Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Ogos 2008

Bekas penjajah hasut rakyat takut


Oleh Rosli Abdul Jalil

Demonstrasi, perhimpunan haram dan forum sentuh sensitiviti kaum dicetus

KUANTAN: Pelbagai kaedah digunakan bekas penjajah untuk menghasut rakyat supaya negara ini dilihat tidak selamat di mata dunia, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, penganjuran demonstrasi jalanan, perhimpunan haram dan forum yang menyentuh sensitiviti kaum adalah antara hasutan dan idea yang dicetuskan bekas penjajah untuk mengganggu keharmonian Malaysia.


“Mereka (kuasa asing) menciptanya dengan bertopengkan kebebasan yang boleh menyebabkan negara kita tidak stabil dan maju bagi memudahkan mereka menjajah semula," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51 2008 dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak. Tan Mohd Aminuddin kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada 51 jabatan dan agensi kerajaan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Seong Hong dan Adun Panching, Mohd Zaili Besar.

Adnan berkata, rakyat perlu faham bahawa penjajahan bentuk baru tidak lagi menggunakan senjata yang canggih tetapi dengan kaedah mengawal mata wang dunia, melakukan sekatan ekonomi dan globalisasi.

“Jadi, tanpa ilmu, rakyat tidak mampu menangkis serangan global penjajahan bentuk baru yang dirangka negara Barat yang ingin menjajah semula.

“Pengalaman pada 1997 dan 1998 membuatkan kerajaan amat berwaspada terutama dengan globalisasi yang dipromosikan kuasa asing, walaupun diakui pasaran terbuka dan penyertaan orang asing dalam ekonomi negara akan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Kita bukan menolak globalisasi secara menyeluruh, sebaliknya kita menerima penyertaan asing secara bersyarat," katanya.

Adnan berkata, semua yang dikecapi sekarang adalah hasil kerjasama rakyat sesama rakyat dan rakyat dengan kerajaan.

Beliau berkata, kemerdekaan kita masih muda dibandingkan negara lain tetapi nikmat yang dikecapi menjangkau mereka yang merdeka terlebih dulu.

Sementara itu, Wan Adnan dalam ucapannya berkata, kesedaran terhadap semangat kekitaan dan cintakan negara perlu ada dalam setiap jati diri dan jiwa rakyat Malaysia.

Justeru, beliau berkata, rakyat sewajarnya bersyukur kerana negara kekal aman dan sejahtera untuk sekian lama.