Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Julai 2008

Profesional berwibawa anggotai majlis PBT



KECEMERLANGAN pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) ada kaitan dengan keberkesanan kerja ahli majlisnya. Justeru, pelantikan mereka perlu mematuhi peraturan bagi mengelakkan timbul perkara berbangkit seperti yang dialami Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) apabila calon ahlinya didakwa mempunyai latar belakang dan rekod jenayah. Sekiranya dakwaan itu benar, ia sesuatu yang memalukan dan kita tidak pasti adakah semua ahli majlis yang dilantik di PBT di seluruh negara selama ini, mempunyai rekod dan latar belakang yang tidak dipersoalkan. Kita berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menilai kembali kaedah pemilihan dan mengeluarkan peraturan baru, termasuk pengalaman dan kelulusan akademik yang perlu dipatuhi semua PBT di seluruh negara. Langkah itu dapat mengelak majlis daerah atau perbandaran di seluruh negara dianggotai mereka yang diragui kelayakan dan kemampuannya sehingga menyebabkan mutu perkhidmatan PBT berkenaan dipertikaikan. Kerana itu, tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi lampu hijau kepada kerajaan negeri untuk meneruskan pelantikan beberapa calon ahli MPAJ boleh mengundang polemik berterusan. Apa salahnya pelantikan berkenaan ditangguhkan sementara waktu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan untuk memastikan kesahihan aduan penduduk. Hanya selepas siasatan selesai, barulah tindakan selanjutnya diambil sama ada untuk meluluskan atau menolak pelantikan calon ahli majlis.

Kerajaan negeri sepatutnya menangguhkan pelantikan ahli terbabit bagi memudahkan siasatan, daripada menyingkirnya selepas terbukti apa yang didakwa itu benar. Tindakan kerajaan negeri meneruskan pelantikan berkenaan dan melakukan siasatan kemudian boleh menimbulkan pandangan serong rakyat Selangor terhadap kerajaan negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat. Abdul Khalid ketika berkempen dan pada awal pentadbirannya berjanji untuk meletakkan golongan profesional dan berwibawa sebagai ahli majlis PBT. Amalan melantik ahli majlis di kalangan wakil parti politik diteruskan kepemimpinan Kerajaan Selangor yang baru, walaupun sebelum ini mengkritik kaedah kerajaan terdahulu. Bagaimanapun, tiga daripada 288 ahli majlis yang bakal dilantik dipertikaikan atas dakwaan mempunyai rekod jenayah. Kita berharap apa yang berlaku di Selangor menjadi pengajaran kepada PBT negeri lain. Bukan mudah untuk menjadi ahli majlis kerana tanggungjawabnya besar kepada pembayar cukai di kawasan tadbirnya. Mereka yang dipilih perlu melakukan tugas yang diamanahkan. Kerana itu, ahli majlis perlu terdiri daripada kalangan profesional yang bersih rekodnya dan tinggal di kawasan perbandaran atau daerah berkenaan.

Kita bimbang, ahli majlis yang diragukan latar belakangnya, termasuk terbabit dengan jenayah masa lalu, bakal mempengaruhi keputusan dan pentadbiran PBT yang dianggotainya. Kini penduduk lebih peka dengan senario pentadbiran baik di negeri atau Pusat. Sehubungan itu, kita berharap semua yang dilantik sebagai ahli majlis dapat memastikan pentadbiran di bawah kendaliannya mengikut peraturan yang ditetapkan. Kita tidak mahu rungutan penduduk setempat terhadap PBT berkaitan jalan, longkang, sampah sarap dan kerosakan kemudahan awam terus dipaparkan media kerana ia menjejaskan bukan saja imej PBT, malah kerajaan negeri berkenaan. Bagi memastikan rungutan penduduk tidak berpanjangan, kerajaan negeri perlu melantik mereka yang layak menjawat jawatan di majlis berkenaan, bukan tangkap muat atau ada pengaruh politik seperti yang berlaku di sesetengah PBT.