EKONOMI dunia sekarang tidak begitu sihat. Kenaikan harga minyak dunia tidak banyak menguntung kita sebaliknya negara terpaksa berhati-hati dalam berbelanja untuk pembangunan.
Sesungguhnya seperti kata Timbalan Perdana Menteri, kenaikan harga minyak dunia sebenarnya mengancam pertumbuhan ekonomi negara.
Kita boleh ibaratkan ekonomi seperti manusia – bukan selalu manusia sihat, begitu juga ekonomi.
Kini pusingan ekonomi kembali kepada kegawatan. Negara kita pernah mengalami kegawatan seperti ini sepuluh tahun lalu ketika krisis mata wang 1997/98.
Dengan tekad dan kesabaran semua rakyat negara ini, kita berjaya mengharungi saat sukar itu. Ketika itu, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Filipina terpaksa meminjam daripada Dana Kewangan antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
Dengan dasar ekonomi cara Malaysia, kita berjaya melepasi gelora sosio ekonomi dan politik.
Kita menaruh harapan tinggi agar kemelut ekonomi yang turut menjejaskan politik negara kini akan berlalu pergi apabila tiba masanya.
Dengan langkah-langkah menangani beban kenaikan harga minyak dan komoditi bahan makanan, kita meletakkan harapan yang lebih baik pada ekonomi dalam beberapa bulan mendatang.
Sementara itu rakyat perlu berkorban dalam tempoh pusingan masalah ekonomi yang masih berada ‘di atas roda.’
Ekonomi juga seperti pusingan roda. Ada masa ke atas ada masanya ke bawah. Ada masa senang ada masa susah. Tapi ini masanya ekonomi kita ke bawah. Bukan semuanya salah kita.
Dalam masa susah ini, kesan kenaikan harga minyak dunia akan menempias kepada kos dan prestasi keuntungan syarikat dan semua perniagaan.
Paling dibimbangkan dan harap dijauhkan ialah pemberhentian pekerja, demonstrasi bantahan, mogok dan sebagainya.
Rakyat harus terima hakikat ekonomi kembali gawat. Pun begitu, kita perlu buat sesuatu, tidak boleh berserah saja. Pemimpin dan rakyat harus mencari cara untuk membaiki keadaan ekonomi kita ini.
Rakyat harus terus mempunyai harapan yang kuat untuk keluar daripada masalah ekonomi yang memeritkan ini. Kita sudah melepasi kemelut ini beberapa kali seperti tahun 1985 dan 1997/98.
Kita sedar jalan penghujung mencapai harapan itu bukan mudah. Namun kita perlu usahakannya juga. Ingatlah, ubat untuk merawat penyakit ekonomi sekarang memang pahit. Namun ia perlu diambil walaupun pahit.
Masa ini adalah untuk menguji ketahanan orang kita. Masa ini juga hendak menduga kejujuran dan kesetiaan warga Malaysia.
Semua pihak terkena kesan kenaikan harga minyak dunia. Semua barang dan perkhidmatan naik harga.
Kita harapkan rakyat supaya insaf dan usah menyukarkan usaha kerajaan untuk baiki ekonomi negara. Oleh itu, kita meletakkan harapan yang lebih baik agar kerajaan mampu melepasi pusingan kegawatan ekonomi dunia dengan segera.