Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Julai 2008

Teknik penyukuan tingkat kualiti nanas Maspine

Oleh Khamisah Bohari

JAGA TANAMAN: Yaakob melakukan semburan baja ke daun anak nanas.

MENYEDARI benih hibrid nanas Maspine terhad dan sukar diperoleh di Sarawak, Yaakob Mohd Miniandi, 54, bertekad menjadi pengusaha tempatan pertama menggunakan teknik penyukuan dan keratan batang bagi menghasilkan hibrid nanas Maspine.

Maspine berasal dari kumpulan nanas Manzanah yang mempunyai ciri-ciri daun tidak berduri dengan hibrid kacukan antara kultivar Cayenne, Perolera, Pernambuco, Spanish dan Queen.

Berbanding benih hibrid Josapine yang mudah didapati di Sarawak, Maspine dianggap terbaik berbanding hibrid lain serta kultivar tempatan kerana buahnya boleh dimakan segar, ditinkan dan dieksport.

Sebelum ini pada 2003, beliau menjalankan teknik penyukuan dan keratan batang hibrid Josapine di ladang nanas di Kampung Sungai Mata, Samarahan, sebelum beralih ke hibrid Maspine kerana mendapati benihnya lebih baik dan sukar diperoleh di Sarawak.

Yaakob berkata, teknik penyukuan dan keratan batang hibrid Maspine diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 2006.

Beliau berkata, Mardi membekalkan 250 sulur nanas dan kemudian beliau melakukan teknik penyukuan dan keratan batang bagi menghasilkan lebih banyak benih.
TANAM BILA-BILA MASA: Yaakob menunjukkan sulur nanas yang disiap dibahagikan empat.

"Sulur nanas itu dikerat empat menjadikan 1,000 sulur nanas untuk ditanam di ladang saya sekarang," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, dalam tempoh empat bulan ladangnya akan menghasilkan 1,000 nanas Maspine pada Mac lalu dan menerusi teknik penyukuan dan keratan batang nanti mampu menghasilkan 10,000 sulur nanas.

"Kebaikan teknik penyukuan ini, buah nanas boleh kita jual, manakala batang dan jambul boleh dijadikan sulur nanas untuk ditanam semula. Namun demikian buat masa ini sulur nanas hibrid Maspine yang dihasilkan adalah untuk keperluan sendiri," katanya.

Dalam tempoh lima tahun, beliau menjangkakan ladang nanasnya seluas dua hektar mampu menghasilkan 200,000 sulur nanas Maspine dan berhasrat menjadi pembekal utama sulur nanas Maspine dengan harga pasaran anak benih Maspine adalah 50 sen.

Katanya, penggunaan sistem plot di ladangnya banyak membantu dengan pembahagian kepada 20 plot dan setiap plot nanti akan ditanam 40,000 sulur nanas membabitkan 800,000 sulur secara keseluruhan.

"Sistem plot adalah bagi memastikan tidak semua sulur nanas yang ditanam diusahakan serentak. Selepas selesai satu plot akan berpindah ke plot lain supaya tanaman dapat dikawal dengan teliti," katanya.

Beliau berkata, pengusaha yang terbabit dalam teknik penyukuan dan keratan batang mampu mendatangkan pulangan lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Pembiakan benih nanas secara penyukuan dan keratan antara penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan benih nanas terutama hibrid Maspine," katanya

Yaakob berkata, pelbagai bahagian pokok iaitu jambul, sulur udara, tangkai, buah, batang dan slip daun, boleh digunakan untuk tujuan teknik penyukuan dan keratan batang.

Katanya, ada tiga kaedah disyorkan Mardi iaitu kaedah dan teknik pembiakan penyukuan, keratan batang dan mata tunas.

"Penyukuan dan keratan batang lebih sesuai digunakan dan memberi peratus hidup yang tinggi serta mudah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, bagi teknik penyukuan, bahagian jambul akan dibahagikan empat dan keratan batang pula mampu menghasilkan 20 keratan.

Katanya, proses teknik penyukuan dan keratan batang akan melalui proses tertentu dengan batang dan sulur akan dibelah dan dipotong sebanyak lima sentimeter.

"Keratan batang dan sulur nanas akan direndam dalam larutan racun dan kulat selama 10 hingga 15 minit sebelum kerja membaris dan menugal dilakukan. Ia kemudian dicelup bahan penggalak akar dan disemai serta anak benih yang berumur enam bulan sedia ditanam dan dibiak semula," katanya.

Yaakob berkata, teknik penyukuan dan keratan batang sulur nanas memerlukan penjagaan teliti dan bagi memastikan anak benih tumbuh dengan baik, baja semburan daun pada umur empat bulan perlu dilakukan.

"Penyemburan daun dua kali semusim perlu bagi memastikan kita memberi unsur pekit dengan menambah zat supaya anak benih sihat dan bermutu," katanya.

Beliau berkata, anak benih yang cepat membesar boleh dicabut dan dibuat penyukuan semula, manakala selepas enam bulan anak benih boleh dituai untuk ditanam dan sebahagiannya perlu dibuat penyukuan semula. Batas bekas semaian perlu disisir, digemburkan dan dirawat sebelum ditanam semula.