Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Julai 2008

DNA berkesan dalam dunia perubatan dan penyiasatan jenayah


Oleh Azrul Affandi Sobry


JAGA KUALITI: Pembantu makmal, Muhd Afif Md Hashim, menunjukkan DNA yang disimpan di tempat penyimpanan khas.

Analisis, perincian wajib dilakukan dengan tatacara teliti serta tepat dengan langsung tiada kesilapan

UJIAN asid deoksiribonukleik (DNA) adalah teknologi terbaik digunakan di seluruh dunia untuk tujuan menyelesaikan sesuatu kes jenayah atau bagi tujuan mencari kesepadanan antara bahan bukti dengan suspek.

Malah, ketepatan atau kebarangkaliannya agak tinggi kerana hanya ada kemungkinan satu dalam 20 bilion individu mempunyai padanan DNA yang sama.


Bagaimanapun, Pengarah Institut Perbuatan Molekul Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr A Rahman A Jamal, berkata pelbagai faktor juga boleh menyebabkan keputusan ujian DNA tidak mencapai kebarangkalian tinggi termasuk tempoh bahan bukti diambil, disimpan dan kuantitinya, sama ada cukup untuk menghasilkan sel berkualiti atau sebaliknya.

"DNA adalah satu hasil yang paling berkesan dalam dunia perubatan dan penyiasatan kes jenayah kini kerana ia mampu bertahan untuk jangka masa yang lama serta tidak mempunyai kesepadanan yang sama antara dua individu.

"DNA biasanya masih boleh digunakan kembali meskipun sudah disimpan dalam tempoh lebih 10 tahun. Namun, ia bergantung kepada kaedah bagaimana DNA itu disimpan. Jika mematuhi prosedur simpanan yang betul, ia boleh bertahan lebih lama.

Dr A Rahman

"Kebiasaannya setiap makmal akan menyimpan DNA dalam peti sejuk dengan suhu di bawah -20 darjah celsius. Ada juga yang disimpan dalam peti sejuk biasa dengan suhu empat darjah celsius saja. Namun, jika dijaga dengan baik, kedua-dua kaedah ini membolehkan DNA digunakan kembali meskipun selepas 10 tahun.

"Jika DNA yang disimpan itu rosak, kebiasaannya sel yang diambil dari sel darah putih yang disimpan dalam peti nitrogen bersuhu -192 darjah celsius akan diambil dan diekstrak kembali untuk mendapatkan DNA. Maksudnya, DNA masih boleh diambil dan digunakan walaupun sel asal sudah terlalu lama," katanya.

Berdasarkan kenyataan beliau, kesimpulan yang boleh dibuat ialah sebarang hasil ujian DNA yang sudah diperoleh beberapa tahun lalu masih relevan untuk digunakan tetapi bergantung kepada bagaimana ia disimpan dan dijaga.

Bagaimanapun, untuk sesuatu kes jenayah, adalah lebih baik sampel DNA yang baru diambil jika ada pihak mempertikai atau tidak puas hati terhadap sampel DNA yang sudah diambil beberapa tahun sebelum ini.

Menurut Dr Rahman, ada kemungkinan DNA yang diperoleh pada 10 tahun lalu masih boleh digunakan kembali tetapi ada juga kemungkinannya ia rosak jika penjagaannya tidak teliti.

Malah, jika kualiti DNA itu menurun dan menyukarkan hasil yang tepat diperoleh, sampel yang baru daripada individu atau suspek perlu diambil semula bagi membolehkan DNA yang lebih berkualiti diperoleh bagi meningkatkan kebarangkalian keputusannya.

Justeru, merujuk kepada beberapa kes penyiasatan jenayah yang berlaku di negara ini, boleh dikatakan bahawa menggunakan keputusan DNA yang diambil pada 10 tahun lalu adalah masih relevan tetapi ia mungkin boleh diragui kerana ada kemungkinan kualitinya akan merosot.

Namun, bagi membolehkan ujian DNA dilakukan semula bukan perkara mudah kerana perlu mendapatkan kebenaran individu atau suspek terlebih dulu, dan di sinilah perlunya satu peraturan yang mewajibkan individu menyerahkan sampel sel jika diperlukan untuk tujuan penyiasatan.

Pensyarah Jabatan Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zafaraina Zainuddin, berkata Akta DNA yang sudah lama diteliti kerajaan, jika dilaksanakan akan memudahkan usaha polis untuk mengenal pasti penjenayah terutama dalam menyelesaikan jenayah seksual.

"Tanpanya, tertuduh boleh menolak ujian DNA dan ini menyukarkan polis menyelesaikan kes kerana kekurangan bukti. Malaysia perlu menyediakan Akta DNA bagi membolehkan pihak berkuasa melaksanakan proses ujian DNA kepada penjenayah tanpa sebarang masalah," katanya.

Menjelaskan secara lebih terperinci masalah yang mungkin berlaku dalam proses mendapatkan keputusan ujian DNA, Dr Rahman pula berkata, kesilapan dan masalah teknikal semasa proses pengambilan bukti serta analisis DNA harus juga diambil kira dalam kebarangkalian berkenaan.

"Dalam penggunaan DNA, pendekatan kesilapan sifar harus diambil oleh kerana ia membabitkan nasib atau sabitnya seseorang dalam kes yang dipertikaikan. Analisis dan perincian wajib dilakukan dengan tatacara teliti serta tepat dengan langsung tiada ruang untuk kesilapan.

"Tambahan pula apabila sampel DNA adalah sedikit, sampel perlu diamplifikasi (diganda). Kita tidak mahu DNA yang diamplifikasi adalah DNA daripada orang lain (contohnya, sel kulit saintis yang melakukan analisis berkenaan). Jelas, piawaian dan proses yang teliti harus diamalkan oleh setiap makmal yang menjalankan ujian DNA," katanya.

Bercakap dalam konteks penyiasatan forensik, beliau berkata, keberkesanan dan ketahanan ujian DNA banyak bergantung kepada kaedah digunakan di makmal kerana tidak semua makmal mempunyai peralatan yang sama.

"Namun, prosedurnya hampir sama dan teknologi atau kepakaran ujian DNA di negara ini adalah yang terbaik dengan kebanyakannya menjalankan tugas dengan profesional. Cuma, apa yang berlaku di luar bidang kuasa pakar seperti ketika bahan bukti diambil dan disimpan pihak lain yang tidak dapat diramal dan disahkan.

"Jika keputusan ujian diragui, kebiasaannya pendapat atau ujian dari makmal lain akan dilakukan bagi mengesahkan keputusan supaya lebih sahih dan dapat meningkatkan kebarangkalian keputusan itu supaya sukar dipertikaikan," katanya.