Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Ogos 2008

Puisi Dua Negara Memartabatkan Sastera dan Budaya


[Oleh Zaidah Ahmad Rosly]


SEPAKAT: Sasterawan Negara (dari kiri), Ketua Pengarah DBP,
Pesuruhjaya Bangladesh ke Malaysia bersama dua orang karyawan
tersohor, Datuk Kemala dan Aminur Rahman.

DALAM usaha untuk terus memartabatkan sastera dan budaya Melayu, puisi-puisi hebat karya dua orang sastera-wan negara, Datuk Dr. A. Samad Said dan Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) diterjemahkan dalam bahasa Bangladesh oleh penyair terkenal negara itu, Aminur Rahman dan dihimpunkan dalam sebuah antologi. Majlis pelancaran buku tersebut diadakan di Dewan Bankuet, Menara DBP pada 31 Disember tahun lalu dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Tuan Yang Terutama M. Khairuzzaman.

Majlis pelancaran yang diada-kan di negara ini merupakan inisiatif Puan Rieta Rahman yang juga seorang penyair dan isteri kepada Tuan Yang Terutama M. Khairuzzaman, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dengan kerjasama DBP, PENA dan Persatuan Sastera Bandingan, Malaysia. Dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran tersebut, beliau mengatakan bahawa ini adalah titik permulaan kepada hubungan baru dalam perspektif sastera dan budaya antara Bangladesh dengan Malaysia.

Selain itu, beliau juga turut berharap agar hubungan ini akan terus mekar pada masa akan datang. Di samping turut membaca sebuah puisi daripada antologi tersebut dengan terjemahannya disampaikan oleh Aminur Rahman. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, Aminur Rahman, pegawai-pegawai dari kedutaan Bangladesh dan penggiat-penggiat sastera tanah air.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah dalam ucapan balasnya pula mengatakan DBP sangat berbangga dengan usaha ini dan berharap agar kolaborasi budaya antara Bangladesh dengan negara ini akan berterusan. Beliau turut membaca puisi Bangunkan Tanah Airku karya Rabindranath Tagore yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Pelancaran buku Antologi Datuk Dr. A. Samad Said dan Datuk’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Baca Puisi telah pun dilaksanakan di Dhaka, Bangladesh pada 24 November tahun yang lalu. Pelbagai acara telah diatur bersempena dengan majlis pelancaran antologi tersebut antaranya termasuklah sesi bertemu dengan teman-teman artis, rakan-rakan penyair dan sesi temu ramah dengan stesen-stesen televisyen.