Maju Melayu Perkasa!

23 Mei 2008

P Ramlee bagaikan 'hidup semula'


Oleh Zainuri Misfar


BAHAGIA: Babak Ramlee dalam kegembiraan selepas berkahwin dengan Norizan.

Kehadiran Musly dalam muzikal terbitan Enfiniti Productions tidak sia-sia.

P RAMLEE - pelakon, penyanyi, penggubah, pemuzik, penulis, pengarah dan juga ikon filem serba boleh - terkenal dan dikagumi di Malaysia dan Singapura dengan penghasilan lagu dan filem pada tahun 1950-an dan 1960-an yang dekat dengan hati masyarakat.

Kelemahan dan keganjilan perwatakannya di layar perak - seorang yang tertindas, mudah terhibur dek irama, persahabatan, percintaan dan lagu - berjaya menambat hati penonton dari pelbagai lapisan generasi dan masyarakat.


Lagunya mencerminkan warisan perfilemannya sepanjang lebih 25 tahun, kini mengingatkan kita kembali kepada suatu zaman di mana kedua-dua negara mengamalkan kehidupan yang amat ringkas dan bergotong royong dan keperibadian yang halus.

Itu semua dipaparkan menerusi persembahan pentas P Ramlee...The Musical untuk kali kedua. Berbeza dengan pementasan pertama, produsernya, Datin Seri Tiara Jacquelina memilih Musly Ramlee untuk membawa watak Ramlee menggantikan Sean Ghazi.

Ia keputusan yang tidak sia-sia. Dalam pementasan awalnya di Esplanade Theatre, Singapura, Ahad lalu, Musly tidak mensia-siakan harapan itu. Bukanlah hendak menidakkan lakonan Sean Ghazi yang memikul watak P Ramlee dalam muzikal terdahulu, tetapi sememangnya penampilan Musly kali ini meninggalkan kesan tersendiri, bermula daripada nyanyian, tutur kata dan lakonannya. Lagipun, wajah sebenar P Ramlee sudah diketahui umum dan sudah tentu penampilan Sean tidak tepat dengan apa yang dibayangkan oleh kita semua. .

Oleh itu, kemunculan Musly bukan sekadar mengimbau nostalgia lagu P Ramlee, tetapi juga membayangkan mengenai kehidupannya. P Ramlee dengan wajah gembira, sedih, serius atau terpinga-pinga. Segala-galanya dihayati dan dibawakan dengan baik oleh Musly sehingga penampilannya di pentas seolah-olah seperti P Ramlee sebenar.

Itulah P Ramlee sebenarnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee seolah-olah ‘dihidupkan semula’ apabila melihat Musly menyanyi, menari dan melakonkan tingkah lakunya dalam teater muzikal ini. Suaranya yang garau ketika menyanyi, pertuturannya dengan berbau loghat Pulau Pinang membuatkan kita terasa mengenali P Ramlee lebih dekat walaupun seniman ini sudah meninggal dunia 30 tahun lalu.

Apatah lagi 14 lagu asal P Ramlee dinyanyikan semula oleh Musly membuatkan muzikal ini bagaikan membawa penonton dalam era kegemilangan dan kejatuhan seniman itu. Kekuatan teater ini memang hasil kerja secara berpasukan tetapi tidak dinafikan kemunculan Musly yang memegang watak P Ramlee diibaratkan tepat pada acuannya.

Cuma kekurangan Musly ialah tubuhnya yang rendah dan agak kurus. P Ramlee yang dapat dilihat menerusi filem lakonannya pada peringkat awal kurus dan tinggi, manakala pada penghujung kerjayanya bertubuh gempal. Begitupun, ia tidaklah dianggap sebagai satu ‘gangguan’ besar kepada penonton teater muzikal ini.

Sesiapa pun yang menyaksikan lakonan Musly dapat membayangkan mungkin begitulah kehidupan P Ramlee di luar atau dalam filem. Bukan saja Musly, penampilan Liza Hanim sebagai Saloma ternyata cukup menyerlah. Pengalamannya dalam muzikal yang lalu memberi kelebihan kepada Liza untuk memastikan watak Saloma benar-benar hidup.

Lakonan Melissa Saila sebagai Norizan memang sudah dapat dijangka. Begitu juga dengan Atilia yang mendukung peranan sebagai Junaidah, manakala penampilan Emelda Rosmila yang memegang watak Azizah tidaklah meninggalkan kesan besar. Dalam pementasan sebelum ini, watak Azizah mendapat tumpuan kerana ia disandang oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Memperkuatkan lagi teater ini adalah rekaan dan pergerakan set yang kemas dan mengagumkan hasil ilham Raja Maliq, selain gerak tari daripada koreografer daripada Pat Ibrahim. Biarpun hampir tiga jam ia dipentaskan, persembahan P Ramlee...The Musical kali ini menepatinya tagline atau apa yang hendak diketengahkan iaitu Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi.

INFO:

  • Daripada lagu cinta dan gembira seperti Selamat Berjumpa Semula, Gelora hinggalah kepada lagu meruntun jiwa Hujan Di Tengah Hari, Getaran Jiwa dan Di Manakah Ku Cari Ganti, benar-benar membuatkan penonton terpaku dengan persembahan teater ini.

  • Babak P Ramlee menyanyikan lagu Getaran Jiwa dengan iringan piano petikan Sudarmaji (dilakonkan oleh Mohd Fauzuly Hamdan Tahir) dilihat amat klasik. Babak ini kemudian dilanjutkan dengan pertemuan Ramlee dan Saloma apabila kedua-duanya kemudian menyanyikan lagu Senandung Kasih dan Gelora. Saat bahagia P Ramlee berada di alam percintaan dengan Saloma digambarkan menerusi lagu Saat Yang Bahagia dan Hancur Badan Kandung Tanah.

  • Dengan berlatarkan muzik Azizah dan Engkau Laksana Bulan, teater muzikal ini memang meninggalkan kesan kepada penontonnya, terutama kepada peminat atau mereka yang mengikuti perjalanan hidup serta sejarah pencapaian kerjaya seni Seniman Agung negara.

  • Melainkan watak Ramlee yang diberikan kepada Musly, Adlin Aman Ramly tidak banyak mengubah jalan cerita P Ramlee...The Musical bagi kali kedua ini. Ceritanya bermula dengan latar di Pulau Pinang pada tahun 1948, seperti Malam Pesta Bukit Mertajam, Taman Bunga dan Stesen Keretapi Tanah Melayu di Butterworth.