki dan kepincangan sistem sosial akibat hirarki.

Gadis Gipsi

Kisah Si Bongkok Tanjung Puteri sama seperti naskhah The Hunchback of Notre Dame (Notre-Dame de Paris) yang ditulis pada 1831 oleh novelis Perancis, Victor Hugo.

Naskhah tersebut berlatarbelakangkan Paris pada 1482 - kisah tragedi yang berlaku di sekitar Kathedral Notre Dame de Paris yang menceritakan tentang gadis Gipsi miskin dan cacat bernama La Esmeralda yang dibesarkan oleh ketua padri bernama Quasimodo.

Sama seperti Si Bongkok, gadis Gipsi itu mengalami konflik-konflik kemanusiaan dan pertembungan status dengan pemuda-pemuda bangsawan di Paris pada waktu itu.

Dalam pada itu, pementasan Si Bongkok Tanjung Puteri merupakan program Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) kali ke-23 bagi sesi akademik 2007/2008 oleh penuntut-penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ia dipentaskan di Panggung Percubaan, PKKSSAAS, UPM dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Azali bin Mohamed.

Ia dibimbing oleh pengajar teater, Zainatul Shuhaida Abd. Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sesungguhnya, tidak banyak aspek eksperimental dalam pementasan tersebut. Ia sejajar dengan naskhah Si Bongkok Tanjung Puteri yang mendekati teater bangsawan dengan wacana realisme yang kuat.

Sebagai naskhah realisme, props, kostum dan teknik pencahayaan tidak menjadi medium penceritaan yang kuat. Ia sekadar menghiasi pentas dan menyokong jalan cerita semata-mata.

Sebaliknya, aspek lakonan dan dialog menjadi medium terpenting dalam pementasan tersebut. Kemampuan beberapa pelakon utama (termasuk aksi pertarungan) berjaya mengetengahkan siapa Si Bongkok dan kisah sebenar di Tanjung Puteri.

Sementara itu, pementasan naskhah tersebut dijayakan Hilal Razman Yin (Si Bongkok), Mohd. Rafaie Abdul Aziz (Datuk Timur), Norazlida Mohd. Daud (Tanjung) dan Mohd. Nazir Bakar (Panglima Putih)

Turut menjayakan pementasan tersebut ialah Mohd. Nor Idham Baharum (Daing Alek), Nik Mohd. Hasnul Fadzli Hassan (Awang Pantas), Muhammad Zarif Hassan @ Zulkifli (Awang Bujang) dan Wan Noor Arzihan Wan Mohd. Radzi (Tukang Andam).

* KUMPULAN Utusan dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Sayembara Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 7 April ini.

Bagi memberi pendedahan kepada peserta, satu Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan pada 6 April bermula pukul 8 pagi di Bilik Kelantan, PWTC.