Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Julai 2008

Sedia makanan ikut prinsip Islam


Oleh Ziauddin Sharuddin


BENTO kotakmakan tengah hari menjadi kebanggaan rakyat Jepun.

"MEMANG ada perbezaan masakan mangkuk tingkat dan restoran. Rasa makanan mangkuk tingkat seperti masakan ibu," kata Fatahiyah Mohd Ghazali, pelanggan setia MangkukTingkat.com sejak dimulakan Jun lalu.

Sebelum ini, katanya dia membeli makanan di restoran, tetapi gulai ikan tawar dan sambal tidak sedap menjadi pengalaman biasa.

Selain rasa seperti masakan di rumah sendiri, usahawan itu memberitahu dia juga lebih mudah merancang kewangan kerana sudah memperuntukkan perbelanjaan untuk makan tengah hari bagi tempoh sebulan.


“Sebelum ini antara RM7 hingga RM8 dibelanjakan untuk makan tengah hari. Sekarang, saya hanya masak nasi, manakala lauk dibeli melalui MangkukTingkat.com. Oleh kerana kuah lauk banyak seperti ayam masak kicap, saya gunakan kuah yang lebih dan masukkan telur untuk makan malam,” katanya.

Fatahiyah adalah antara 400 pelanggan mangkuk tingkat yang menerima makan tengah hari dan malam terus di depan pintu rumah.

Pengurus Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Syaidiatul Syahirah Roslan, berkata kelebihan mangkuk tingkat.com ialah setiap pembekal makanan menyediakan makanan seperti dilakukan setiap hari untuk keluarga masing-masing.

Katanya, pemilihan pembekal makanan dibuat dengan rapi dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapat suntikan yang diwajibkan dan mengikuti kursus sehari kaedah menyediakan makanan mengikut prinsip Islam termasuk tertib ketika memasak.

“Prinsip penyediaan makanan mengikut prinsip Islam bukan hanya halal dan bersih, tetapi tahap lebih tinggi ialah suci. Ketiga-tiga elemen ini yang mewujudkan `nur’ (cahaya) dalam makanan,” katanya.

Beliau berkata, ramai orang tidak menyedari atau lupa bahawa makanan mempengaruhi perkembangan sahsiah seseorang.

“Kita sering mendengar ada remaja berperangai menjolok mata, tetapi cuba kita lihat makanan dan pemakanan mereka. Makanan yang tidak bersih dan suci, apatah lagi tidak halal menjadi darah daging adalah antara punca masalah ini.

“Sebab itu Islam amat mementingkan aspek halal dan suci seiring dengan kebersihan makanan,” katanya.

Sementara itu, Nor Azizah Jaafar, 41, yang membekalkan makanan kepada 47 pelanggan sekitar Gombak, berkata dia bangun seawal jam 5 pagi untuk memastikan masakan siap dihantar pada jam 9.30 pagi.

Katanya, sesetengah kerja seperti mengisar cili kering dan memotong bawang disiapkan pada waktu malam, manakala menyiang ikan dilakukan pada waktu pagi untuk memastikan kesegaran bahan mentah.

“Berdasarkan menu ditetapkan, saya membuat perancangan mengenai jumlah bahan mentah yang diperlukan. Biasanya antara jam 7 hingga 8 pagi, saya akan mula memasak,” katanya yang menaja beberapa anak yatim melalui Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.

Seperti memasak untuk keluarga, katanya mereka tidak menggunakan sebarang bentuk perasa tambahan dalam masakan.

Syaidiatul Syahirah berkata, setiap pembekal makanan secara purata boleh mendapat antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan Nur Hikmah hanya mengambil 10 peratus keuntungan sebagai caj pengurusan.

Sementara itu, katanya Nur Hikmah kini mempunyai 12 penghantar cepat bermotosikal dan dalam proses mengambil lebih ramai penghantar cepat.

Seperti kaedah dabbawala, katanya dua kereta dan sebuah van menghantar makanan ke lokasi tertentu dan dari situ, penghantar cepat menghantar ke pejabat atau rumah pelanggan.

Beliau berkata, setiap pelanggan mempunyai dua set mangkuk tingkat yang mempunyai nombor siri yang sama.

“Apabila mangkuk tingkat dihantar hari ini, mangkuk tingkat yang digunakan semalam diambil. Ini bermakna mangkuk tingkat tidak boleh digunakan orang lain,” katanya.