Oleh Enku Zakir Syed Hussein
KADAR inflasi negara melonjak kepada 7.7 peratus pada Jun lalu. Kadar ini masih rendah berbanding dengan kenaikan tertinggi dalam sejarah iaitu 23.9 peratus pada Mac 1974. Kira-kira 87 peratus daripada kenaikan ini, disumbang oleh peningkatan harga makanan dan minuman bukan alkohol (43 peratus) serta pengangkutan (44 peratus).
Indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 10 peratus terutama disumbangkan oleh peningkatan harga beras (39.6 peratus), gandum (16.7 peratus), tepung susu (16.5 peratus) dan daging segar (11.6 peratus).
Untuk kalangan bukan makanan, yang meningkat dengan ketara ialah indeks elektrik (59.7 peratus) dan kenderaan persendirian (34.6 peratus. Barangan makanan lain yang mencatat kenaikan ketara dalam bulan Jun adalah tomato, telur ayam, daging import, bihun, mi kering, tembikai, lobak merah, ayam dan tepung gandum.
Disebabkan kenaikan ini, kerajaan bercadang untuk menjadikan bihun dan susu tumbesaran sebagai barang kawalan bagi membolehkan barangan terbabit sampai kepada kumpulan sasarannya.
Peningkatan mendadak harga bahan makanan dan kos pengangkutan terbabit sudah tentu memberi kesan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.
Golongan berpendapatan di bawah RM1,000 membelanjakan 43 peratus daripada pendapatan mereka untuk makanan berbanding dengan 31.4 peratus bagi purata nasional. Faktor utama menyumbang kepada kenaikan inflasi dalam bulan Jun 2008 ialah berikutan penstrukturan semula harga petrol dan diesel sebanyak 40 hingga 60 peratus seperti diumumkan pada awal Jun lalu.
Peningkatan harga beras dalam pasaran global turut memaksa kerajaan untuk meningkatkan harga siling beras di pasaran tempatan. Bagaimanapun, purata kadar inflasi bagi Januari hingga Jun 2008 masih lagi rendah pada 3.7 peratus.
Kadar inflasi dijangka terus menunjukkan angka yang tinggi sehingga pertengahan 2009 dan akan kembali stabil mulai separuh kedua 2009 sekiranya tidak lagi berlaku peningkatan harga minyak.
Di negara-negara yang menyaksikan harga minyaknya tidak dikawal oleh kerajaan sudah pun merasai kenaikan inflasi lebih awal.
Singapura, misalnya mengalami inflasi tinggi iaitu sebanyak 6.6 peratus pada Januari 2008, satu paras tertinggi dalam tempoh 26 tahun untuk negara berkenaan dan masih kekal tinggi (7.5 peratus dalam bulan Jun 2008). Negara jiran lain juga berdepan dengan inflasi yang tinggi seperti Filipina (11.4 peratus), Indonesia (11.03 peratus) dan Thailand (8.9 peratus).
Kenaikan harga yang berlaku di negara kita tidaklah seburuk seperti berlaku di negara lain. Di kebanyakan negara, bukan saja berlaku inflasi yang tinggi malah bekalan terutama bahan makanan hampir kehabisan, berlaku demonstrasi, rusuhan dan kebuluran.
Tetapi keadaan seperti ini tidak berlaku di negara kita. Kita patut bersyukur kerana bekalan bahan mentah dan makanan masih mencukupi walaupun harganya lebih tinggi.
Biar apapun, kadar inflasi 7.7 peratus ini adalah yang tertinggi dalam masa beberapa tahun. Kesannya tentu terasa berat. Tetapi persoalannya ialah apa yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan bebannya?
Antara langkah penjimatan yang boleh dilakukan pengguna termasuk menjimatkan penggunaan elektrik dan air, mengelakkan pembaziran makanan terutama dalam majlis keramaian, menggunakan pengangkutan awam, membeli barang pengganti dengan harga lebih murah dan berhenti merokok.
Pengguna juga perlu menjadi pengguna yang berhemat dan bijak. Kita perlu tahu hak kita. Misalnya, jika kita tahu restoran tertentu meletakkan harga tinggi seperti air kosong sebanyak 50 sen segelas, kita perlu menghindari restoran berkenaan.
Kalau semua bertindak demikian, ini akan memaksa restoran itu menyemak kembali harga makanan yang dijual. Pengguna juga boleh membawa bekal ke pejabat atau berjalan jauh, memulakan tanaman sara diri, kreatif dalam meningkatkan pendapatan, berdikari, membuat perbandingan harga sebelum membeli dan membuat pembelian langsung daripada petani.
Selain itu, tindakan pengguna secara bijak akan memaksa pengusaha makanan untuk tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya dengan alasan kenaikan harga barangan lain yang meningkatkan kos operasi.
Pengusaha kadang-kadang mencari alasan untuk menaikkan harga. Sebagai contoh, harga gandum meningkat sebanyak 12 peratus tetapi memberi kesan sebanyak satu sen saja untuk sekeping roti canai yang boleh diserap tanpa kerugian besar. Tetapi harga roti canai dinaikkan sebanyak 10 sen sekeping.
Malangnya pengguna tidak mengetahui perkiraan itu dan hanya menerima kenaikan terbabit tanpa mengurangkan perbelanjaan mereka untuk roti canai. Dalam hal ini, pengguna harus mengambil sikap memilih dalam membuat perbelanjaan, berhemat dan berjimat cermat.
Penulis ialah Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Makro, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri