Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Orang Melayu perlu berani pertahankan hak


Oleh Azmi Md Deros

Agenda pembangunan bangsa terganggu apabila Umno gagal bentuk kerajaan di lima negeri

AGENDA pembangunan Melayu tetap relevan sampai bila-bila. Selagi wujudnya bangsa Melayu, selagi itulah semangat ini harus didukung sepenuhnya oleh parti politik yang dianggotai orang Melayu.

Dalam hal ini, Melayu sendiri yang perlu memperjuangkan nasib dan masa depan bangsanya. Mereka tidak boleh menyerahkannya kepada orang lain kerana mereka juga mempunyai agenda sendiri yang harus diperjuangkan.

Ketika terlalu ghairah berpolitik, semua parti siasah umat Melayu tidak harus lupa tanggungjawab mereka mempertahankan hak bangsa, budaya, agama dan tanah airnya, selaras dengan tuntutan Islam.


Bagi orang Melayu di Malaysia, kita masih bernasib baik kerana kuasa politik yang menjadi penentu utama perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam masih berada di tangan kita, walaupun sudah ada tanda ia sedikit terhakis.

Orang Melayu tidak perlu segan silu atau takut untuk membicarakan hal ini kerana mereka adalah tuan di tanah airnya sendiri. Pada masa sama, bangsa lain pula tidak perlu berasa takut kerana sejarah di negara ini menunjukkan hak mereka tidak pernah dirampas begitu saja dalam usaha kumpulan Melayu cuba memperkukuhkan kedudukan peribumi.

Dasar perjuangan kerajaan, khususnya Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi ialah perkongsian yang melahirkan situasi 'menang-menang'. Jaminan yang diberikan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa Umno akan terus berpegang kepada perjuangan asas parti, iaitu membela nasib orang Melayu dan pada masa sama, mengambil kira sokongan semua parti komponen BN yang lain, perlu menjadi sandaran.

Tidak dapat dinafikan, Umno sebagai parti yang bercorak kebangsaan sudah banyak membawa kejayaan dalam memperjuangkan hak bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini, termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sejak 1970-an yang menyaksikan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang bertambah baik.

Dasar itu menggariskan hala tuju yang jelas dalam memperkasakan kedudukan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor.

Namun, apa yang dibimbangi ialah kekuasaan untuk memperkasakan kedudukan orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac lalu, menjadikan usaha itu sedikit terganggu apabila Umno yang selama ini amat dominan dalam memperjuangkan nasib dan masa depan Melayu tergugat apabila mereka tidak dapat membentuk kerajaan di lima negeri.

Biar pun pada peringkat pusat BN yang diterajui Umno masih membentuk kerajaan, apabila wujud ketidakseragaman pada peringkat negeri akan menjejaskan sedikit sebanyak agenda pembangunan Melayu yang dirangka pada peringkat pusat.

Bagi tokoh akademik yang juga pensyarah Kolej Kerajaan, Undang-undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, konsep kesamarataan yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Rakyat dikhuatiri boleh menyebabkan orang Melayu akan terus tertinggal daripada arus persaingan kerana kaum berkenaan masih belum mampu bersaing sepenuhnya tanpa diberikan perhatian khusus.

Beliau berkata, di Kedah misalnya negeri yang majoriti orang Melayu, taraf ekonomi bangsa berkenaan masih jauh ketinggalan, berbanding kaum lain, terutama Cina yang menguasai pelbagai sektor perniagaan dan perkhidmatan.

"Sebagai tuan di bumi sendiri, orang Melayu mesti lebih, tidak boleh sama rata. Orang Melayu perlu mencapai tahap gemilang dalam semua aspek, sama ada ekonomi, politik dan pendidikan. Islam juga menuntut umatnya supaya berada pada tahap paling atas supaya dihormati," katanya.

Apa yang menarik ialah beliau mengumpamakan konsep sama rata sama seperti keadaan tanah yang rata, iaitu ia mudah dipijak sesiapa saja dan itulah akan dialami bangsa Melayu jika prinsip itu didukungi.

"Oleh itu, kita perlu menjadi bangsa yang berada lebih tinggi daripada orang lain supaya kita tidak mudah dipijak. Bila kita berada di atas, akan lebih mudah untuk kita menentukan keadilan kepada orang lain. Selama ini pun kita tidak pernah menindas bangsa lain," katanya.

Beliau juga mengingatkan bangsa lain supaya tidak mudah melatah dengan perjuangan memartabatkan orang Melayu kerana selama ini belum pernah berlaku hak bangsa lain diambil untuk diserahkan kepada orang Melayu kerana kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap semua kaum.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan Pas Kedah lebih serius dalam menjaga kepentingan bangsa Melayu di negeri itu dan tidak terlalu terikut-ikut dengan slogan atau konsep sama rata dilaungkan rakan mereka, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dr Ahmad Atory berkata, Pas yang ahlinya terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam perlu lebih fokus terhadap usaha membangunkan bangsa Melayu selepas mereka mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri kerana jika tidak, masa depan orang Melayu akan terbiar.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK), Tan Sri Khalid Abdullah, berkata dalam keghairahan orang Melayu mengejar kemewahan melalui apa juga parti politik yang diwakili, mereka perlu mengelak daripada menjadi apa yang kini dialami bangsa Arab.

"Orang Arab amat kaya dari segi ekonomi kerana negara mereka dianugerahkan minyak, tetapi mereka tiada kuasa sehingga terpaksa bergantung kepada pihak lain. Kita harus meminjam semangat pengebom berani mati yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi memastikan tanah air dan agama mereka terbela," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu perlu membuang tabiat hanya mementingkan diri sendiri kerana ia hanya akan menyebabkan bangsa berkenaan tidak dapat bangkit secara total dalam memperjuangkan hak mereka secara menyeluruh.

Sementara itu, selepas 100 hari menguasai kerajaan negeri, masih belum ada pencapaian membanggakan yang dibuat kerajaan Pas Kedah dalam menentukan hala tuju negeri ini, khususnya dalam bidang ekonomi yang penting untuk menjaga kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak sendiri mengakui tempoh 100 hari pertama yang dilaluinya sebagai tonggak kepemimpinan negeri bukanlah mudah sebagai mana yang disangka.

"Bukan mudah menjadi Menteri Besar. Tidur pun dengan masalah, dan bangun disambut dengan masalah," kata beliau ketika melancarkan program e-Sinar di Alor Star, baru-baru ini.

Kenyataan beliau itu membuktikan bukanlah mudah bagi sesiapa pun untuk menerajui sesebuah negeri kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi, di samping sentiasa menjadi tempat mengadu oleh rakyat pelbagai lapisan.

Di negeri itu, walaupun kerajaan pimpinan Pas sudah mula menunaikan beberapa manifesto dalam janji pilihan raya, pemerhati politik berpendapat ia hanya membabitkan aspek yang kecil dan tidak banyak membawa impak kepada pentadbiran.

Antaranya, memberi elaun kepada guru agama dan al-Quran dan pengurangan semula cukai tanah yang sudah diluluskan kenaikannya pada 2006.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat apa yang dilaksanakan itu bukanlah langkah yang memberi kesan baik untuk jangka panjang kepada kerajaan kerana pengurangan cukai tanah akan menyebabkan hasil negeri menyusut sebanyak RM50 juta.

Sementara itu, wakil Persatuan Penjaga dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd Ali pula berkata, sejak kerajaan baru memerintah ramai penjaja yang sebelum ini berniaga di sekitar bandar raya Alor Star dilarang berniaga oleh Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS).

Katanya, walaupun sebelum ini mereka yang tidak memiliki lesen dibenarkan berniaga oleh kerajaan atas dasar bertolak ansur, keadaan kini berubah apabila pegawai penguatkuasa MBAS tegas melarang mereka berniaga atau barangan mereka dirampas dan dikompaun.

"Kebanyakan mereka sudah berniaga sejak dua atau tiga tahun lalu, tetapi masih belum mempunyai lesen dan sudah beberapa kali memohon tetapi belum diluluskan. Sejak beberapa bulan lalu, mereka hilang mata pencarian apabila dilarang berniaga oleh MBAS," katanya.

Dalam hal ini, kerajaan Pas Kedah sepatutnya membenarkan peniaga kecil Melayu itu menjalankan kegiatan mereka untuk mencari rezeki menyara keluarga sejajar dengan motonya 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.

Kerajaan negeri perlu sedar aktiviti perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan adalah satu cabang penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, lebih-lebih lagi ketika rakyat dihimpit pelbagai kenaikan kos hidup, termasuk harga minyak dan barang lain.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Kedah