Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Jun 2008

Bukit Cina kawasan Bandar Warisan Dunia


MELAKA 4 Jun - Kawasan Bukit Cina seluas 42 hektar di sini akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Bandar Warisan Dunia di bawah zon penampan bandar itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurut beliau, kemasukan kawasan tersebut adalah susulan permintaan dari pihak jawatankuasa penilai bandar warisan dunia yang dilantik oleh Pertubuhan Bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar Melaka memperluaskan kawasan zon penampannya.

Sehingga kini kawasan bandar warisan dunia yang dipohon secara bersama oleh Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang itu melibatkan zon utama seluas 38.5 hektar dan zon penampan 170 hektar.

''Jadi kerajaan negeri bersetuju menjadikan kawasan Bukit Cina yang mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai zon penampan tambahan seperti yang diinginkan oleh UNESCO.

''Perkara ini akan kita maklumkan kepada pejabat perwakilan tetap Malaysia di Perancis hari ini juga agar permohonan Melaka untuk menjadi Bandar Warisan Dunia berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Zon utama ialah kawasan di mana terdapatnya bangunan-bangunan dan tinggalan sejarah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah penjajahan British seperti Kota A' Famosa, bangunan merah dan Jonker Street.

Zon penampan pula ialah kawasan sekitarnya yang mempunyai kaitan dengan sejarah kawasan zon utama meliputi kawasan lapang, kawasan kediaman dan premis perniagaan serta kawasan tanah perkuburan.

Mohd. Ali berkata, kawasan Bukit Cina telah diiktiraf mempunyai nilai sejarah kerana di atas bukit berkenaan dikatakan pernah dibina sebuah gereja pada tahun 1580-an tetapi telah musnah akibat serangan Tun Ali.

Malahan, mengikut kajian juga, Bukit Cina merupakan kawasan tanah perkuburan terbesar yang ada di luar negeri China sehingga tahun 1970-an.

Kata beliau, penambahan zon penampan itu adalah satu dari enam perkara tambahan yang perlu dilaksanakan oleh Melaka bagi memastikan permohonan tersebut diterima oleh panel penilai yang akan bermesyuarat di Quebec, Kanada bulan depan.

Lima perkara lain yang perlu dipatuhi ialah mewujudkan jawatankuasa bersama dengan Georgetown bagi pengurusan kedua-dua bandar tersebut serta menetapkan garis panduan berhubung reka bentuk pengubahsuaian bangunan di kawasan berkaitan.

Selain itu, tiga perkara lagi yang perlu telah diberi perhatian oleh kerajaan negeri bagi permohonan itu ialah mengurangkan trafik di kawasan berkaitan, mengawal pergerakan pelancong serta menyediakan satu sistem pemantauan ke atas ubah suai terhadap bangunan berkaitan.

''Kelima-lima perkara tambahan lain itu telah kita laksanakan dan putuskan termasuk penubuhan jawatankuasa bersama dengan Georgetown bagi menguruskan kedua-dua bandar warisan ini," katanya.

Beliau berkata, jika permohonan bersama kedua-dua bandar tersebut diterima, Melaka dan Georgetown akan dikenali sebagai 'Bandar Raya Bersejarah Selat Melaka'.