KUANTAN 15 Jun - Kira-kira 3,000 pengunjung hadir meraikan pelancaran Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri di Padang Kemunting di sini, malam tadi.
Walaupun tanpa pertunjukan bunga api yang terpaksa dibatalkan bagi menjimatkan kos, orang ramai mula berkumpul di padang berkenaan seawal pukul 6 petang untuk memeriahkan suasana.
Acara bermula pada pukul 9.10 malam sebaik keberangkatan tiba Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Pembangunan Keluarga negeri, Shafik Fauzan Sharif.
Majlis dimulakan dengan lintas hormat oleh 12 kereta tertera logo Tourism Malaysia diikuti pelbagai persembahan tarian berwarna-warni daripada 440 peserta.
Acara diserikan lagi dengan pasukan pancaragam Sekolah Perempuan Methodist Kuantan yang mendendangkan beberapa buah lagu, sebelum empat persembahan yang menggambarkan Pahang dengan tema hutan, flora dan fauna, pantai dan pulau, tanah tinggi serta seni budaya dan warisan.
Sesuai dengan tema 'Warna dan Citarasa Malaysia', majlis diteruskan dengan beberapa persembahan tarian pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Tidak ketinggalan, masyarakat pribumi Orang Asli dari Kuala Lipis turut mempersembahkan tarian tradisional mereka.
Antara kumpulan kesenian yang terlibat menyertai persembahan tersebut ialah Kumpulan Kesenian Seri Perdana, Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya, Kumpulan Kesenian Soka Gakkai dan pelajar-pelajar Kolej Shahputra.
Persembahan diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai oleh peserta akhir rancangan Bintang Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), sambil diiringi persembahan tarian oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian sebelum majlis berakhir pada pukul 10.40 malam.
Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri yang bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukaneka, pertandingan memancing, persembahan pentas Nestle, pertandingan masakan dan jualan makanan.
Program Citrarasa yang menampilkan pelbagai juadah serta hidangan menarik masyarakat tempatan turut diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 3, di sini, berhadapan Kompleks Teruntum.
Pahang merupakan destinasi keempat yang dipilih oleh Kementerian Pelancongan untuk menganjurkan acara tersebut selepas Melaka, Johor dan Terengganu.