HAWA dingin ada alat gantinya? Di mana alat ganti tersebut dapat diperoleh? Persoalan ini muncul kerana di Taman Maju Jaya, Kuala Lumpur ada kedai yang menjual alat ganti hawa dingin.
Lazimnya, hawa atau udara akan menjadi dingin secara semula jadi apabila hari hujan. Selain itu, udara juga akan menjadi dingin apabila didinginkan oleh “alat hawa dingin” atau juga dikenali dengan “penyaman udara”. Istilah “alat hawa dingin” merupakan padanan kepada istilah air-conditioner dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu, istilah tersebut juga boleh dipadankan dengan istilah “penyaman udara”.
Apabila telah lama digunakan “alat hawa dingin” atau “penyaman udara” perlu diselenggara atau di-servis, dan ada kalanya komponen atau alat tertentu perlu diganti. Komponen atau alat tertentu inilah yang dikenali dengan alat ganti, dan akan digunakan untuk menggantikan alat-alat dalam “penyaman udara” atau “alat hawa dingin” yang rosak, bukannya untuk menggantikan “hawa dingin” kerana “hawa dingin” tidak ada alat gantinya. Yang ada alat gantinya ialah alat hawa dingin dan alat ganti tersebut boleh dibeli di kedai alat ganti hawa dingin.
Jadi, nama premis atau kedai di Taman Maju Jaya sebenarnya tidak tepat dan sepatutnya diubah menjadi “Penjual Alat Ganti Alat Hawa Dingin” atau “Penjual Alat Ganti Penyaman Udara”. Pihak berkenaan yang bertanggungjawab dalam meluluskan pendaftaran nama syarikat sepatutnya lebih teliti dalam meluluskan pendaftaran sesuatu nama syarikat supaya nama yang didaftarkan adalah tepat dari segi penggunaan bahasa kebangsaan. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam meluluskan pemasangan papan tanda premis perniagaan.