KEMENTERIAN Pelajaran akan menjadikan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini sebagai penanda aras untuk menetapkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Pasti kalangan ibu bapa, guru-guru dan persatuan yang berkaitan dengan pelaksanaan dasar tersebut mahu kajian lebih rapi dibuat oleh Ke- menterian Pelajaran sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.
Dalam menetapkan dasar yang amat berhubung rapat dengan hala tuju sistem pendidikan negara, penilaian tidak harus hanya tertumpu kepada keputusan UPSR semata-mata.
Kesemua pihak yang terlibat mesti diajak berbincang dan diminta memberi pandangan supaya hasilnya kelak memberi faedah kepada semua pelajar sama ada di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.
Ia juga semestinya tidak mengecualikan para pelajar di Sabah dan Sarawak kerana ada ketikanya keputusan yang dibuat mengabaikan 'hati' penduduk di kawasan tersebut.
Jika prestasi UPSR dijadikan kayu pengukur maka jangan hanya dilihat 'di atas permukaan' keputusan peperiksaan tersebut.
Kecemerlangan mestilah dalam erti kata sebenar iaitu kecekapan menggunakan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan peperiksaan tanpa banyak tolak ansur di pihak guru yang memeriksa kertas ujian. Ia mesti menggambarkan keupayaan sebenar para pelajar, lebih daripada itu ke- mampuan menjawab soalan bukan semata-mata kerana kemahiran menghafal.
Kecemerlangan juga mesti bersifat menyeluruh iaitu di kalangan pelajar bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman di Semenanjung, Sabah serta Sarawak. Jika prestasi cemerlang UPSR lebih mewakili pelajar-pelajar kawasan bandar maka tidak boleh dijadikan ukuran bahawa Sains dan Matematik bersedia untuk diajar menggunakan bahasa Inggeris.
Selain menyeluruh, bedah siasat keputusan UPSR itu juga mesti dilakukan secara terperinci dan dibahagikan kepada beberapa segmen penting agar tiada aspek yang tercicir.
Misalnya jika keputusan kelulusan seluruh negara yang dicatatkan adalah 90 peratus maka perbandingan hendaklah dibuat antara bandar dan luar bandar. Tidak terhenti setakat itu, perlu diperincikan juga pencapaian dari segi gred. Tidak ada gunanya jika peratusan kelulusan tinggi tetapi dari segi gred ia sekadar cukup makan.
Paling penting pihak kementerian mesti membuktikan tidak wujud sebarang cubaan untuk menurunkan markah lulus sehingga keputusan yang dicapai tidak mencerminkan pencapaian sebenar para pelajar.
Pegawai-pegawai kementerian juga mesti turun padang, tinjau sendiri pencapaian para pelajar luar bandar, lihat keupayaan mereka di dalam bilik darjah. Di situ ada jawapan.