Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Tarik balik iklan jatuhkan martabat BM di TV

YOU go straight don't belok-belok, "Kalau pandai bahasa Inggeris kan mudah dapat kerja". Begitulah antara skrip sebuah iklan bagi mempromosikan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Pada mula ia ditayangkan di kaca televisyen seolah-olah tiada apa yang perlu disangsikan. Namun setelah menonton berulang kali, ternyata iklan tersebut begitu memualkan kerana seolah-olah memperkecilkan bahasa ibunda.

Ia juga memberi gambaran betapa rendahnya martabat kita di mata pelancong luar.

Adakah wajar kita menghormati pelancong luar dengan menggunakan bahasa mereka sedangkan merekalah yang sepatutnya belajar bahasa kita jika ingin melawat negara ini dengan lebih mudah?

Selain itu peluang kerja juga seolah-olah tertutup buat mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Adakah ini dasar yang perlu dikekalkan di sebuah negara berdaulat seperti Malaysia selama-lamanya.

Justeru kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memainkan peranan ke arah mendaulatkan bahasa ibunda di negara ini bukan membiarkan ia terus dihina sewenang-wenangnya.

Kini kaum Cina dan India juga kelihatan lebih selesa berbahasa Inggeris apabila ditemu bual untuk menjawab berbagai isu yang dikemukakan dalam berita semasa di kaca televisyen.

Justeru sebagai seorang pencinta bahasa ibunda saya mencadangkan agar iklan tersebut ditarik balik kerana ia telah menjatuhkan martabat bahasa kita di sebuah negara berdaulat. Sewajarnya skripnya diubah agar lebih sensitif dengan bahasa Melayu (BM) dan bangsa Melayu di negara ini.

ABU ASLAM

Bandar Baru Bangi, Selangor