Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Festival Kuala Lumpur 2008 bermula


Oleh Diyanah Anuar


FESTIVAL Kuala Lumpur 2008 menjanjikan kepuasan kepada pencinta seni termasuk teater dan persembahan pentas.

79 aktiviti menanti rakyat Malaysia dan pelancong dari serata dunia

KUALA LUMPUR atau KL yang sentiasa 'hidup' dengan limpahan cahaya lampu pada waktu malam dan aktiviti penghuninya akan lebih meriah Julai ini apabila Festival Kuala Lumpur 2008 bermula - berita baik untuk pencinta seni!

Sesuai dengan tema ‘Di Sini Semaraknya Seni!’, Festival Kuala Lumpur ‘08 menyediakan 79 aktiviti merangkumi seni persembahan, seni tampak, bahasa dan persuratan, warisan, kebudayaan serta pelbagai acara lain dilokasi berbeza.


Festival Kuala Lumpur ‘08 dilihat setanding festival kesenian luar negara yang memenuhi kalendar kesenian antarabangsa setiap tahun. Ia bertujuan mengetengahkan keindahan dan kepelbagaian budaya, seni dan warisan tempatan kepada masyarakat terutama rakyat asing selain memberi peluang kepada semua pihak mendekati seni bangsa.

Festival ini diharap dapat mengangkat martabat budaya tempatan ke tahap lebih tinggi sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara membangun yang penuh dengan penghayatan tradisi dan warisan tersendiri.

Antara aktiviti seni yang dirancang adalah Pertandingan KL World Marching Band (KLWMBC) bermula 30 Julai depan di Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka.

SENI pentas mampu mendamaikan jiwa penghuni kota yang berdepan pelbagai tuntutan.

Pertandingan ini yang menghimpunkan kira-kira 2,500 peserta dari Amerika Utara, Eropah, Afrika dan Asia dijangka gamat dengan penampilan pasukan pancaragam bertaraf dunia, masing-masing tampil dengan persembahan muzik, formasi dan koreografi kreatif.

Bagi yang meminati keunikan koreografi dalam permainan dram cina, anda boleh menyaksikan konsert Drum Slices III oleh kumpulan Hand’s Percussion yang dianggotai remaja berusia antara 4 hingga 18 tahun. Persembahan kumpulan yang pernah menerima anugerah seni BOH Cameronian ini akan diadakan di KLPac, Sentul Park pada 6 Julai mulai 3 petang.

Jalan Petaling yang terkenal dengan pusat jualan pelbagai jenis barangan akan diserikan dengan acara, Rentak Petaling mulai 6 Julai hingga 20 Julai depan. Acara ini merangkumi persembahan muzik jalanan moden dan tradisional.

Penggemar teater pula dijemput menonton aksi bakat baru yang tidak pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini di Indicine, KLPac, Sentul Park pada 7 Julai atau menghadiri Festival Teater Malaysia selama enam hari mulai 14 Julai depan di Auditorium MTC dan Panggung Bandaraya DBKL.

Pameran seni tidak terkecuali antaranya pameran karya Ong Boon Hau berjudul ‘The Yarra’ bermula Selasa ini hingga 15 Julai di NN Gallery, Ampang. Selain itu, pameran ‘Kukur Kelapa’ menanti pengunjung di Galeri Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia sepanjang Julai ini yang memaparkan keunikan kukur kelapa dalam masyarakat. Pameran seni simbolik ini turut dipenuhi dengan demonstrasi dan pertandingan kukur kelapa.

Penggemar sastera, pastikan anda tidak terlepas daripada menghadiri Bicara Puisi Kuala Lumpur di Ruang Legar Balai Budaya, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada 18 Julai bagi menghayati deklamasi puisi tokoh budayawan, artis tempatan dan orang ramai.

Di Laman Seni, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 11 Julai pula dianjurkan Malam Puisi Warisan, gelanggang bagi penyair muda beraksi.

Bagi yang ingin mendengar dan memberi pandangan mengenai karya sastera, Diskusi Karya Sastera di Perpustakaan Negara Malaysia pada 10 Julai mungkin sesuai dihadiri. Perbincangan mengenai karya sastera seperti novel dan cerpen bersama panel jemputan dari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Persatuan Penulis Cina dan Kumpulan Sasterawan Kaum India (KAVYAN) akan diadakan.

Tidak ketinggalan, Pameran Keunggulan Seni Tulisan Jawi yang dirancang hingga akhir bulan depan di Perpustakaan Negara Malaysia. Pameran ini bertujuan menonjolkan keunggulan seni khat yang diabadikan pada bahan seperti tembaga, ukiran kayu, seramik dan manuskrip Melayu. Klinik Khat juga akan diadakan bagi meningkatkan pengetahuan peserta mengenai ilmu seni khat dan menimba ilmu menulis tulisan khat popular.

Untuk lebih maklumat mengenai acara kesenian yang mungkin boleh mengisi masa senggang anda Julai ini, lawati laman web www.klfestival.org.my dan semak aktiviti menarik yang akan berlangsung kelak.

Festival Kuala Lumpur ‘08 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Pelancongan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.