Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Pengguna mula hemat berbelanja


Bersama Abdul Rahman Sulaiman

Penstrukturan subsidi sebagai permulaan ke arah liberalisasi ekonomi

LANGKAH kerajaan menstruktur semula subsidi yang antara lain menyebabkan pengguna perlu membeli petrol dan diesel dengan harga baru pada 4 Jun lalu, nampaknya sudah mula menunjukkan kesan positif. Secara diam-diam banyak pihak mengakui bahawa mereka kini mula mengamalkan pendekatan lebih berhemat dan berjimat-cermat dalam menguruskan belanja harian masing-masing untuk menyesuaikannya dengan pendapatan.

Di kalangan pekerja, ramai sudah mula berjinak-jinak dengan pengangkutan awam walaupun sebelum ini mereka lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang alik ke pejabat. Tidak kurang juga yang secara sukarela berpakat sesama sendiri ke tempat kerja atau mengurangkan perjalanan yang tidak mustahak sebagai usaha menjimatkan penggunaan petrol.


Trend ini dapat dilihat di bandar besar seperti di Kuala Lumpur di mana kesesakan jalan raya yang sebelum ini menjadi kelaziman, terutama pada waktu puncak atau pada malam minggu jelas semakin berkurangan.

Orang ramai juga didapati kurang mengunjungi pasar raya sama ada untuk membeli-belah atau hanya sekadar untuk bersantai atau bersiar-siar.

Seorang teman yang mengunjungi sebuah pasar raya di ibu negara hujung minggu lalu berkata, beliau agak terperanjat mendapati tempat meletak kereta di pasar raya agak lengang, berbanding kebiasaannya apabila beliau terpaksa berlegar-legar beberapa kali untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan yang kosong.

Dari satu segi, perkembangan ini memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia sudah mula bertindak rasional berikutan penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel yang tidak dapat dielakkan itu akibat fenomena di luar jangkaan yang melanda dunia sekarang.

Sama ada ini hanyalah reaksi sementara yang menandakan rasa terkejut orang ramai terhadap harga baru bahan bakar atau satu trend yang akan berkekalan, sukar diramalkan.

Ada pihak berpendapat bahawa fenomena ini hanya sementara. Lambat laun, rakyat Malaysia, terutama yang terdiri daripada golongan menengah yang gemar membeli-belah secara tidak berhemat atau bersikap boros, pasti akan kembali ke tabiat asal mereka.

Bagaimanapun, sekiranya trend ini berkekalan, sedikit sebanyak hasrat tersirat di sebalik langkah penstrukturan semula subsidi itu - untuk mendisiplinkan pengguna � akan dapat dicapai. Apa pun, tidak semua orang gembira dengan kemungkinan ini.

Antara mereka ialah golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang diakui teruk terjejas, bukan saja akibat penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel malah kerana kenaikan harga barangan makanan dan perkhidmatan yang bakal menyusul.

Apa pun kepentingan golongan ini sudah diambil kira apabila kerajaan memutuskan untuk menstruktur semula subsidi, khususnya minyak dan gas. Pelbagai langkah untuk melindungi kepentingan mereka sudah diumumkan. Ini termasuk pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak, pengurangan cukai jalan kepada kenderaan berkuasa tinggi, peningkatan kadar bantuan kebajikan kepada golongan kurang upaya di samping melebarkan jaring keselamatan sosial itu sendiri.

Lebih banyak langkah mengurangkan beban golongan ini dipercayai akan diperkenalkan dari semasa ke semasa jika keadaan memerlukan.

Golongan lain yang agak risau dengan perkembangan yang menyusul penstrukturan semula subsidi ini ialah sesetengah tokoh ekonomi yang boleh dianggap konservatif dan tidak berpandangan jauh.

Mereka bimbang perkembangan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana sektor penggunaan kini antara penyumbang utama yang menjana ekonomi.

Mereka berpendapat keadaan ini akan menjadi lebih buruk akibat tekanan inflasi yang kadarnya diramalkan akan mencecah lima peratus tahun ini. Kebimbangan ini sebenarnya dileraikan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop apabila beliau berulang kali menyatakan keyakinan kerajaan untuk dapat mencapai matlamat pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun ini.

Walaupun menteri berkenaan tidak menghuraikan secara terperinci faktor yang mendasari keyakinan beliau itu, semua orang tahu bahawa negara tidak bergantung sepenuhnya kepada hanya satu sektor tertentu untuk menjana ekonomi.

Lagipun, kerajaan tidak pernah melarang orang ramai berbelanja. Nasihat yang sering dilontarkan ialah berbelanja secara berhemat. Ini berbeza dengan mengekang perbelanjaan. Apa pun, satu perkara yang harus diambil kira dalam menilai penstrukturan semula subsidi yang diperkenalkan kerajaan itu ialah kesan jangka panjang langkah itu terhadap ekonomi negara.

Adalah jelas bahawa dalam persekitaran global sekarang, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, tidak akan dapat meneruskan dasar perlindungan yang diamalkan selama ini, tanpa menjejaskan ekonominya dan kehilangan daya saing.

Berdasarkan kepada perspektif ini, ramai pakar ekonomi mengharapkan penstrukturan subsidi itu sebagai permulaan kepada usaha berterusan ke arah liberalisasi ekonomi yang lebih menyeluruh, sama ada dengan atau tanpa mengambil pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa dan serantau yang negara tandatangani.

Selama ini, dasar perlindungan termasuk pemberian subsidi yang tidak terkawal, banyak melukakan ekonomi. Sebagai contoh, subsidi petrol, diesel dan gas saja secara langsung atau tidak langsung menggalakkan pembaziran di samping membuka ruang untuk pelbagai kegiatan penyelewengan dan penipuan.

Subsidi produk petroleum menjadi sumber tenaga utama sektor tenaga dan industri juga menyebabkan herotan dalam ekonomi dalam erti kata ia menyebabkan pengagihan sumber yang semestinya sentiasa terhad secara tidak berkesan atau berketrampilan.

Kesan psikologi pengagihan sumber secara tidak berketrampilan itu ialah pergantungan kepada kos pengeluaran palsu atau olok-olok oleh sektor industri atau pengeluar lain.

Akibatnya ialah margin keuntungan yang mereka peroleh adalah keuntungan yang disumbang oleh kerajaan, bukan daripada daya usaha mereka. Jika 'sumbangan' ini dihapuskan, mereka mungkin akan kehilangan daya saing dan dengan itu terpaksa menutup operasi.

Sebaliknya, jika mereka diberi peluang belajar melalui pengurangan subsidi secara berperingkat, mereka akan terpaksa menyesuaikan diri dan berusaha meningkatkan daya saing melalui peningkatan produktiviti, penambahbaikan ketrampilan, pengurangan kos dan sebagainya.

Kalau semua sektor berbuat demikian, negara akan dapat mengekalkan daya saing di pentas perdagangan antarabangsa yang kian mencabar hari demi hari. Dengan itu, ekonomi negara dapat terus mapan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Datuk Abdul Rahman Sulaiman ialah Pengarah Komunikasi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri