Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 Ogos 2008

JAKSA Peneraju Sektor Swasta Mendaulatkan Bahasa

Oleh Aliah Abdul Rahim

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran memperluaskan pengiktirafan penulisan dalam bahasa kebangsaan yang baik, iaitu penulisan skrip drama, artikel majalah, akhbar dan buku sebagai usaha memberikan galakan kepada masyarakat untuk menghasilkan penulisan pelbagai media tersebut dalam bahasa kebangsaan yang baik dan bermutu.

Saranan ini timbul dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (JAKSA) yang diadakan pada 11 Ogos yang lalu di DBP, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, YB Datuk Haji Razali Ismail dan dihadiri oleh kira-kira 50 orang ahli daripada pelbagai sektor yang melibatkan jabatan kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan.

Menurut ahli mesyuarat yang mengusulkan cadangan tersebut, belum ada mana-mana badan yang memberi pengiktirafan penulisan yang baik dari segi bahasa melainkan penghargaan yang diberi terhadap isi kandung­an penulisan, iaitu dari aspek kewartawanan. Justeru, DBP dilihat sebagai satu-satunya badan yang layak memberi pengikti­rafan tersebut.

Majlis Anugerah Citra Wang-sa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan pada se-tiap tahun sejak 1997 turut memberi pengiktirafan kepada penulis lirik, penulis iklan, penulis skrip filem dan pengacara yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan berkualiti. Namun pengiktirafan sedemikian wajar diperluaskan lagi kepada bentuk penulisan yang lain, iaitu penulisan artikel, berita, rencana dan buku demi mengangkat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai ilmu dan genre dengan baik, bermutu dan berkesan. Anugerah Citra Wangsa 2007 pada tahun ini akan diadakan pada bulan Ogos di Dewan Bankuet, DBP.

Dalam mesyuarat selama hampir dua jam itu, ahli mesyua­rat juga menyuarakan cadang­an agar Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang juga meru-pakan acara tahunan DBP dapat dilanjutkan daripada sebulan kepada sepanjang tahun supaya pelbagai acara dan aktiviti dapat melibatkan lebih ramai golong-an muda, terutama pelajar di seluruh negeri. Dengan itu acara seperti forum, deklamasi puisi, pertandingan kuiz dan sebagai-nya dapat dimanfaatkan oleh mereka. Selain aktiviti berbahasa Melayu yang serius seperti debat dan pidato, perlu difikirkan aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan untuk menarik minat ramai golongan pelajar supaya mereka lebih berminat untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu.

JAKSA merupakan salah sebuah jawatankuasa di ba-wah Jawatankuasa Induk Memperkasakan Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dan membina negara bangsa yang sewajar-nya memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak kerajaan dan swasta.

Mesyuarat JAKSA sebelum ini yang diadakan pada tahun 2006 di Kuala Lumpur, antara lain membincangkan kerjasama antara DBP dengan pihak berkuasa tempatan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam yang akan dilaksanakan melalui pindaan akta dan undang-undang. Pindaan Akta DBP bertujuan memberi kuasa kepada DBP untuk membetulkan kesalahan bahasa pihak berkenaan dan mengenakan tindakan undang-undang jika tidak dipatuhi.