Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Jun 2008

Menyingkap pemikiran terjajah


Oleh ABU BAKAR YANG

Menjadi satu kewajaran yang dituntut untuk ummah ini sentiasa menyingkap kelemahan-kelemahan yang ada dan membiasakan muhasabah agar dapat meningkatkan kebaikan diri.

Muhasabah adalah suatu yang sangat diperlukan kerana ia dapat membuka mata bagi melihat apakah hambatan-hambatan yang perlu dirungkai agar ummah dapat mampu bangun di atas kaki sendiri.

Antara kelemahan yang telah lama menebal pada umat ini dan kelihatan kembali menonjol kebelakangan ini ialah sikap suka bermusuhan, rakus kepada dunia, tidak pandai menilai dan menghargai diri sendiri, dan kebekuan akal fikiran sehingga tidak pandai mengembang dan memanfaatkan keupayaan diri.

Sekali sekala memang terasa yang kita umat Islam tidak kira di cerok mana sekalipun di dunia ini sangat suka bermusuhan, dan kita sangat suka dan cukup senang sekiranya kita mempunyai lawan untuk dilawan.

Namun ajaibnya apabila umat Islam mempunyai musuh yang sama, mereka mampu bersatu dan melawan musuh tersebut, dan adakalanya pula bila musuh sudah tidak ada lagi, mereka mula mencari musuh daripada kalangan sendiri.

Memang begitulah kenyataannya kehidupan umat Islam masa kini, dan contoh jelas yang dapat dilihat ialah di Asia Barat, daerah di mana umat Islam sering berperang sesama sendiri sejak dulu hingga sekarang.

Tikam-menikam, bergaduh sesama sendiri dan berbunuhan sudah menjadi lumrah, dan yang jelas mengaut untung dari sengketa yang berpanjangan ini ialah pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat, Israel dan sekelian sekutunya.

Dan sikap suka bermusuhan ini turut berjangkit kepada umat Melayu di rantau ini yang turut menjadikan 'mencari dan mencipta musuh' sebagai satu budaya yang berterusan. Umpamanya apabila menyorot kembali sejarah tanah air, kita dapati pernah satu ketika Melayu daripada pelbagai latar belakang mampu untuk bersatu menentang Malayan Union.

Namun setelah itu, bangsa Melayu ini berpecah dan bercakaran sesama sendiri. Kemudian timbul peristiwa 13 Mei yang memperlihatkan Melayu kembali bersatu, tetapi malang selepas itu mereka kembali berpecah dan bermusuhan semula. Apa yang jelas ketika itu ialah Melayu akan bersatu apabila 'periuk nasinya' terancam.

Kemudian setelah merdeka kita diperkenalkan kepada sistem pemerintahan demokrasi yang ditaja dan dibawa masuk dari Barat, yang juga sarat dengan nilai-nilai Barat dan asing daripada nilai-nilai Islami.

Hasilnya memang seperti yang dijangkakan iaitu amalan demokrasi yang tandus nilai-nilai luhur akhlak dan keringnya pertimbangan akhlak yang murni. Ini menambahkan lagi kepada suasana perpecahan bangsa Melayu.

MenusukKekuatan Melayu terus terbelah apabila berjayanya jarum 'pecah dan perintah' penjajah menusuk masuk bukan sahaja ke dalam masyarakat ketika itu tetapi juga ke dalam kelompok-kelompok parti yang pelbagai sehingga membazirkan tenaga dan kekuatan umat ini.

Memang tidak dinafikan berbeza parti di dalam sistem demokrasi adalah suatu yang dibolehkan dan ada kewajarannya. Namun apa yang tidak wajar ialah apabila ada pihak yang mendapat kuasa, menggunakan kuasa tersebut mengikut sesedap rasa dan kehendak, sehingga demokrasi yang boleh digunakan selaras dengan nilai-nilai Islami menjadi buruk, malah lebih buruk ketika ia mula bertapak di Tanah Melayu.

Keadaan ini bukan sahaja dapat dilihat di sini, tetapi di mana-mana sahaja bumi umat Islam. Lebih malang lagi apabila mereka yang terlibat dalam menguruskan hal ehwal ummah ini adalah dari kalangan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai 'rakus kepada dunia dan takut kepada mati.'

Rakus kepada dunia ini diperlihatkan dengan watak haiwan ekonomi yang melahap keuntungan tanpa kawalan hukum-hakam dan nilai-nilai agama. Dengan itu lahir di kalangan umat ini usahawan-usahawan kaya yang lupa daratan dan lupa kepada Tuhan.

Mereka adalah orang yang hanya mementingkan diri sendiri. Golongan ini tidak sanggup berjuang apatah lagi berkorban demi agama dan ummah kerana takut rugi, takut muflis, takut susah, takut, malu dan bersifat apolegetic dengan agama sendiri.

Begitulah kekayaan dunia apabila tidak disertakan dengan takwa. Ia hanya akan melahirkan manusia yang suka berfoya-foya yang nampak hebat tetapi penakut, yang terang matanya bila disebut keuntungan ekonomi dan pelaburan, tetapi hilang daya juang dan tidak berani ke hadapan apabila agama dipermainkan.

Apabila manusia sudah mula leka dengan kekayaan dunia, dibuai dengan kemewahan, maka mereka sudah tidak ada masa untuk memuhasabah diri, menilai dan menghargai keupayaan yang mereka miliki. Mereka sangat mudah terpesona dengan kemewahan yang dimiliki oleh orang lain.

Mereka sering kagum dengan apa sahaja yang datang dari luar terutamanya dari Barat, kerana yang di luar itu dianggap hebat dan tinggi nilainya. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa diri mereka dan apa yang mereka miliki jauh lebih tinggi dan unggul daripada semua itu.

Dalam hubungan kita umat Melayu di sini, penyakit ini boleh kita simpulkan sebagai wujudnya golongan manusia Melayu tiruan. Iaitu golongan Melayu yang berbudaya dan bercita rasa Barat dan berasa asing dengan agamanya sendiri. Mereka ini sangat mudah kagum dengan segala apa yang ada di Barat dan memandang rendah dengan apa yang dimiliki oleh bangsa sendiri dan apatah lagi kalau ia dikaitkan dengan agama. Mereka ini nampak seperti bangsawan yang terpelajar dan berkedudukan tinggi, tetapi sebenarnya adalah penderita penyakit rendah diri yang cukup tenat.

Jika suatu ketika dahulu dunia Islam mengalami kemelut kepercayaan diri sendiri yang telah memperlihatkan munculnya golongan-golongan pengagum Barat dan gerakan-gerakan pembaratan, maka di rantau ini juga lahir golongan ini yang menimbulkan kekeliruan kepada asas tamadun bangsa Melayu itu sendiri.

Mereka mempertikai dan menganggap tamadun Islam sebagai tamadun yang sudah longlai dan mati, dan menyarankan pilihan tamadun Barat sebagai hanya pilihan yang ada yang dianggap segar dan dinamik.

Inilah akibatnya apabila kita terlalu memandang tinggi kepada tamadun asing sedangkan apa yang ada di tangan sendiri jauh lebih hebat dan unggul. Ini semua bertitik tolak daripada kering dan bekunya akal fikiran umat Islam itu sendiri sehingga tidak mampu untuk mengembang dan memanfaatkan segala sumber dan kemungkinan yang ada.

KeupayaanSebenarnya umat Islam sangat kaya sekali dengan sumbernya sendiri, baik berupa keupayaan ekonomi maupun sumber tenaga manusia. Sayangnya sumber-sumber itu tidak digunakan dengan bijaksana dan sebaiknya untuk manfaat bersama kerana akal dan fikiran umat ini lebih berminat dan tertumpu kepada apa yang ada di Barat, sehinggakan segala sumber anugerah Tuhan itu terbiar, disia-siakan, ataupun dimanfaatkan oleh orang lain.

Sebenarnya memang sudah lama umat ini menderita penyakit kebekuan akal fikiran dan hilang kemampuan berfikir. Setelah kerajaan Othmaniah terakhir tewas pada tahun 1924, umat ini terus diserang dan dijajah dengan al ghazbul fikr, iaitu serangan pemikiran yang cukup hebat sehingga umat ini seolah-olah tidak berupaya lagi berfikir untuk masa depannya sendiri. Apa yang berlegar dalam kotak pemikiran rata-rata umat ini hanyalah bagaimana hendak meneruskan survival periuk nasi semata-mata.

Mungkin hari ini ragam pemikiran itu agak berbeza kerana cara hidup hari ini sudah banyak berubah dan banyak pula dikuasai oleh teknologi moden; namun coraknya tetap sama, iaitu kebergantungan kepada teknologi dan sokongan dari luar untuk kesinambungan hidup. Hampir segalanya perlu diambil dari luar. Umat ini hanya sebagai pengguna kepada teknologi dan bukannya sebagai pengeluar ataupun peneroka kepada sebarang perubahan baru.

Ini semua berbalik kepada tandusnya akal dan lesunya pemikiran umat ini untuk mencipta dan menghasilkan suatu baru dari sumber kekayaan hasil buminya sendiri. Dan penyakit ini bukan hanya melanda kepada rakyat kebanyakan tetapi juga kepada mereka yang menguruskan hal ehwal kehidupan rakyat.

Akibatnya banyak uruskan pembangunan yang dibuat tidak menepati sasaran. Sumber kewangan negara habis dibelanjakan tetapi masalah ummah masih tetap tidak dapat diselesaikan kerana wang tersebut tercurah ke tempat yang tidak wajar.

Apabila masalah masih tetap tinggal sebagai masalah, dan pemikiran masih tetap beku tanpa ada sebarang jalan keluar, maka mereka yang lemah akalnya serta dangkal dan jumud pemikirannya akan mengambil jalan mudah dengan mengambil jalan penyelesaian dari luar terutamanya dari Barat yang sudah lama dianggap sebagai rakan kongsi dan 'idolanya'.

Yang pasti, jalan penyelesaian ini tidak membawa ke mana-mana kerana ia tidak berpaksi kepada agama sebagai landasan penyelesaian dan juga asing kepada kehidupan dan budaya tempatan. Keadaan ini boleh dilihat di mana-mana sahaja negara umat Islam kerana beginilah cara berfikir golongan yang sudah terjajah pemikirannya, iaitu golongan yang dianggap terpelajar tetapi berfikiran seperti orang tawanan atau the captive mind. Maka umat hari ini tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalahnya sendiri apatah lagi mencipta sesuatu yang baru dan hebat sekiranya kita tidak mahu kembali kepada agama dan berani serta cekal untuk menghadapi rintangan.

Tetapi harus diingat bahawa keberanian hanya ada pada umat yang bertakwa dan bertawakal, dan juga rasa kebergantungan hanya kepada Allah SWT, selain unsur-unsur kekuatan yang lain. Lemahnya iman dan longgarnya ikatan kepada Allah akan memungkinkan umat ini dihantui dengan pelbagai bentuk ketakutan.

Umat yang takut rebah tidak akan berani untuk berdiri sendiri, umat yang takut jatuh tidak akan berani mendaki, dan umat yang takut kalah tidak akan berani bertarung, dan kerana itu kita umat hari ini tidak akan mencapai apa-apa kemenangan kerana kita takut kepada banyak perkara, dan ketakutan itu pula dicipta oleh akal dan fikiran kita sendiri yang lemah dan terjajah.