Oleh Abdul Razak Raaff
PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu.
Katanya, semua perkara yang dibangkitkan Khalid tidak mempunyai asas dan hanya bersifat populis untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu dan bermain politik mengenai perkara berkaitan institusi yang diwujudkan untuk memelihara kedudukan dan kepentingan orang Melayu.
Namun, beliau memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno akan terus melindungi UiTM mengikut peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan melayan sebarang cadangan untuk membuka kuota pelajar institusi itu kepada bukan Bumiputera.
"Saya suka ingatkan beliau supaya jangan menghina UiTM seolah-olah ada banyak kelemahan dan perkara tidak betul di institusi pengajian berkenaan. Kenyataan beliau adalah politik murahan yang sanggup menggadai kedudukan orang Melayu.
“UiTM adalah satu pendekatan kerajaan memberi ilmu pengetahuan kepada orang Melayu untuk mengimbangi kekurangan dan kedudukan mereka yang tercicir dan tertinggal. Kedudukan orang Melayu pada hari ini masih belum boleh menyaingi kaum yang lain,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.
Mohd Khaled mengulas kenyataan Khalid yang mencadangkan 10 peratus daripada kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.
Menteri Besar Selangor itu berkata, ia akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Khaled yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tidak timbul soal meningkatkan perpaduan kaum dan meningkatkan kecemerlangan UiTM dengan membuka kuota pelajarnya untuk semua kaum.
“Soal kecemerlangan UiTM, kementerian sudah mempunyai perancangan khas menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Nasional (PSPTM) dan saya amat yakin pelajar Melayu di UiTM boleh bersaing secara sihat antara satu sama lain walaupun tanpa pelajar bukan Bumiputera,” katanya.
Mohd Khaled berkata, mengikut statistik tiga tahun lalu, 81 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian manakala 19.1 peratus graduannya belum mendapat pekerjaan selepas sebulan menamatkan pengajian.