Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Ogos 2008

Adi Taha didik masyarakat menerusi muzium


Oleh Mohd Azis Ngah


DR Adi (tiga dari kiri) bersama rakan memulakan kerja cari gali arkeologi di Lembah Bujang, Kedah pada 1976.

Pengalaman 32 tahun menjadikannya manusia prihatin, sabar serta sentiasa berwaspada

KERJAYA sebagai ahli arkeologi dan pada masa sama bertugas di Jabatan Muzium Negara menjadikan bekas Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Dr Adi Taha menjadi manusia prihatin, sabar serta sentiasa berwaspada atas setiap tindakan.

Beliau yang bersara Ogos 2007 mengakui pada awal pembabitannya dalam dunia arkeologi dan peranannya di Muzium Negara, memang ada pihak memandang serong hasrat murni mereka memberi pendidikan kepada masyarakat.


Antara yang paling dikenang sebagai detik suka dan duka ialah sewaktu menjadikan legasi (pusaka) pembangunan tapak arkeologi Lembah Bujang, Kedah sebagai pusat ilmu dan pelancongan pendidikan negara.

"Ini pengalaman manis kerana dapat membangunkan kawasan berkenaan daripada hanya pejabat beratap rumbia kepada mini muzium yang boleh dikunjungi di kaki Gunung Jerai. Saya diberi kepercayaan menguruskan hal itu bermula 1978 sebelum ia dirasmikan pada 1980.

"Apa yang saya kesalkan ialah pembangunan itu dibantah sebuah pertubuhan yang mendakwa kami sengaja membangunkan bekas candi hindu sedangkan ia berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan.

Adi Taha

"Hujah saya cukup mudah. Penemuan itu memberi banyak pengajaran kepada orang Melayu bahawa Islam pernah bertapak di situ dan kita pernah jumpa duit syiling Islam zaman kerajaan Islam Abbasiah bercetak tahun 574 (Hijrah).

"Itu yang perlu dikaji, kita bukan bangunkan semula candi itu. Sama seperti piramid di Mesir, kenapa ia tidak dimusnahkan sedangkan di dalamnya ada mumia firaun sebaliknya ia dijadikan pusat penyelidikan dan tarikan pelancong," katanya.

Berpengalaman selama 32 tahun dalam bidang arkeologi dan muzium menjadikan tugasnya lebih mudah kerana baginya hasil kajian pakar sejarah atau penemuan terbaru perlu dihebahkan kepada umum sama ada melalui ceramah, pameran atau terbitan buku.

Beliau pernah menjalani latihan praktikal di Kanada dalam persediaan menjadi kurator muzium dan mengendalikan Muzium Universiti, Muzium Awam dan Muzium Swasta, beliau mengakui pendekatan meningkatkan tarikan muzium ketika ini sangat berbeza berbanding tahun 1970-an atau 80-an.

DR Adi (kanan) melayan pengunjung muzium sempena Pameran Perak Man.

"Dulu kita tidak banyak saingan kerana muzium adalah tempat istimewa tetapi apabila berlaku ledakan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), sistem pelajaran mula berubah, bangunan gedung atau kompleks beli belah dibina, maka muzium perlu hidup dalam saingan mencabar.

"Dulu jika datang Kuala Lumpur, mesti ke muzium, Stadium Negara, Masjid Negara, tetapi sekarang situasi itu jauh berbeza. Jadi kita perlu bersaing supaya tidak ketinggalan," katanya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab meningkatkan tarikan muzium beliau bersyukur pernah berkhidmat di bawah ketua yang hebat termasuk Datuk Shahrom Yob yang berusaha keras menghidupkan tarikan muzium kepada orang ramai.

Katanya, hasil gabungan idea, mereka memutuskan perlu membuat pameran yang boleh dimanfaatkan masyarakat tetapi mempunyai hala tuju dan memulakan pameran popular pada tahun 2001 iaitu Pameran Hantu yang pada ketika itu diakui mendapat sambutan luar dugaan.

"Kita cuba cari nafas baru nak hidupan tarikan pengunjung tetapi sering diketawakan dan ada pihak memperkecilkan idea yang dicadang. Tetapi semua berjalan lancar dan mendapat sambutan. Ada yang menuduh pameran itu sebagai khurafat dan mengarut.

"Jangan salah faham, kita buat pameran lebih kepada 'pendidikan berlawanan' iaitu kenapa orang Melayu tidak berjaya, sikit-sikit takutkan hantu, takutkan anak-anak dengan hantar, bahkan orang kenamaan berpangkat besar pun guna khidmat bomoh untuk jadi popular.

"Kita cuba tunjukkan realiti pemikiran realiti orang Melayu mengenai benda ghaib atau hantu, mengapa kita harus percaya kepada hal khurafat, sepatutnya kita lebih tumpukan kepada pembangunan teknologi dan bertawakal kepada Allah. Pameran itu bukan untuk kaut keuntungan, ia untuk pendidikan," katanya.

Pengalamannya memperkenalkan tapak arkeologi Lembah Nenggiri, anak sungai, Hulu Kelantan ke mata dunia juga masih segar dalam ingatannya apabila berjaya membawa 240 ahli arkeologi dunia daripada 31 negara melihat sendiri hasil penyelidik tempatan pada 1998.

"Kita meletakkan batu asas tamadun negara meliputi Pantai Timur atau Timur Titiwangsa. Peserta seminar ketika itu terpegun melihat kebudayaan kita dan mereka dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tempatan," katanya yang ketika itu memegang jawatan Timbalan presiden Persatuan Pra Sejarah Indo-Pasifik.

PROFIL: Datuk Dr Adi Taha

  • Tarikh lahir: 3 Ogos 1951
  • Asal: Kodiang, Kedah
  • Anak:
    • Adrina Adi, 31,
    • Adriyati, 30,
    • Azdwanee Adi, 28,
    • Adzimah, 26,
    • Ahmad Fadzli, 25,
    • Akfi Adawi Adi, 13,
    • Isteri, Wan Aminah Yusoff, 56, pesara guru


  • Pendidikan:
    • Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah (1958-1963)
    • Sekolah Inggeris Derma, Kangar, Perlis (1964-1968)
    • Sekolah Dato' Abdul Razak Tanjung Mali, Perak (1969-1970)
    • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1971-1975) Sarjana Muda Antropologi & Sosiologi
    • Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Australia (1978-1980) - Sarjana Pra Sejarah
    • Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Australia (1993-2000) - PhD -Arkeologi.


  • Jawatan:
    • Sarjana Tamu Muzium Warisan Akademi UKM (2007-sekarang)
    • Ketua Pengarah Muzium (2005-207)
    • Ketua Pengarah Muzium dan Antikuiti (2002-2005)
    • Timbalan Ketua Pengarah Muzium (2000-2002)
    • Pengarah Pengurusan Muzium (1998-2000)
    • Pengarah Bahagian Antikuiti (1991-1998)
    • Ketua Unit Penyelidikan (1986-1991)
    • Kurator Kanan Pameran (1983-1986)
    • Kurator Arkeologi (1975-1983)