Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Ogos 2008

Maruah Melayu tak harus dipertaruh


Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

SIPITANG: Maruah orang Melayu dan golongan Bumiputera tidak harus dijadikan pertaruhan pihak berkepentingan semata-mata untuk menunjuk lagak sebagai wira di kalangan masyarakat.

Ketua Penerangan Umno bahagian Sipitang, Karmalin Ombi, berkata cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera secara jelas menghina orang Melayu dan Bumiputera.

"Jangan gadai maruah orang Melayu dan Bumiputera. Jika hendak menjadi `hero', kaji dulu sebelum membuat cadangan yang menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera.


"Jangan bangkitkan soal (membuka UiTM kepada bukan Bumiputera) kerana ia boleh menggugat keharmonian bangsa yang selama ini hidup tenteram.

"Sepatutnya, orang Melayu diberi peluang memperbaiki kelemahan untuk setanding dengan bangsa lain," katanya berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Berkelompok Zon Sipitang dan Zon Maritaman di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Puteri Umno bahagian Sipitang, Dayang Maimunah Sidek; Setiausaha Bahagian, Ag Rakawi Ag Mohd Said dan ahli daripada 40 cawangan.

Kamarlin berkata, status UiTM yang diwujudkan bagi golongan Melayu dan Bumiputera perlu dikekalkan bagi membolehkan graduannya maju secara berdaya saing.

"Dari segi akademik dan kejayaan profesional, UiTM boleh berbangga kerana melahirkan ramai pemegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan serta swasta," katanya.

Sementara itu, Kamarlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan turut mengingatkan ahli Umno mengekalkan perpaduan supaya kepentingan bangsa Melayu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Walaupun cabaran pada awal penubuhan Umno berbeza berbanding sekarang, katanya, ahli Umno tetap perlu bersatu kerana faktor itu adalah penentu terhadap kesinambungan parti.

"Kita maklum ini adalah tahun pemilihan jawatan tetapi pada masa sama saya harap tiada pertelingkahan berlaku dalam keluarga Umno Sipitang hingga boleh merenggangkan ikatan.

"Mereka yang hanya berminat menjaga kepentingan sendiri adalah dalang yang boleh menghancurkan parti, sedangkan keadaan semasa memerlukan ahli Umno bersatu dalam menghadapi pelbagai kerenah yang ditimbulkan pihak luar," katanya.