Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

31 Julai 2008

Warna alam di Tasik Perdana


Oleh Rohaniza Idris




LAMAN2008 hidangkan pelbagai keindahan taman dan seni landskap

INDAH, menawan dan hati tertawan. Mungkin itulah kata yang sesuai menggambarkan keindahan seni taman dan landskap yang dipamerkan selama 10 hari dan berakhir hari ini di Festival Antarabangsa Landskap dan Taman Malaysia atau LAMAN2008.

Berlangsung di Taman Tasik Perdana pelbagai keindahan taman dan seni landskap dipamerkan dengan bunga-bungaan, sayuran, pokok hiasan dan produk berkaitan laman mewarnai festival dua tahun sekali itu.


Sesuai dengan lokasinya yang terletak di ibu kota, Taman Tasik Perdana berubah wajah selama 10 hari menjadi lebih berwarna-warni, malah suasananya lebih sibuk daripada biasa dengan kehadiran pengunjung yang dicatatkan sudah melebihi 350,000 hingga Khamis lalu selepas dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahad lalu.

Seperti dua festival terdahulu, LAMAN2008 menjadi medan untuk memperkaya ilmu, mendapatkan kepelbagaian idea seni taman dan laman, malah pada masa sama, pengunjung dapat menghayati keindahan spesies flora.

Uniknya kali ini, LAMAN2008 disertai 200 peserta dari dalam dan luar negara meningkat sedikit berbanding dua kali penganjuran festival ini pada 2004 dan 2006.



Dengan tema Irama Alam atau `Rhythm Of Nature', pastinya pengunjung LAMAN2008 merasai irama alam itu kerana festival kali ini tidak hanya mempamerkan seni yang ada tetapi irama alam itu sendiri.

Paling jelas, irama alam itu diterjemah melalui Taman Untuk Orang Buta oleh Geomatika College of Technology yang menggabungkan taman berasaskan pokok bauan, bunyian-bunyian daripada hiasan dan perhiasan taman sesuai untuk sentuhan dengan batu-batu dan kayu mewarnai taman comel berkenaan.

Taman Majlis Bandaraya Johor Bahru pula dengan namanya Laman Nurani yang meletakkan alat permainan angklung di tengah laman yang berbunyi dengan bantuan air di kolam buatan di keliling orkid, pepohon pinang dan kelapa serta batu-batu sungai disusun sebagai tapak refleksologi kaki.

Namun, keindahan dan keunikan taman Irama Alam, Moving With Mind and Spirit of Nature, Majlis Perbandaran Negeri Johor yang diilhamkan daripada bentuk kuda kepang yang menjadi identiti negeri Johor tidak boleh disanggah ia memang menawan sesiapa saja yang melihat.


Sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah lokasi acara berhampiran pentas utama, keunikan taman ini terserlah menerusi penggunaan bahan terbuang yang digunakan menghiasi taman. Maka, memang selayaknya, mereka dinobatkan Juara Keseluruhan Laman pada LAMAN2008 kali ini.

Laman itu dibangunkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor dan Jabatan Landskap Negeri Johor (JLNJ) turut mengungguli lima anugerah lain untuk kategori Laman Malaysia, Kepemimpinan Laman (Majlis

Bandaraya Johor Bahru), Rekaan Laman, Pencahayaan Laman (Semua 16 Majlis Perbandaran Johor), Binaan Laman Terbaik (JLNJ dan Majlis Daerah Johor).

Lebih membanggakan kebanyakan peserta laman yang mengambil bahagian mempamerkan seni landskap tempatan walaupun elemen moden cuba diserapkan dalam rekaan masing-masing terutama pengguna cermin dan perabot futuristik.

Penggunaan kayu, pasu, batu-batuan dan bunga serta pokok tempatan melengkapi taman digabungkan dengan sistem pencahayaan sesuai untuk pemandangan pada waktu malam.

Peserta mewakili PBT lebih suka menampilkan keunikan daerah atau perbandaran yang mereka wakili tetapi masih mengekalkan tema festival iaitu Irama Alam.

Turut mencuri perhatian adalah taman yang mengandungi pelbagai tanaman herba dan sayur-sayuran dikenali sebagai Edible Garden yang diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Pokok serai, kunyit, pudina dan cili digabungkan bersama herba berbunga seperti misai kucing, kantan menaikkan seri taman. Turut mewarnai taman itu, pepohon tomato, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, kedondong, kobis dan padi - memang sesuai dijadikan ilham suri rumah sebagai kebun dapur.

Seperti dua kali penganjuran festival, Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetap sebagai penganjur manakala ia dihoskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memupuk semangat prihatin dan cintakan alam sekitar di kalangan semua lapisan masyarakat.

Dengan mengambil kira kesan yang terjadi kepada alam sekitar akibat fenomena pemanasan global, Laman2008 boleh menjadi landasan mengajak rakyat Malaysia berganding tenaga untuk bersama mengekalkan keindahan alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Kawasan paling ramai pengunjung adalah Taman Expo yang menjual pelbagai produk dan menawarkan perkhidmatan berkaitan seni taman dan landskap.

Perlu dipuji adalah penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta selain jabatan, agensi kerajaan yang turut sama memeriahkan LAMAN dengan menampilkan idea kreatif, mesra alam serta penggunaan teknologi baru.