Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Julai 2008

Hydrogen jimat kos minyak


Oleh Faizatul Farhana Farush Khan


JIMAT PETROL: Dr Halim bersama produk hydrogen keluaran Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd.

Pemilik kenderaan mampu kurangkan penggunaan petrol sehingga 50 peratus

PENGUMUMAN penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan yang menyaksikan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter dan kenaikan beberapa harga bahan bakar lain menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa berbelanja lebih bagi mengisi minyak kenderaan.

Mereka yang dulu membayar RM40 untuk mengisi minyak penuh tangki bagi kenderaan berkapasiti kecil, kini perlu membayar hampir RM70 bagi kuantiti sama. Bayangkan berapa pula kos yang perlu ditanggung pengguna yang memiliki kenderaan dengan kuasa (cc) lebih besar atau kereta yang penggunaan minyaknya tidak cekap.


Menyedari keadaan itu, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI) memperkenalkan alat penjimatan minyak dikenali ‘hydrogen’ bagi membantu pemilik kenderaan mengurangkan kos minyak. Alat itu dihasilkan selepas kajian awal dilakukan syarikat selama lima tahun antara 1997 hingga 2002, dan pada 2006, syarikat mengorak langkah mengkomersialkan produk berkenaan.

Proses kajian yang teliti itu perlu bagi memastikan ia bukan saja dapat menjimatkan minyak dalam kuantiti yang banyak dan lebih murah serta mudah diuruskan, malah dapat membantu 'menghijaukan bumi'.

Presiden HFI yang juga pengasas alat terbabit, Dr Halim Ali, berkata syarikat amat prihatin dengan beban yang ditanggung pengguna berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan pengenalan sistem itu diharap dapat menggembirakan mereka.

MUDAH DIPASANG: Antara komponen utama hydrogen.

“HFI adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penjimatan tenaga membabitkan pelbagai jenis keperluan dan kenderaan.

“Berbekalkan pengalaman, kami yakin alat ini akan memberi kesan memuaskan kepada pengguna dalam menjimatkan penggunaan minyak kenderaan,” katanya ketika memperkenalkan alat itu di Ibu Pejabat HFI di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Hydrogen yang julung kali diperkenalkan di negara ini dicipta bagi semua jenis kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah. Ia direka dalam tiga variasi iaitu MySmart Fuel Saver bagi menjimatkan 18 peratus penggunaan minyak, Hydrofuel-Basic (29 peratus) dan Hydrogen-Advance, 50 peratus.

Dr Halim berkata, alat itu berfungsi dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama petrol yang mana air akan dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi penggunaannya dengan petrol ketika melalui injektor kereta.

TEMPAT KHAS: Bekas air diletakkan di dalam but kereta.

Katanya, sebuah silinder dipasang pada bahagian kosong di bahagian enjin dan bekas memuatkan lima liter air diletakkan di bonet kenderaan.

“Ketika ini, produk itu sudah diuji pada beberapa kenderaan dan mendapati matlamat penjimatan minyak sehingga 29 peratus berjaya dicapai dengan prestasi enjin berada pada paras yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata, produk Hydrofuel yang dipasang pada enjin setiap kenderaan berkonsepkan mesra pengguna kerana ia mudah dipasang dan diselenggara tanpa perlu membabitkan banyak perubahan pada sistem enjin.

“Mereka hanya perlu memastikan bekalan air sentiasa mencukupi kerana apabila membeli produk ini, ia akan disertakan sekali dengan sebuah tong air berkapasiti lima liter yang boleh bertahan penggunaannya untuk perjalanan sehingga 2,000 kilometer.

“Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan itu akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan,” katanya.

Pemasangan alat itu tidak membatalkan jaminan ke atas kenderaan dan tidak melemahkan prestasi, sebaliknya akan meningkatkan prestasinya sehingga pemandu akan berasa perubahan enjin yang lebih stabil dan lancar.

Alat berkenaan perlu diservis di bengkel khas syarikat bagi setiap 10,000 kilometer perjalanan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik.

Dr Halim berkata, alat itu yang jualannya disasarkan kepada pengguna kenderaan yang kerap melakukan perjalanan jauh sudah berada di pasaran selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat lalu.

Katanya, Perdana Menteri sudah melawat ke syarikat terbabit dan memandu uji kenderaan yang dipasang alat itu selepas melancarkannya.

“Perdana Menteri memberikan reaksi positif mengenai alat itu dan ingin ia diperkenalkan segera supaya rakyat mendapat faedah daripada penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan adalah berpatutan berbanding alat lain yang pernah diperkenalkan di negara ini iaitu RM499 bagi penjimatan 18 peratus, 29 peratus (RM1,300) dan bagi 50 peratus, RM2,300.

“Ia akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk dipasang. Setiap pemasangan diberi jaminan selama dua tahun serta jaminan wang dikembalikan jika pelanggan kurang berpuas hati dengan prestasinya,” katanya.

Mereka yang berminat perlu membawa kenderaan ke pusat perkhidmatan yang disediakan syarikat untuk diperiksa terlebih dulu sebelum pemasangan dibuat atau menghubungi talian 03-3180 3200 atau 03-3180 3201 bagi maklumat lanjut.