Oleh Mohd Azis Ngah
SARJAN Reggie A/K Deli |
Keberanian 14 anggota Platun 9 Kompeni PPH Sibu gerunkan pengganas
KIRA-KIRA 35 tahun dulu, keheningan di Sungai Batang Kemana, Bahagian Keempat, Sarawak terganggu dengan dentuman dan letupan senjata api.
Ketenangan pada waktu petang itu terganggu kira-kira 20 minit yang menyaksikan pertempuran sengit Pasukan Polis Hutan (PPH) dengan sekumpulan pengganas komunis yang menyusuri sungai berkenaan menaiki bot lonci Melanau.
Pertempuran dahsyat itu berlaku pada jarak begitu dekat tanpa henti sehinggalah komunis melarikan diri selepas enam rakan mereka dibunuh.
Kejadian itu berlaku pada petang 10 April 1973, selepas sepasukan PPH Sarawak diarahkan menyiasat maklumat mengatakan sekumpulan pengganas komunis kelihatan di rumah panjang Tayai dan Rumah Nayom di daerah kecil Taut, Bahagian Keempat, Sarawak.
Sarjan Reggie A/K Deli yang mengetuai 14 anggota Platun 9 Kompeni C/D BN 15 PPH Sibu diarahkan menjalankan siasatan itu. Ketika siasatan dijalankan, pasukan itu bertembung dengan sekumpulan komunis yang menaiki bot lonci Melanau di sebelah kanan tebing Sungai Batang Kemana.
ANTARA senjata pengganas komunis yang dirampas. |
Reggie mengarahkan pasukannya menaiki bot panjang dan mengekori bot lonci Melanau itu untuk menyiasat ke mana arah tuju pengganas berkenaan.
Beliau bersama lima anggotanya menaiki sebuah perahu panjang manakala tujuh lagi anggotanya menaiki sebuah perahu lain. Mereka mengejar bot lonci itu tetapi malangnya perahu panjang dinaiki tujuh anggotanya rosak.
Keadaan itu memaksa Reggie terus mengejar bot lonci bersama lima anggotanya. Apabila berada kira-kira 30 ela daripada bot lonci yang sedang menghampiri tebing di sebelah kanan, beliau mengarahkan bot berkenaan berhenti.
Tiba-tiba empat pengganas komunis keluar daripada tempat persembunyian mereka di tengah bot, dua daripadanya keluar dari pintu depan. Mereka secara serentak melepaskan tembakan ke arah pasukan PPH.
RUMAH Sri Aman, di sinilah bermula detik bersejarah anggota komunis Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) kembali ke pangkuan masyarakat dan menamatkan pergolakan 10 tahun di bumi Sarawak (1963-1973). |
Penulis sejarah Muzium PDRM, Inspektor Selamat Sainayune mengatakan dalam serangan itu, pasukan PPH menghadapi 'hujan peluru' yang hebat tetapi tetap tenang.
Dalam keadaan cemas, anggota PPH membalas tembakan dan kerana takut melihat keberanian yang ditunjukkan, empat komunis terjun ke sungai. Mereka cuba berenang dan memanjat tebing bagi mencari tempat perlindungan lebih selamat.
Baki komunis yang berada di dalam bot lonci itu terus menyerang anggota PPH dan bergilir-gilir melepaskan tembakan ke arah perahu panjang.
Reggie dengan berani mengarahkan rakannya terus mengejar menghampiri bot lonci itu. Beliau mengarahkan tiga anggotanya, Koperal Liaw Marung, Sarjan Antie Imang dan Konstabel Rawin menaiki bot lonci untuk menghapuskan saki baki komunis di dalamnya.
"Tanpa menghiraukan keselamatan diri, ketiga-tiga anggota polis itu melompat masuk ke dalam bot lonci dan menembak mati empat komunis di dalamnya.
"Serentak itu, Reggie bersama dua anggota, Konstabel Richard Muli dan Konstabel Hentick menembak tiga musuh yang masih berada di dalam sungai dan dipercayai mati di situ," katanya.
Selepas kejadian berbalas tembakan itu selesai, mereka menjalankan pemeriksaan dan menemui empat mayat pengganas komunis, lima laras shotgun buatan sendiri, 13 kelongsong besar peluru pelbagai jenis, dokumen komunis dan ubatan.
Mereka juga menemui satu lagi mayat komunis dan selaras shotgun di dalam air cetek berhampiran tebing.
Dua hari selepas itu (12 April 1973), pasukan polis yang lain menemui satu lagi mayat dipercayai pengganas komunis yang sudah busuk berpakaian hijau lengkap dengan peralatan. Mayat itu ditemui kira-kira dua batu ke hilir Sungai Batang Kemana.
Kejayaan pasukan PPH itu dianggap cukup cemerlang kerana semua anggota selamat tanpa sebarang kecederaan walaupun mereka dihujani peluru musuh. Cuma, perahu panjang dan enjin sangkut perahu mereka yang terkena tembakan.
Kejayaan Reggie itu membolehkannya dinaikkan pangkat Inspektor pada 1 Jun 1973 dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Penjaga (PP) Platun BN 18 PPH Miri.
Info
Nota: Sumber rujukan - Arkib Negara dan Muzium PDRM.