Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI
SEMUA pihak menyambut baik saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang meminta semua agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar kembali memartabatkan tulisan Jawi dengan menjadikan tulisan sebagai tulisan rasmi di kepala surat agensi masing-masing. Begitu juga dengan pihak PBT yang wajar menggunakan tulisan Jawi di papan-papan tanda dan papan iklan untuk paparan umum.
Beliau juga turut mencadangkan agar pihak media elektronik seperti RTM, Media Prima dan Astro menyediakan satu slot pembelajaran Jawi yang boleh dibuat dengan kerjasama JAKIM bagi mempopularkan tulisan Jawi di mata masyarakat.
Sebagai seni warisan bangsa Melayu dan mempunyai sejarah penulisan yang tersendiri, tulisan Jawi sememangnya boleh dipaparkan di mana-mana saja. Justeru rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu menghormati tulisan Jawi yang menjadi warisan tamadun Melayu sejak abad ke-12.
Sejajar dengan pendekatan Hadhari yang dibawa kerajaan kini, maka usaha untuk memartabatkan ketamadunan Islam perlu dipertingatkan. Salah satu budaya ketamadunan Islam yang bernilai adalah tulisan Jawi.
Langkah menggemilangkan kembali tulisan Jawi perlu dibuat agar ia tidak terus terkubur. Tambahan pula, majoriti daripada generasi muda hari ini tidak dapat menguasai tulisan Jawi malah ada yang tidak ambil peduli langsung tulisan tersebut.
Saranan Datuk Ahmad Zahid tersebut itu perlu juga ditambah baik lagi oleh pihak kerajaan dengan menubuhkan satu Majlis Tindakan Mengukuhkan Tulisan Jawi. Ia bolehlah diselenggara oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sekretariatnya.
Majlis seperti itu cukup penting bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak bagi menyusun satu pelan tindakan jangka panjang demi mengukuhkan tulisan Jawi khusus untuk semua kaum.
Kemahiran 3M, 'Membaca', 'Menulis' dan 'Memahami' tulisan Jawi kian terhakis dari generasi ke generasi. Jika senario itu berterusan, lambat laun tulisan ini mungkin terkubur dalam lipatan sejarah.
Tulisan Jawi mengalami proses dikuburkan kerana media massa menganggap ia kurang nilai-nilai komersial walaupun dahulu ia adalah tulisan rasmi dalam banyak urusan.
Senario yang sama juga bakal terjadi kepada bahasa Melayu jika tiada tindakan konkrit diambil.
MemeliharaTanggungjawab memelihara tulisan Jawi tidak semata-mata perlu digalas oleh orang Melayu tetapi semua bangsa yang bernaung sebagai rakyat Malaysia. Seluruh warganegara perlu bertindak pro aktif bagi memelihara tulisan Jawi sebagai warisan milik semua.
Penerbitan Utusan Melayu Mingguan dalam edisi Jawi wajar dimanfaatkan se- penuhnya di sekolah-sekolah sebagai medium pembelajaran.
Pendekatan lebih kreatif perlu digunakan bagi menimbulkan minat kalangan generasi muda.
Teknologi terkini boleh dimanfaatkan seperti mewujudkan CD Interaktif dan laman web dalam tulisan Jawi.
Tulisan Jawi perlu diperluaskan kepada mata pelajaran dan tidak hanya subjek Pendidikan Islam sahaja. Pertandingan-pertandingan mengasah bakat serta kemahiran yang ada hubungkait dengan tulisan Jawi perlu diperluaskan dan diangkat sebagai pertandingan berprestij di peringkat nasional dan Nusantara.
Anggapan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan berunsurkan keagamaan mesti dihapuskan kerana tulisan Jawi pada sutau ketika dahulu telah digunakan dengan cukup meluas oleh semua kaum.
Sehingga kini masih terdapat bangsa India dan Cina yang berkemahiran membaca dan menulis dalam tulisan Jawi.
Kita berharap selain Utusan Melayu Mingguan, akan ada media-media cetak arus perdana yang lain mewujudkan satu ruangan atau halaman berita atau yang ditulis dalam tulisan Jawi. Ia mungkin boleh diterbitkan secara tetap atau berkala.
Pendekatan yang sama boleh digunakan juga dalam akhbar berbahasa Inggeris untuk memperkenalkan kepada para pembaca mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Adalah diharapkan pada satu ketika nanti tulisan Jawi akan dapat berada pa- da martabatnya yang tersendiri dan akan terus menjadi lambang ketamadunan bangsa Malaysia dan menjadi warisan identiti yang kekal zaman berzaman.