Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

08 Ogos 2008

Tribunal tentera jadi mainan keadilan AS


Oleh Khidir A Majid

KEPUTUSAN tribunal tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap kes bekas pemandu Osama Bin Laden, Salim Hamdan minggu ini meneruskan kontroversi sama ada standard keadilan digunakan terhadap suspek pengganas menepati nilai keadilan negara kuasa besar dunia itu.

Keputusan kes membabitkan 'ikan kecil' dari Yaman berkenaan yang dibuat juri dianggotai enam anggota tentera Amerika, tidak mengejutkan.

Salim memang dijangka didapati bersalah. Namun, keputusan juri yang berbelah-bahagi memberi modal baru kepada Rumah Putih dan pengkritiknya.


Kes terhadap pemandu Osama itu, adalah ujian penuh pertama ke atas sistem tribunal tentera yang dirangka Pentadbiran Bush bagi membicarakan tahanan asing di luar lingkungan sistem mahkamah Amerika Syarikat di atas tuduhan keganasan.

Penyokong proses perbicaraan tentera itu, termasuk Rumah Putih mengisytiharkan keputusan kes Salim yang menyaksikan tertuduh didapati bersalah atas tuduhan membantu al-Qaeda, tetapi tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan kumpulan berkenaan membuktikan sistem itu berkesan.

Kumpulan Hak Asasi dan kebebasan awam pula, mengecam proses itu.

Calon Presiden Amerika Syarikat turut mahu terbabit sama dalam perbincangan isu kontroversi itu. Calon Parti Republikan, John McCain, seperti dijangkakan memberi komen sejajar dengan Rumah Putih.

"Proses dalam kes ini menunjukkan suruhanjaya tentera boleh membawa dengan berkesan suspek pengganas yang bahaya ke muka pengadilan. Hakikat bahawa juri tidak mendapati Salim bersalah di atas semua tuduhan mencerminkan juri menimbangkan semua bukti dengan teliti," kata McCain yang datang daripada parti sama dengan Presiden George W Bush.

Rumah Putih sebelum itu memuji keputusan itu dan berjanji membicarakan 20 lagi tahanan di Teluk Guantanamo di bawah sistem tribunal tentera sama.

"Kami gembira Salim mendapat keadilan," kata jurucakap Rumah Putih, Tony Fratto.

Namun, bagi pengkritiknya, kes Salim memberi bukti tambahan mengenai kepincangan sistem berkenaan. Calon Presiden Parti Demokrat, Barack Obama jelas bersama pengkritik ini dan mahu suspek pengganas diadili di bawah sistem biasa Amerika.

Kini segala persoalan undang-undang, politik dan diplomatik yang tidak terjawab dengan keputusan terhadap kes Salim itu, akan dijawab Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat yang akan mendengar rayuan kes berkenaan.

Hakim awam yang akan terbabit perlu melihat sama ada proses dan standard pembuktian yang digunakan tribunal tentera itu menepati peruntukan Perlembagaan Amerika Syarikat.

Antara isu awal yang dijangka dipertimbangkan hakim terbabit ialah sama ada Perlembagaan dicabuli apabila peguam bela tidak dibenarkan menyoal ejen Agensi Risikan Pusat (CIA) yang menyoal siasat anak guam mereka, mahupun diberi laporan mengenai soal siasat berkenaan.

Seramai empat saksi pendakwa memberi keterangan pada tribunal tentera itu tanpa didedahkan identiti mereka, manakala dua pegawai gerak khas tentera darat Amerika memberi keterangan di sebalik tabir, tanpa disaksikan media atau pemerhati bebas.

Perbicaraan berkenaan yang sudah pun mengubah persekitaran undang-undang Perlembagaan Amerika dan dijangka mengubahnya lagi ketika proses rayuan.

Setakat ini, ia berakhir seperti yang mahu diakhiri oleh mereka yang menggubal undang-undang untuk memerangi keganasan, iaitu dengan sabitan salah terhadap suspek pengganas yang mereka tawan.

Ketika ini, Rumah Putih dan Pentagon boleh mendabik dada dan berbangga dengan kejayaan sistem yang mereka gubal. Namun, apa yang akan berlaku kepada pusingan selanjutnya masih belum dapat ditentukan.