Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Ogos 2008

Ketua parti mesti bertanggungjawab kawal penyokong



KITA amat kesal apabila pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang baru masuk hari pertama berkempen kelmarin, sudah menyaksikan insiden tidak diingini seperti tindakan penyokong pembangkang memukul dua jurugambar, sekumpulan ahli Pergerakan Puteri Umno mendakwa diraba di punggung dan diludah oleh beberapa penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Wanita Umno dimaki hamun selain penyokong pembangkang menunjukkan isyarat lucah secara melampau. Pada malam sebelum penamaan calon itu juga sudah bermula tindakan ganas apabila kenderaan yang membawa timbalan menteri dikepung 50 lelaki dipercayai penyokong PKR sambil mengetuk pintu dan cermin kenderaan selain melemparkan kata-kata kesat. Kita tidak pasti sama ada banyak lagi insiden seumpamanya akan tercetus dalam tempoh sembilan hari lagi menjelang pengundian pada 26 Ogos ini. Yang pasti penyokong calon yang bertanding akan meningkatkan kempen masing-masing dalam usaha menarik sokongan pengundi, dan dalam situasi seperti ini, ketegangan mudah tercetus apabila penyokong tidak dapat mengawal emosi. Kita akui dalam keadaan kempen yang agak tegang, perkara sekecil mana pun, jika dibangkitkan secara keterlaluan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati yang akhirnya menyebabkan perselisihan faham atau lebih buruk lagi pergaduhan. Kita tidak boleh terlalu mengharapkan kepada polis untuk mengawal keadaan kerana anggota keselamatan cuma boleh bertindak untuk mengelak sesuatu daripada berlaku atau meleraikan sebarang pergaduhan.

Pokok pangkalnya ialah terpulang kepada ketua atau pemimpin parti tertentu yang seharusnya boleh mengawal keadaan. Seseorang pemimpin boleh menasihatkan penyokongnya agak berdisiplin dan mereka jugalah orangnya yang boleh mencetuskan provokasi. Sepatutnya, setiap parti yang bertanding melantik seorang ketua keselamatan di setiap ceramah atau lokasi bagi memastikan penyokong masing-masing tidak bertindak di luar batas undang-undang. Jika semua pihak berbuat demikian, sudah pasti ketegangan boleh dikurangkan. Kita tidak mahu kerajaan akan terpaksa mengambil tindakan seperti menggunakan akta jenayah, akta hasutan dan pelbagai lagi akta untuk menangani masalah ini, kerana kita lebih suka keadaan aman dan tenteram. Tetapi jika kerajaan tidak bertegas, masalah ala 'gangsterism' akan berterusan. Dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, tindakan ganas kerap berlaku seperti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Selangor pada April tahun lalu apabila parti pembangkang menahan bas membawa aktivis Umno Perlis dan begitu pada pada pilihan raya kecil DUN Lunas pada November 2000 sehingga tercetus situasi tegang pada hari pengundian. Kita berharap ketegangan tidak berlaku lagi di Permatang Pauh sehingga hari pengundian 26 Ogos nanti.