Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Ogos 2008

Inspirasi memilih kereta idaman


Oleh Fairuz Zaidan




Baik buruk pilih kenderaan baru, terpakai

KERETA tidak boleh dipisahkan dengan dunia lelaki. Malah, ada lelaki meletakkan kereta di tangga pertama dalam senarai aset atau objek kesayangan. Tidak hairan juga, ada lelaki sanggup berhabis wang bagi memastikan kereta idaman memenuhi selera dan cita rasa diri.

Bercerita mengenai kereta, tidak dinafikan golongan Adam cukup arif dan mempunyai taste dalam ‘menghias’ kenderaan pilihan. Tidak cukup dengan jenis kenderaan pilihan, aksesori tambahan dimanfaatkan sepenuhnya demi mahu tampil sporty!


Mengupas ketaksuban lelaki terhadap kereta, XY-Ikon Lelaki cuba menyelam obsesi ini selain menyenarai tip berguna berhubung penjagaan kereta pilihan serta panduan menjimatkan petrol.

Pengurus Jualan Honda Malaysia Sdn Bhd, Akkbar Danial yang memiliki pengalaman lebih 12 tahun di Jepun, memberi persepsi dan pandangan peribadi mengenai ketaksuban lelaki terhadap kereta serta senario kenderaan pilihan pengguna masa kini.

Pandangan anda mengenai trend pemilihan kenderaan pengguna masa kini?

KEHENDAK: Memiliki kereta idaman menjadi impian semua jejaka urban bergaya.

Keadaan ekonomi dunia serta kesan ketara kenaikan petrol sebanyak 40 peratus manakala diesel 60 peratus secara tidak langsung menyebabkan pengguna lebih memberi tumpuan kepada kenderaan yang menawarkan penjimatan minyak komprehensif. Namun, pengguna tidak mahukan kenderaan yang menjimatkan minyak saja, tetapi aspek reka bentuk dan harga berpatutan.

Apakah cara terbaik membuat pilihan kenderaan yang mampu menjimatkan kos, bahan api dan praktikal kepada dari segi pemanduan?

Perkara paling utama harus diteliti ialah bajet kita sendiri sama ada mampu untuk memiliki sesebuah kenderaan. Selain itu, harus juga mengambil kira kekerapan pemanduan sama ada untuk kegunaan harian atau hujung minggu. Alternatif terbaik ialah dapatkan komen teman-teman serta pengguna kenderaan itu sendiri. Kami di Honda misalnya, menyediakan pelbagai jenis kenderaan daripada segmen sederhana kepada kelas mewah bagi memenuhi kriteria dan kepuasan pelanggan.

Tip menjimatkan minyak bagi anda?

PENJAGAAN: Penting bagi melakukan servis kenderaan tepat pada masanya.

Banyak perkara yang boleh dibuat dalam usaha mengurangkan penggunaan petrol. Mungkin kita tidak sedar teknik pemanduan serta faktor persekitaran menambah penggunaan bahan api, sedangkan ada cara tertentu jika diikuti boleh menjimatkan minyak secara total.

Tip menjimatkan minyak yang praktikal dan logik ialah:

  • Elak menyimpan barangan yang bukan keperluan dalam kereta. Barangan seperti kasut, beg, pakaian, kerusi roda kanak-kanak dan kelengkapan sukan sering disimpan dalam kereta sedangkan ia hanya menambah berat kenderaan. Pastikan jumlah barangan tidak melebihi 150 kilogram.

  • Periksa tekanan udara pada tayar sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Tip yang perlu dipelajari ialah pastikan tekanan udara tayar berada di tahap normal.

    Tekanan udara berlebihan akan menyebabkan pemanduan tidak selesa manakala tekanan udara yang kurang akan menambah geseran tayar di permukaan jalan.

  • Lakukan penyelenggaraan servis kenderaan tepat masanya. Sebaiknya, kenderaan diservis setiap 5,000 kilometer atau tiga bulan sekali. Cara ini memastikan jangka

    hayat enjin berada pada tahap terbaik.

  • Jangan memandu terlalu laju kerana ia meningkatkan penggunaan bahan api.

  • Pastikan gear kenderaan sesuai dengan pemanduan.

    Panduan terbaik membeli kereta baru di pasaran?

    Membeli kereta ini bukanlah seperti membeli makanan. Ia bukan murah. Justeru, penting untuk kita fikir apakah yang terbaik sebelum membuat keputusan. Bukan saja faktor harga, pertimbangan lain juga harus diteliti seperti kelasakan, jangka hayat kenderaan itu sendiri serta potensi harga jual semula apabila tiba masanya.

    Apakah kepentingan melakukan servis kereta tepat pada masanya?

    Kereta boleh diumpamakan sebilah pisau. Jika diasah selalu ia akan sentiasa tajam. Tetapi jika hanya sesekali diasah, ketajamannya tidak sama. Begitulah juga dengan kereta di mana cara terbaik adalah melakukan servis setiap 5,000 sekali. Di Honda, kami menyarankan pelanggan melakukan servis kenderaan tepat pada masanya. Ini penting bagi memastikan kelancaran enjin selain dapat mengesan kerosakan lebih awal.

    Baik buruk membeli kenderaan terpakai?

    Ada baik buruknya membeli kenderaan terpakai. Malah, kenderaan terpakai ini penting dalam segmen kenderaan kerana membantu menjana keseimbangan jumlah kenderaan. Biarpun murah berbanding kenderaan baru di pasaran, harus diambil perhatian soal penyelenggaraan dan keupayaan prestasi kenderaan itu sendiri. Kita harus menyelidik latar belakang pemandu, laporan servis kenderaan dan membawa kenalan yang arif untuk memeriksa kenderaan terpakai terlebih dulu sebelum membuat keputusan membeli.

    Ada berpendapat kenderaan berharga lebih RM80,000 lebih menjimatkan dalam tempoh jangka masa panjang. Apa pandangan anda?

    Pada dasarnya, teknologi yang digunakan untuk kenderaan segmen mewah memberi kelebihan dari segi pemanduan dan menjimatkan petrol. Enjin yang digunakan serta teknologi yang diserapkan pada kenderaan secara tidak langsung menjurus kepada penjimatan. Seperti teknologi hibrid yang sudah pun diperkenalkan pada kereta Honda Civic untuk pasaran Malaysia, ia menampakkan hasil menakjubkan. Selain kenderaan mesra alam, Honda Civic juga menjimatkan kos.

    Nampaknya kenderaan kompak mendapat sambutan cukup menggalakkan di pasaran. Bagaimana anda melihat situasi ini?

    Saya tidak nafikan yang kenderaan jenis ini lebih mendapat sambutan kerana faktor saiz dan penjimatan. Selain faktor saiz, pilihan lain yang menjadi keutamaan pengguna adalah reka bentuk dan keupayaan enjin serta penjimatan minyak yang ditawarkan.

    Tidakkah Honda sendiri merancang membawa lebih banyak segmen kenderaan cc rendah untuk pasaran Malaysia?

    Kita sudah mempunyai segmen kenderaan berkapasiti rendah iaitu kereta model Proton dan Perodua. Sementara Honda memberi tumpuan kepada kenderaan kelas pertengahan dan mewah walaupun di pasaran luar dan Jepun menawarkan model kereta Honda untuk 660cc dan 1000cc. Buat masa ini tiada perancangan ke arah itu namun tidak mustahil akan ada jika permintaan.

    Kelebihan jenama kereta Honda?

    Sesuai dengan logo kami iaitu Honda 'The Power of Dreams', pengguna dapat merealisasikan impian mereka dengan memandu pelbagai segmen kenderaan dari Honda City, Honda Jazz, Honda Civic, Honda Accords hinggalah kepada jenis kenderaan pelbagai guna (MPV). Kelebihannya terletak pada pemanduan dan teknologi yang diterapkan untuk membezakan pemanduan secara total.

    Profil

    Nama: Akkbar Danial

    Umur: 34 tahun

    Tarikh lahir: 4 September 1973

    Tempat lahir: Kuala Krai, Kelantan

  •