SEJAK Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan visa ketibaan (VOA) bermula 1 September 2006, sebanyak 33 peratus iaitu 68,238 daripada 208,451 pemegang pas itu dikesan 'ghaib' di tanah air kita yang tidaklah sebesar mana ini.
Tidakkah kegagalan mereka untuk meninggalkan Malaysia selepas tempoh masa dibenarkan mengundang pelbagai impak sosial, ekonomi mahupun sosio-politik terhadap rakyat Malaysia untuk jangka panjang?
Kehilangan mereka yang mencecah puluhan ribu dalam tempoh kurang dua tahun sahaja VOA dilaksanakan di negara masyarakat berbilang kaum dikhuatiri akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat Malaysia jati kelak.
Paling nyata ialah menyempitkan lagi peluang anak watan dalam pasaran kerja; meningkatkan lagi jumlah kes jenayah dan penyakit berbahaya; menggalakkan pengaliran wang ke luar negara; me- ngancam keselesaan rakyat tempatan serta mewujudkan populasi kaum yang tidak stabil.
Kita harus bertindak sebelum nasi menjadi bubur. Adakah wujud pihak tertentu secara terancang sengaja 'menangguk di air keruh' di sebalik pelaksanaan VOA un- tuk tujuan yang mungkin tidak kita jangkakan?
Ini dapat dilihat daripada jumlah VOA yang tinggal lebih masa di seluruh negara terdiri daripada 35,912 rakyat India, Pakistan (13, 014), Bangladesh (6,688), China (5,452) dan Sri Lanka (5,093).
Janji pihak Jabatan Imigresen untuk sentiasa bekerja keras mengesan pesalah VOA melalui operasi besar-besaran atau- pun secara ad-hoc tentunya tidak berbaloi jika keadaannya sama seperti hanya menyapu gam kertas pada tangki air yang bocor.
Adakah 'masalah' puluhan ribu anak kaum tertentu yang tidak memiliki sijil kelahiran tetapi didakwa lahir di negara ini ada kaitan dengan kegiatan salah guna pas 'segera' tersebut?
Tindakan melalui saluran politik bagi membolehkan anak-anak yang 'disyaki' kerakyatannya itu menggenggam sijil kelahiran seterusnya diiktiraf sebagai warganegara Malaysia tentunya tidak kena jika wujud elemen salah guna VOA.
Bayangkan apabila angka 33 peratus imigran yang 'lupa' negara asal meningkat mencecah 50 atau 70 peratus pada masa akan datang tidak termasuk angka tidak rasmi yang telah lega menerobos masuk melalui 'jalan tikus' di sepanjang sempadan negara ini?
Tidakkah rakyat Malaysia jati juga yang akan ditindas secara langsung mahupun tidak langsung?
Selepas ini entah berapa lagi jumlah 'anak-anak Malaysia' yang tidak memiliki surat beranak tetapi atas tekanan politik maka dengan mudah mendapat taraf kerakyatan.
Tidakkah ini hanya akan mengundang ketidakstabilan nisbah penduduk mengikut kaum di negara ini kelak?
Oleh itu, sebelum keadaan bertambah parah ada baiknya pelaksanaan VOA diteliti semula.
Malah, bertambah molek ditarik balik sahaja andainya dilihat lebih banyak membawa impak buruk mengatasi kesan baiknya.
Guna sahajalah dasar yang sedia ada untuk membenarkan orang asing menjejakkan kaki ke negara ini. Mereka yang memang benar-benar mahu datang ke Malaysia atas tujuan yang jujur sebagai pelancong, peniaga mahupun pelajar tidak akan mencari alasan mendakwa sukar masuk ke Malaysia hanya kerana ti- adanya VOA.
Oleh itu VOA perlu dikaji semula agar tidak menjejaskan hidup kita kelak.